Allah tumpaskan tentera bergajah
SURAH al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kafirun. Hubungan surah ini dengan surah al-Humazah ialah dalam surah al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta tidak dapat menjauhkan daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bukti tentang perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah. Seorang panglima tentera Habsyah yang menguasai Yaman bercita-cita menyerbu dan meruntuhkan Kaabah yang dimuliakan supaya orang Arab tidak melakukan ibadah haji di sana. Dia menuju Mekah diiringi tentera yang ramai dan gajah yang banyak bagi menambahkan rasa takut pada orang ramai. Dia terus mara sambil mengalahkan sesiapa saja yang dijumpainya, sampai ke al-Mughammas iaitu suatu tempat yang berdekatan kota Mekah. Dia kemudian mengirim utusan kepada penduduk Mekah memberitahu bahawa tujuan kedatangannya bukan untuk berperang dengan mereka, tetapi meruntuhkan Baitullah. Mereka ketakutan, lalu mencari perlindungan di puncak-puncak gunung sambil melihat apa yang akan dia lakukan. Pada hari kedua penyakit cacar dan campak mula menular di kalangan tentera Habsyah. Ikrimah mengatakan, itu adalah permulaan penyakit cacar yang menular di negara Arab. Wabak itu menimpa mereka dengan kesan yang tidak ada tandingannya. Di mana daging mereka berguguran sehingga mereka dan panglima lari ketakutan. Panglima mereka juga terkena wabak tersebut dan dagingnya terus tanggal sedikit demi sedikit, seketul demi seketul, akhirnya dada mereka terbelah dan mati di San'a. Bagaimanapun pada ulama berkhilaf pendapat mengenai bilada itu berlaku. Ada tiga pandangan mengenai, iaitu: i. Pada tahun kelahiran Rasulullah SAW. Ini pendapat yang asah yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama seperti pendapat Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah. ii. Ia berlaku selepas 40 tahun peristiwa serangan gajah. Ini pendapat Muqatil. iii. Kelahiran berlaku 23 tahun selepas serangan tersebut. Ini pendapat al-Kalbi, Ubaid bin Umair dan Abu Soleh. Firman Allah SWT: Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia? Perkataan tidakkah kamu memperhatikan ditafsirkan dengan dua pendapat: i. Tidakkah kamu diberitahu dan dikhabarkan seperti pendapat al-Farra'. ii. Tidakkah kamu mempelajari sebagaimana kata al-Zajjaj. Sayid Qutub berkata: "Tidakkah rancangan jahat mereka gagal dan tidak mencapai sasarannya sama seperti orang yang sesat jalan dan tidak sampai kepada tempat yang dituju." Mungkin dengan pertanyaan ini Allah mahu mengingatkan kaum Quraisy terhadap nikmat-Nya kepada mereka iaitu nikmat menjaga dan memelihara rumah Kaabah semasa mereka tidak berdaya menghadapi serangan tentera bergajah yang kuat. Tentera Allah dalam bentuk burung Firman Allah SWT: Dan dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong. Perkataan ababil ditafsirkan dengan lima pendapat: i. Dalam bentuk berselerakan datangnya burung tersebut dari sana ke sini dengan segenap penjuru. Inilah pendapat Ibn Mas'ud dan al-Akhfash. ii. Burung tersebut datang selepas satu kumpulan dan datang kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil. iii. Burung tersebut datang dengan jumlah yang banyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Thawus. iv. Burung tersebut datang dalam bentuk berkumpulan diikuti dengan kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ata' dan Abu Soleh. v. Ia mempunyai pelbagai jenis warna sebagaimana pendapat Zaid bin Aslam. Para ulama khilaf berkenaan sifat burung tersebut iaitu: i. Burung tersebut mempunyai belalai dan kuku seperti kuku anjing. Inilah pendapat Ibn Abbas. ii. Ikrimah berkata: Kepala mereka seperti binatang buas. iii. Ibn Ishak berpendapat: Mereka seumpama binatang helang yang menyambar. Begitu juga mereka khilaf berkenaan warna burung tersebut: i. Warnanya hijau sebagaimana pendapat Ikrimah dan Said bin Jubair. ii. Warnanya hitam sebagaimana pendapat Ubaid bin Umair. iii. Warnanya putih sebagaimana pendapat Qatadah. Firman Allah SWT: Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar. Berkenaan dengan burung yang membawa batu seperti kata Qatadah: Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, dua biji batu di kakinya, manakala sebiji lagi di muncungnya. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT mengirimkan sekawan burung yang membawa batu kering yang dijatuhkan kepada anggota-anggota tentera itu menyebabkan mereka menderita penyakit cacar atau campak dan membawa maut." Kemungkinan juga binatang yang terbang itu terdiri daripada jenis nyamuk atau lalat membawa kuman penyakit. Atau batu itu daripada tanah liat yang kering dan beracun yang diterbangkan angin lalu melekat pada kaki-kaki burung itu. Jika tanah liat itu menyentuh tubuh maka racun itu akan meresap dan melukakan apa yang mengenainya dan berakhir dengan kerosakan tubuh serta keguguran dagingnya. Jelas bahawa lalat membawa kuman penyakit. Seekor lalat yang membawa kuman boleh menyebabkan manusia dijangkiti penyakit dan menular kepada semua orang. Oleh yang demikian, jika Allah SWT menghendaki membinasakan sejumlah besar tentera dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya. Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan mereka yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh memusnahkan manusia. Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan manusia dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka adalah makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di tempat tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin. Imam Muhammad Abduh berkata: "Bagi orang yang kejam ini yang hendak merobohkan Baitu al-Haram, Allah SWT mengirimkan sesuatu yang dapat membawa kuman penyakit cacar atau campak yang kemudiannya akan membinasakannya dan kaumnya sebelum sempat masuk kota Mekah." Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah berhala kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW meskipun Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera bergajah yang ingin menghancurkan Baitu al-Haram yang tidak berdosa itu. Firman Allah SWT: Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat). Selepas terkena batu, tubuh badan mereka jatuh berguguran sedikit demi sedikit sebesar hujung jari dan akhirnya terbelah dadanya hingga binasa. Abdul Muttalib berkata: "Burung tersebut amat pelik." Lalu beliau pernah menghantar anaknya Abdullah untuk melihat apa yang terjadi kepada puak Abrahah dan pulang seraya melaporkan semuanya binasa. Kemudian Abdul Muttalib keluar bersama dengan rakannya untuk mengambil harta yang ditinggalkan. Ada pendapat mengatakan bahawa tidak seorang pun yang selamat kecuali Abu Yaksum, di mana burung sentiasa mengekorinya dari atas kepalanya, sedangkan dia tidak perasan sehingga sempat masuk bertemu al-Najashi dan mengkhabarkan dengan peristiwa yang berlaku. Setelah selesai kata-katanya, burung tersebut melepaskan batu dan akhirnya dia mati. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT memperlihatkan kepada al-Najashi tentang bagaimana Allah SWT membinasakan kaum tersebut. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah dari kesesatan. Semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bala dan bencana.
No Comment
Post a Comment