Turunnya wahyu pertama

By mfrstudio


budaya iqra' atau membaca perlu diterapkan di kalangan semua manusia sejak kecil lagi. - Gambar hiasan


SURAH ini dimulai dengan menjelaskan betapa besarnya nikmat dan rahmat Allah SWT ke atas nabi-Nya Muhammad SAW. Allah SWT telah menurunkan kitab suci al-Quran sebagai suatu mukjizat yang kekal abadi kepada Baginda.

Ia disertai peringatan kepada Baginda tentang nikmat terbesar yang dikurniakan-Nya kepada Baginda ketika Baginda beribadah di Gua Hira', iaitu ketika turun kepadanya wahyu yang pertama yang terdiri daripada beberapa ayat al-Quran.

Seterusnya surah ini menjelaskan tentang keangkuhan dan kederhakaan manusia terhadap Allah SWT disebabkan kekayaan yang dimiliki oleh mereka dalam kehidupan di atas muka bumi ini.

Malah, manusia juga begitu angkuh menolak perintah Allah SWT kerana kehidupan mereka dilimpahi nikmat kekayaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka, sedangkan mereka wajib membuktikan kesyukuran kepada Allah, bukan dengan menolak dan mencabar perintah-Nya.

Di samping itu, manusia juga diberikan peringatan bahawa mereka pasti akan kembali menemui Tuhan mereka untuk menerima balasan bagi setiap amalan yang telah mereka lakukan.

Sebab nuzul:

Bahawa Nabi Muhammad SAW pergi ke Gua Hira' dan beribadat di tempat itu selama beberapa malam. Kemudian, baginda pulang ke rumah isterinya, Khadijah r.ha dan baginda dibekalkan dengan bekalan yang cukup sehinggalah ke saat Baginda diturunkan wahyu.

Ketika Baginda berada di dalam Gua Hira' itu, Malaikat Jibril a.s datang lalu berkata kepada baginda: "Bacalah!" Baginda menjawab: "Aku tidak tahu membaca".

Lalu Jibril memegang baginda dan memeluknya erat-erat sehingga baginda berasa kepayahan. Kemudian, Jibril melepaskan baginda seraya berkata: "Bacalah!" Jawab baginda lagi: "Aku tidak tahu membaca". Kemudian, Jibril a.s memegangnya lagi dan memeluknya hingga baginda berasa kesukaran untuk bernafas. Jibril a.s membaca lima ayat daripada surah ini.

Para perawi hadis menambah: "Baginda segera kembali ke rumah dalam keadaan gementar dan ketakutan sambil menyeru kepada Khadijah r.ha: "Selimutkanlah aku! Selimutkanlah aku!" Lalu baginda diselimutkan sehingga hilang rasa gementarnya.

Baginda menceritakan kisah yang dialami kepada isterinya itu seraya bersabda: "Aku rasa bimbang akan diri sendiri". Lalu Khadijah r.ha menghiburkan hati baginda dengan berkata: "Janganlah bersusah hati. Demi Allah! Allah SWT tidak akan mengabaikan dirimu selamanya kerana dirimu selalu menjalinkan hubungan silaturrahim, tutur katamu jujur, suka membantu orang lain, menjamu tetamu dan sentiasa menegakkan kebenaran".

Kemudian Khadijah r.ha membawa baginda ke rumah Waraqah Ibn Nawfal Ibn Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah. Waraqah telah memeluk agama Nasrani sejak zaman jahiliah lagi dan beliau banyak menulis dalam bahasa Arab dan telah menyalin Injil ke dalam bahasa Ibrani. Beliau menderita penyakit buta setelah usia semakin meningkat.

Khadijah r.ha berkata kepadanya: "Wahai sepupuku, dengarlah apa yang diceritakan oleh anak saudaramu ini!" Waraqah menjawab: "Apakah yang berlaku wahai anak saudaraku?" Lalu, Rasulullah SAW terus menceritakan tentang apa yang dialaminya.

Waraqah berkata: "Itu adalah namus yang turun kepada Nabi Isa a.s. Alangkah baiknya jika aku masih muda dan masih hidup sewaktu kamu diusir oleh kaummu".

Rasulullah SAW bertanya: "Apakah kaumku akan mengusirku?" Waraqah menjawab: "Ya! Tidak seorang pun yang membawa apa yang kamu bawa ini tidak dimusuhi. Jika aku masih hidup pada ketika itu, pasti aku akan menolongmu dengan sekuat tenagaku". Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penutup

Syed Qutub berkata: Apakah makna peristiwa ini? Jawapannya: Allah SWT ialah Tuhan Yang Maha Pemurah, pengurnia rahmat yang melimpah ruah, Yang Maha Penyayang, yang mencurahkan kurniaan dan rahmat-Nya tanpa sesuatu sebab selain limpah kurnia itu sendiri kerana ia adalah sebahagian dari sifat zatiah-Nya Yang Maha Mulia.

Maknanya, daripada segi manusia pula Allah SWT mengurniakan kepada mereka satu penghormatan yang hampir-hampir tidak dapat digambarkan dan tidak mampu disyukuri walaupun ia menghabiskan seluruh usianya dalam keadaan sujud dan rukuk.

Penghormatan itu adalah Allah SWT sentiasa terkenang kepadanya, menoleh kepadanya, melakukan hubungan dengannya, dan memilih daripada bangsanya seorang rasul yang menerima wahyu-wahyu-Nya, juga kerana Allah memilih bumi ini sebagai tempat kediamannya dan sebagai tempat turun kalam suci-Nya yang bergema di seluruh pelosok alam dengan khusyuk dan doa.

Kesan-kesan peristiwa agung ini dalam seluruh kehidupan manusia telah bermula sejak awal lagi. Iaitu dengan mengubahkan perjalanan sejarah sejak ia mengubahkan perjalanan hati manusia. Juga sejak Allah telah ditentukan sebagai satu-satunya pihak yang harus dipandang manusia dan sebagai satu-satunya sumber bagi manusia menerima nilai-nilai dan neraca pertimbangan mereka.

Kini yang menjadi penentu bukannya bumi dan hawa nafsu, tetapi ialah langit dan wahyu Ilahi.

Sejak masa ini, penghuni bumi yang tersemat hakikat ini dalam jiwa mereka, hidup secara langsung di bawah naungan dan pemeliharaan Allah.

Mereka hidup dengan menumpukan pandangan mereka secara langsung kepada Allah dalam segala urusan hidup mereka, baik yang kecil atau yang besar.

Mereka melihat, mendengar, merasa dan bergerak di bawah perhatian Allah. Mereka mengharapkan Allah SWT membimbing mereka selangkah demi selangkah ke jalan yang benar dan menghindarkan jalan yang salah.

Setiap malam mereka sentiasa menunggu turunnya wahyu Allah yang baru yang menceritakan apa yang ada di dalam hati mereka dan menyelesaikan masalah-masalah mere ka dan memerintahkan mereka supaya buat ini dan jangan buat itu.

Itulah satu zaman yang aneh, iaitu selama 23 tahun yang berikut. Selepas itu, di mana terjalinnya hubungan secara langsung antara manusia dan al-Mala'ul A'la. Satu zaman yang tidak dapat difahami hakikatnya melainkan oleh angkatan Muslimin yang pertama yang telah menghayatinya, mengalaminya dan menyaksikannya sendiri dari awan hingga akhirnya.

Mereka telah mengecapi kemanisan hubungan itu dan merasakan tangan kudrat Allah sentiasa memimpin mereka. Mereka telah melihat sendiri dari mana mereka bermula dan ke mana mereka berakhir.

Iaitu satu jarak perbezaan yang amat jauh yang tidak dapat diukur dengan mana-mana ukuran bumi, iaitu jarak yang wujud dalam hati yang tidak dapat disamakan dengan jarak yang wujud di alam nyata, juga tidak dapat disamakan dengan jarak jauh yang wujud di antara bintang-bintang dan alam-alam yang lain. Iaitu jarak perbezaan antara menerima bimbingan dari bumi dengan menerima bimbingan dari langit dan jarak perbezaan mencari petunjuk dari hawa nafsu dan dengan mencari petunjuk dari wahyu Allah.

Jarak perbezaan antara pimpinan jahiliah dengan pimpinan Islamiah, pimpinan manusia dengan pimpinan Rabbani iaitu satu jarak perbezaan yang lebih jauh dari jarak bumi dengan langit di alam bintang-bintang.

Mereka mengenal dan mencapai kemanisan rasanya, mereka menyedari nilainya dan mereka benar-benar merasa kesan kehilangan zaman ini apabila Rasulullah SAW wafat.

Dengan itu, putuslah zaman yang cemerlang itu, iaitu satu zaman yang tidak dapat digambarkan oleh akal andainya ia tidak benar-benar berlaku di alam kenyataan. Semoga kita memahami hakikat iqra' ini dengan lebih mendalam.


No Comment

Post a Comment