Allah melaknat orang yang sembunyikan kebenaran

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syeikh Sya’rawi berkata: “Allah yang bersifat sebenar memberi peringatan kepada orang yang beriman dengan penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w bahawa balasan daripada laknat bukan hanya terhad dan terbatas kepada golongan mereka sahaja, tetapi ia umum.

Boleh juga berlaku kepada orang yang beriman dan beragama Islam yang menyembunyikan keterangan Allah.”

Perkataan laknat disebut di dalam al-Quran sebanyak 41 kali. Kadang-kadang datang bagi azab dan jauh daripada rahmat Allah dengan kemurkaan, iaitu kekal di dalam neraka. Kadang-kadang laknat datang dengan cara pengajaran dan pendidikan maka tiada dengan kemurkaan. Kerana yang mendidik tidak marah atau murka ke atas yang dididiknya.

Allah berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan sesuatu yang Kami telah turunkan iaitu dari ayat-ayat yang jelas dan hidayat setelah kami terangkan kepada manusia di dalam kitab suci, merekalah orang-orang yang dilaknatkan Allah dan dilaknatkan oleh sekalian pelaknat. Kecuali mereka yang telah bertaubat, mengislahkan diri mereka dan menjelaskan yang benar, maka untuk mereka Aku terima taubat mereka dan sesungguhnya Aku Maha Penerima Taubat dan Maha Pengasih. (Al-Baqarah: 159-160)

Sayid Qutub berkata, setelah menjelaskan hukum tawaf di Bukit Safa dan Marwa, ayat yang berikut beralih pula kepada menyerang golongan yang menyembunyikan ayat-ayat keterangan dan hidayat yang telah diturunkan Allah, iaitu golongan kaum Yahudi yang telah dibicarakan dengan panjang lebar di dalam rangkaian ayat-ayat yang silam dari surah ini. Serangan ini menyarankan bahawa komplot-komplot mereka tidak terhenti setakat persoalan mengadap kiblat ke arah Masjid al-Aqsa dan kefarduan ibadat haji kepadanya.

Dilaknat

Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan sesuatu yang Kami telah turunkan iaitu dari ayat-ayat yang jelas dan hidayat setelah kami terangkan kepada manusia di dalam kitab suci, merekalah orang-orang yang dilaknatkan Allah dan dilaknatkan oleh sekalian pelaknat.

Imam al-Baghawi berkata: Ayat ini diturunkan kepada ulama Yahudi yang menyembunyikan sifat Muhammad s.a.w, ayat rejam kepada penzina yang muhsan dan lain-lain daripada hukum-hukum yang terdapat di dalam Taurat.

Golongan ahli kitab memang mengetahui dan keterangan-keterangan kitab suci yang ada di tangan mereka tentang kebenaran kerasulan Muhammad s.a.w dan tentang kebenaran perintah-perintah yang disampaikan oleh beliau. Namun begitu mereka menyembunyikan keterangan-keterangan yang dijelaskan Allah kepada mereka di dalam kitab suci itu.

Mereka dan orang-orang seperti mereka wujud di mana-mana zaman, iaitu dari orang-orang yang menyembunyikan kenyataan-kenyataan yang benar yang diturunkan Allah kerana sesuatu sebab daripada berbagai-bagai sebab penyembunyian.

Mereka adalah terdiri dari orang- orang yang selalu dilihat oleh orang ramai di berbagai-bagai masa dan tempat, mengambil sikap mendiamkan diri dari kebenaran yang diketahui mereka dan menyembunyikan keterangan-keterangan yang mengakui kebenaran itu, sedangkan mereka sendiri yakin terhadap kebenarannya.

Mereka sengaja menjauhi ayat-ayat termaktub di dalam kitab Allah dan menzahirkannya kepada umum. Malah mendiamkan diri dan menyembunyikannya untuk menafikan hakikat yang diterangkan oleh ayat-ayat itu supaya terlindung jauh dari pendengaran dan kesedaran orang ramai demi untuk mencapai sesuatu tujuan dari tujuan-tujuan keduniaan.

Kita dapat menyaksikan pendirian ini di dalam berbagai-bagai peristiwa dan keadaan mengenai berbagai-bagai hakikat agama ini.

Suka dinyatakan di sini sifat menyembunyikan keterangan ilmu daripada manusia adalah sifat yang keji apatah lagi membabitkan urusan akhirat atau agama yang wajib disebarkan supaya manusia tidak berada dalam kejahilan dan dapat beramal mengikut kehendak agama yang sebenarnya.

Ayat ini seperti kata Ibn Jauzi: “Mewajibkan untuk menzahirkan ilmu-ilmu agama sama ada secara nas atau istinbat dan menunjukkan atas tegahan daripada keharusan menerima upah atas demikian itu.”

Di dalam surah Ali Imran, ayat 187 yang bermaksud: Ingatlah ketika Allah menetapkan perjanjian kepada orang-orang yang diberi kitab iaitu hendaklah menerangkan kitab itu kepada manusia dan janganlah kamu menyembunyikannya, tetapi mereka telah membuang perjanjian itu kebelakang mereka dan mereka menukarnya dengan harga yang sedikit, maka alangkah buruknya barang yang mereka tukar itu.

Al-Wahidi berkata, ayat itu diturunkan ke atas kaum Yahudi Kota Madinah yang diambil oleh Allah perjanjian mereka dalam kitab taurat untuk menerangkan dari hal perutusan Nabi Muhammad s.a.w mengenai sifat-sifatnya dan kerasulannya dan jangan sampai disembunyikan kenyataan itu.

Ia sesuai dengan bunyi firman Allah tadi. Hendaklah kamu menerangkan kitab itu kepada manusia dan jangan kamu menyembunyikannya.

Ancaman

Penulis menaqalkan pendapat Imam al-Zahabi di dalam kitabnya al-Kabair mengenai ancaman mereka yang belajar dan mengajar ilmu bukan kerana Allah dan juga menyembunyikan ilmu antaranya:

Hadis riwayat Abu Daud, sabda Nabi s.a.w: yang bermaksud: Barang siapa yang mempelajari ilmu untuk mendapat keredaan Allah akan tetapi dia pula mempelajarinya untuk mendapatkan habuan harta, kekayaan dunia maka dia tidak akan dapat mencium bau harumnya syurga.

Hadis riwayat al-Tirmidzi, sabda Rasulullah s.a.w: Barang siapa yang menuntut ilmu untuk dibangga-banggakannya pada sidang para ulama atau untuk ditunjuk-tunjukkannya kepada para orang yang bodoh atau untuk memikat hati orang ramai kepadanya maka dia adalah menuju ke neraka.

Hadis riwayat al-Hakim, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu lalu orang yang ditanya itu menyembunyikan ilmunya (tidak mahu memberitahunya) maka dia akan dikekang mulutnya dengan kekangan api neraka.

Firman Allah s.w.t: Kecuali mereka yang telah bertaubat, mengislahkan diri mereka dan menjelaskan yang benar, maka untuk mereka Aku terima taubat mereka dan sesungguhnya Aku Maha Penerima Taubat dan Maha Pengasih.

Inilah sifat Allah yang Maha Penerima Taubat hamba-hambanya yang melakukan kesalahan. Ibn Mas`ud berkata, kecuali mereka yang bertaubat di kalangan Yahudi dan mengelokkan amalan mereka serta menerangkan sifat Rasulullah s.a.w dalam kitab mereka.

Iktibar dan pengajaran ayat:

* Sifat menyembunyikan ilmu atau menggelapkan maklumat adalah dilaknat Allah. Apatah lagi yang membabitkan permasalahan agama dan syariah.

* Manusia tidak terkecuali daripada dosa. Justeru taubat menjadi wajib atas setiap manusia seperti kata ulama.

* Mengisbatkan sifat keampunan dan rahmat bagi Allah s.w.t.

No Comment

Post a Comment