Allah mudahkan dakwah

By mfrstudio


Berdakwah adalah tugas semua umat Islam tidak mengira pangkat dan kedudukan. - Gambar hiasan


SURAH al-Sharh (al-Inshirah) termasuk dalam Surah Makiyyah. Keseluruhan ayatnya berjumlah 8 ayat. Ia diturunkan selepas Surah al-Dhuha.

Surah ini mempunyai hubungan erat dengan surah sebelumnya dan kerana itulah Tawus dan Umar Ibn Abdul Aziz menyatakan bahawa kedua-dua surah ini sebenarnya satu.

Mereka berdua membaca kedua-dua surah itu dalam satu rakaat tanpa memisahkannya dengan Basmallah. Akan tetapi menurut riwayat yang mutawatir kedua-dua surah ini adalah dua surah yang berasingan sekalipun kedua-duanya mempunyai hubungan yang erat.

Ini disebabkan dalam setiap surah terdapat pelbagai nikmat dan perintah mensyukuri nikmat-Nya.

Firman Allah SWT: Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?

Ibn Jauzi berkata: Dengan maksud pembukaan yang menghilangkan sebarang sekatan daripada mendapatinya. Dan Allah SWT membuka dada Nabi-Nya SAW dengan hidayat dan makrifah secara menghilangkan segala kesibukan daripada mendapati kebenaran. Persoalan ini sebagai persoalan untuk mengiakannya.

Firman Allah SWT: Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam).Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?

Syed Qutub berkata: Yakni Kami telah ringan beban dakwah yang amat berat itu dengan melapangkan hatimu, dan dengan memberi taufik dan kemudahan kepadamu untuk melaksanakan tugas dakwah dan dengan menurunkan wahyu kepadamu untuk menerangkan hakikat-hakikat yang sebenar dan untuk menolongmu mempengaruhi jiwa manusia dengan cara yang lemah lembut.

Tidakkah engkau dapati semuanya itu ketika menanggung beban yang telah memberatkan belakangmu? Tidakkah kini engkau dapati beban itu telah menjadi ringan setelah Kami lapangkan dadamu?

Firman Allah SWT: Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

Ibn Jauzi mengemukakan lima pendapat:

1.Nama Rasulullah SAW disebut bersama Allah dalam syahadah. Inilah pendapat jumhur.

2.Allah tinggikan sebutan Nabi Muhammad dengan kenabian seperti kata Yahya bin Sallam.

3.Allah angkat Baginda sebutannya di hari akhirat sebagaimana di angkatnya di dunia. Seperti hikayat al-Mawardi.

4.Allah mengangkat sebutan Nabi Muhammad SAW di sisi para malaikat di langit.

5.Allah mengambil janji bagi Muhammad ke atas para Nabi dan mewajibkan mereka beriman dengan Rasulullah SAW. Seperti hikayat al-Tha’labi.


No Comment

Post a Comment