Hakikat takwa - Penghulu manusia di akhirat

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


AL-IMAM al-Fakhru ar-Razi dalam tafsirnya berkata: ``Definisi nikmat ialah segala manfaat yang berlaku semata-mata daripada ihsan satu pihak kepada yang lain.

Ada di kalangan ulama berpendapat, dengan segala manfaat yang baik berlaku daripada ihsan satu pihak kepada yang lain.''

Mereka berkata: ``Sesungguhnya kami tambahkan ini semata-mata kerana nikmat yang berhak diterima dan wajib bersyukur, sedangkan yang buruk adalah sebaliknya. Di antara cabang nikmat itu ialah yang sampai kepada kita siang dan malam di dunia dan akhirat, iaitu nikmat dan selamat daripada kemudaratan yang datangnya daripada Allah. Ia termasuk juga yang tidak mungkin dikira seperti nikmat kesihatan, harta benda, anak-pinak, suami isteri, keamanan, pangkat, masa, iman, ketaatan, ilmu, ketakwaan dan segala sifat mahmudah (terpuji), di samping nikmat-nikmat yang lain.''

Justeru itu para ulama membahagikan nikmat kepada dua bahagian:

i. Nikmat al-Ijad (kewujudan).

ii. Nikmat al-Imdad (segala kurniaan yang dapat meneruskan kehidupan).

Kemudian Allah menjelaskan arahan-Nya kepada Bani Israel dengan firman-Nya:

DAN BERIMANLAH KAMU KEPADA APA YANG TELAH AKU TURUNKAN (AL-QURAN) YANG MEMBENARKAN APA YANG ADA PADAMU (TAURAT), DAN JANGANLAH KAMU MENJADI ORANG YANG PERTAMA KAFIR KEPADANYA, DAN JANGANLAH KAMU MENUKARKAN AYAT-AYAT-KU DENGAN HARGA YANG RENDAH, DAN HANYA KEPADA AKULAH KAMU HARUS BERTAKWA. (Surah al-Baqarah ayat 41).

Allah memulakan ayat ini dengan arahan: `Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turun-

kan (al-Quran)', iaitu beriman dengan al-Quran.

`Yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat)', iaitu kitab Taurat mengenai perkara tauhid dan ke-

nabian.

Al-Imam al-Baghawi berkata melalui tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil, bahawa diturunkan ayat ini kepada Ka`ab bin al-Asyraf dan sekutunya dari kalangan pendita Yahudi dan pembesarnya.

Dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya', yakni mula-mula yang kufur adalah mereka yang terdiri daripada ahli kitab. Justeru, hak kamu menjadi orang yang mula-mula beriman.

Ibn Kathir menaqalkan pendapat Ibn `Abbas pada tafsir ayat ini, iaitu: ``Jangan kamu menjadi orang yang mula-mula kafir kepadanya, sedangkan kamu mempunyai ilmu, tidak seperti yang lain.''

Kekufuran

Abu al-`Aliah pula berkata: ``Janganlah kamu menjadi orang yang mula-mula kafir kepada Muhammad s.a.w.'' Inilah juga pendapat al-Hasan dan as-Suddi.

Pendapat Ibn Jarir pula bahawa ganti nama pada firman Allah Taala `kepadanya' kembali kepada al-Quran, tetapi Ibn Kathir menghimpunkan dua pendapat ini bahawa kedua-duanya sahih kerana sesiapa yang kufur dengan al-Quran, pasti kufur dengan Muhammad s.a.w.

Begitulah sebaliknya. Sesiapa yang kufur dengan Muhammad s.a.w. pasti kufur dengan al-Quran.

Ibn Jauzi berkata di dalam kitabnya, Zad al-Masir, bahawa perkataan permulaannya ialah kafir kerana menjadikan kekufuran selepas beriman lebih besar bala dan dosanya daripada kufur asli.

As-Syaukani berkata: ``Datangnya perkataan kafir secara mufrad (satu) tidak secara banyak atau ramai supaya sama dengan yang sebelumnya, dan kerana ia merupakan sifat yang disifatkan kepada yang diha-

zaf (buang atau tidak disebut).'' Ia mufrad pada lafaz tetapi berbilang pada makna.

Al-Akhfash dan al-Farra' berkata: ``Bahawa ia ditanggung pada makna fi`el (perbuatan), kerana makna awalnya kafir kemungkinan kerana ia termasuk dalam bab percakapan mereka (ia pemuda yang paling pintar dan segak) seperti yang dihikayatkan oleh Sibawaih berdasarkan kaedah mufrad (satu) berdiri pada tempat ramai atau banyak.''

Ayat ini ditujukan kepada pembesar-pembesar Yahudi.

`Dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah', iaitu jangan kamu menukar dengan ayat-ayat-Ku, yang penuh dengan keterangan kerana Aku telah menurunkan kepadamu habuan dunia yang binasa.

Terdapat juga pendapat mereka yang mengekalkan kekuasaan tanpa tunduk kepada keimanan.

Dan pendapat yang lain memberi maksud mengambil upah dalam pengajaran agama, tetapi pendapat ini lemah berdasarkan kepada dalil-dalil yang lain.

Takwa

As-Samarqandi melalui tafsirnya, Bahr al-`Ulum berkata: ``Dinamakan sedikit atau rendah pada harga kerana dunia semuanya sedikit.''

`Dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa', iaitu takutlah kepada-Ku sahaja bukan kepada yang lain.

Hakikat takwa di sini disebut de

ngan pelbagai pandangan. Justeru, dinaqalkan di sini pendapat al-Imam al-Qusyairi di dalam kitabnya, ar-Risalah al-Qusyairiyah:

Al-Kattani berkata: ``Dunia dibahagikan kepada bala, dan akhirat dibahagikan kepada takwa.''

An-Nasr Abazi berkata: ``Sesiapa yang iltizam dengan takwa pasti gembira dengan peninggalan dunia kerana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

``Adalah negeri akhirat itu lebih baik bagi orang bertakwa. Apakah kamu tidak berakal?'' (Al-An`am : 32)

Abu Ali ad-Daqqaq berkata: ``Takwa ialah ditaati tanpa derhaka, diingati tanpa lupa, disyukuri tanpa kufur.''

Abu Bakar ar-Rauzabari berkata: ``Takwa ialah menjauhkan perkara yang boleh menjauhkanmu daripada Allah.''

Ibn `Atailah as-Sakandari berkata: ``Bagi takwa mempunyai zahir dan batin, zahirnya dengan menjaga segala hak batasan (sempadan Allah), sedangkan yang batinnya pula de-

ngan niat dan keikhlasan.''

Talq bin Habib berkata: ``Takwa merupakan amalan dengan ketaatan kepada Allah atas cahaya Allah.''

Abu Hafsin berkata: ``Takwa hanya semata-mata pada yang halal, tidak yang lain.''

Akhirnya dinaqalkan pandangan Amir al-Mukminin bahawa Ali bin Abi Talib berkata: ``Penghulu manusia di dunia ialah golongan dermawan dan penghulu manusia di akhirat ialah golongan yang bertakwa.''

Semoga kita semua tergolong dalam golongan muttaqin. Amin.

No Comment

Post a Comment