Orang beriman dijanjikan syurga

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
FIRMAN Allah SWT: Dan tiada sesiapapun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belenggu-Nya. (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata):

Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia, dan masuklah ke dalam syurga-Ku! (al-Fajr: 26-30)

Firman Allah SWT: dan tiada sesiapapun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belenggu-Nya. (setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya”!

Tentang maksud jiwa yang tenang ini ada lima pendapat.

Hamzah bin Abdul Mutalib apabila mati syahid seperti kata Abu Hurairah r.a.
Uthman bin Affan ketika mewakafkan telaga rumah seperti pendapat al-Dhahak.
Khabib bin Adi seperti pendapat Muqatil.
Abu Bakar al-Siddiq seperti hikayat al-Mawardi.
Semua orang beriman seperti pendapat Ikrimah.
Sedangkan perkataan tenang pula dengan maksud seperti berikut:

Orang yang beriman seperti kata Ibn Abbas.
Orang yang reda dengan qada Allah seperti kata Mujahid.
Orang yang yakin dengan janji Allah seperti kata Qatadah.
Mereka khilaf waktu dikatakan seruan ini kepada dua pendapat.
Ketika meninggal dunia. Inilah pendapat kebanyakan.
Ketika dibangkitkan seperti kata al-Aufi, ‘Ata, Ikrimah dan al-Dhahak.
Firman Allah SWT: Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu)!

Ada empat pendapat:

Kepada tubuh asalmu. Seperti riwayat al-Aufi, Ikrimah dan al-Dhahak.
Selepas kematian di dunia. Inilah pendapat Abu Soleh.
Kembali kepada pahala Tuhanmu. Seperti kata al-Hasan.
Kembali kepada Allah dengan meninggalkan dunia. Seperti hikayat al-Mawardi.
Firman Allah SWT: Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia.

Dengan maksud termasuk di kalangan hamba pilihan Allah seperti kata Abu Soleh.

Firman Allah SWT: Dan masuklah ke dalam syurga-Ku!

Al-Alusi dalam Roh al-Ma’ani berkata: Seolah-oleh perintah supaya masuk di kalangan hamba Allah yang soleh sebagai isyarat kebahagiaan kerohanian.

Ini kerana sempurnanya jiwa dengan rakan yang baik sedangkan perintah supaya masuk syurga sebagai isyarat kebahagiaan tubuh badan yang kemuliaan yang pertama melebihi yang kedua.

Penutup

Surah ini mencakupi enam masalah:

Allah SWT bersumpah bahawa azab orang kafir tidak dapat dihindari.
Membuat perbandingan dengan umat yang telah hancur, seperti kaum Ad dan Thamud untuk diambil sebagai teladan.
Melimpah ruahnya kenikmatan atas seorang hamba bukan suatu petunjuk bahawa Allah SWT memuliakan kepadanya.
Penderitaan hidup bagi seseorang bukan pula suatu petunjuk bahawa dia dihina dan diremehkan oleh Allah SWT.
Gambaran hari kiamat dan hal-hal yang berkaitan dengannya seperti huru-hara pada hari itu.
Lamunan orang yang bernasib celaka untuk dikembalikan ke dunia lagi.
Kecuali jiwa yang memperoleh kepuasan dan keredaan.

No Comment

Post a Comment