Larangan jadikan orang kafir teman rapat
|
|
Allah SWT memberi peringatan kepada Nabi-Nya dan kaum mukminin agar berlindung kepada-Nya, di samping mengakui bahawa di tangan-Nyalah terletak segala kekuasaan, kemuliaan dan kekuasaan yang mutlak dalam menjalankan segala urusan di alam semesta ini, kerana Dia sahajalah yang berkuasa memberi atau menahan sesuatu kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
Lalu dalam ayat ini, Allah SWT telah memberi petunjuk kepada mereka bahawa seseorang itu akan berada di dalam tipu daya seandainya mereka menganggap dirinya dapat menjadi mulia tanpa pertolongan Allah SWT serta mencari perlindungan selain daripada-Nya.
Ahli sejarawan telah meriwayatkan bahawa sebahagian mereka yang dahulunya masuk Islam kerana terpedaya oleh kegagahan dan kekuatan orang kafir, tidak lama kemudian mereka terus meninggalkan Islam dan memihak kepada mereka. Hal seperti ini bukan dianggap aneh kerana ia sudah menjadi tabiat manusia.
Sebab Nuzul
Terdapat banyak sebab nuzul antaranya:
Pertama: Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa beliau berkata: “Sesungguhnya Hajjaj Ibnu Amr, Ibnu Abu Huqayq dan Qays Ibnu Zaid merupakan orang Yahudi yang berkawan baik dengan beberapa orang Ansar.
Mereka ini suka menganggu agama orang Ansar. Maka Rifa‘ah Ibnu Mundhir, Abdullah Ibnu Juabair, dan Saad Ibnu Khaitamah daripada orang Ansar ini berkata: “Jauhilah orang Yahudi itu.” Tetapi beberapa orang Ansar enggan, bahkan mereka masih berkawan baik dengan orang Yahudi itu lalu turunlah ayat ini.
Kedua: Riwayat Ibnu Jarir, Ibnu Mundzir dan Ibnu Hatim menyatakan: “Bahawa tafsir ayat ini ialah Allah SWT melarang orang-orang yang beriman bersikap lemah-lembut terhadap orang kafir dan mengambil mereka sebagai teman akrab melebihi sesama beriman, kecuali orang kafir tersebut lebih kuat daripada mereka yang beriman. Oleh yang demikian, tidak mengapa memperlihatkan sikap lunak tetapi hendaklah diperlihatkan perbezaan agama terhadap mereka yang kafir.
Ketiga: Ubadah bin al-Somit dan sekutunya di kalangan Yahudi berkata kepada Nabi SAW pada hari peperangan Ahzab: “Hai Rasulullah SAW, sesungguhnya bersamaku 500 orang Yahudi dan aku mahu menggunakan mereka untuk menzahirkan kekuatan pada hari Ahzab lantas turunnya ayat ini.
Iktibar dan fiqh ayat:
lIbnu Kathir berkata: “Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya yang beriman daripada menjadikan orang kafir sebagai wali mereka sehingga menzahirkan kasih sayang dan tidak kepada orang yang beriman.”
lIbnu Abbas berkata: “Allah SWT melarang orang beriman beramah mesra dengan golongan kufur sehingga menjadikan mereka auliya’ berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 118 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
lAl-Qurtubi berkata: “Ada pendapat menyatakan orang yang beriman jika berada di kalangan orang yang kufur sehingga terpaksa berkata dengan ucapan kufur sedangkan hatinya tenang dengan keimanan, ia masih tidak dianggap kufur.
lAl-Maraghi berkata: “Bahawa satu keharusan bagi orang mukmin tidak mengambil teman rapat daripada orang kafir dalam keadaan apa jua pun, kecuali kerana takut adanya sesuatu bahaya yang dirancang oleh mereka. Maka pada saat seperti itu kamu boleh berjaga-jaga sekadar untuk menyelamatkan keadaan kamu daripada bahaya itu kerana menurut kaedah syarak: “Menolak bahaya harus didahulukan daripada mendapat keuntungan.”
lSyeikh Sya‘rawi berkata: “Apabila kita memerhatikan bahawa wilayah kadang-kadang disandarkan kepada Allah SWT dan kadang-kadang kepada makhluk Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT wali orang yang beriman. Perkara ini adalah difahami dan kadang-kadang kita bertanya bagaimana orang beriman menjadi wali Allah SWT? Jawabnya: “Kita mampu memahami makna ini seperti berikut: Sesungguhnya Allah SWT adalah penolong kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, maka jadilah Allah SWT sebagai wali kepada mereka yang beriman iaitu menolong dan menguatkan mereka. Sedangkan auliya’ Allah ialah mereka yang menolong Allah SWT lantas Allah SWT menolong mereka. Seperti mana firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
lMuhamad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini melarang orang-orang mukmin menjadikan orang-orang kafir sebagai penolong mereka, kerana jika seorang mukmin menjadikan mereka penolong, maka itu bererti orang mukmin dalam keadaan lemah padahal Allah SWT enggan melihat orang beriman dalam keadaan lemah. Itu akibat paling sedikit.”
Ayat ini apabila difahami dengan jelas dan diperhalusinya maka jelaslah kepada kita betapa mulianya orang yang beriman, apatah lagi yang benar-benar istiqamah dengan agama Allah SWT di samping melarang dengan keras supaya kita jangan mengambil mudah dalam isu wilayah.
Allah SWT menutup ayat ini dengan menyedarkan kita bahawa segala kesudahan akan kembali kepada-Nya. Justeru, marilah kita kembali kepada-Nya dengan bertakwa, beriman dan mentaati-Nya selagi nyawa dikandung badan. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang benar-benar patuh dan taat kepada-Nya.
No Comment
Post a Comment