Pertanyaan remeh temeh menyusahkan diri sendiri
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ALLAH s.w.t. masih lagi menceritakan sifat mukhalafah Bani Israel terhadap nabinya dengan mengemukakan persoalan-persoalan yang akhirnya menyusahkan mereka. Mereka yang tidak bersegera dalam mematuhi arahan-arahan yang diwahyukan-Nya kepada mereka, di samping sifat keras kepala serta keras hati mereka dengan banyak mempertikaikan nabi mereka Musa a.s., menyebabkan hampir-hampir mereka dikenakan bala. Di antara persoalan yang mereka kemukakan lagi berkenaan jenis lembu ialah sebagaimanai ayat berikut:
MEREKA BERKATA LAGI: "POHONKANLAH KEPADA TUHANMU UNTUK KAMI, SUPAYA DITERANGKAN-NYA KEPADA KAMI APA WARNANYA?" NABI MUSA MENJAWAB: "BAHAWASANYA ALLAH BERFIRMAN: BAHAWA (LEMBU BETINA) ITU IALAH SEEKOR LEMBU KUNING, KUNING TUA WARNANYA, LAGI MENYUKAKAN ORANG- ORANG YANG MELIHATNYA."
MEREKA BERKATA LAGI: "POHONKANLAH KEPADA TUHANMU UNTUK KAMI, SUPAYA DITERANGKANNYA KEPADA KAMI LEMBU BETINA YANG MANA SATU? KERANA SESUNGGUHNYA LEMBU YANG DIKEHENDAKI ITU SAMAR KEPADA KAMI (SUSAH KAMI MEMILIHNYA), DAN KAMI INSYA-ALLAH AKAN MENDAPAT PETUNJUK (UNTUK MENCARI DAN MENYEMBELIH LEMBU ITU)."
NABI MUSA MENJAWAB: "BAHAWASANYA ALLAH BERFIRMAN: SEBENARNYA (LEMBU YANG DIKEHENDAKI ITU) IALAH LEMBU BETINA YANG TIDAK PERNAH DIGUNAKAN UNTUK MEMBAJAK TANAH (SAWAH BENDANG), DAN TIDAK PULA (DIGUNAKAN MENGANGKUT AIR) UNTUK MENYIRAM TANAMAN; IA JUGA TIDAK CACAT DAN TIDAK ADA BELANG PADA WARNANYA." MEREKA BERKATA: "SEKARANG BAHARULAH ENGKAU DAPAT MENERANGKAN SIFAT-SIFATNYA YANG SEBENAR." MAKA MEREKA PUN MENYEMBELIH LEMBU TERSEBUT, DAN HAMPIR-HAMPIR MEREKA TIDAK DAPAT MENUNAIKAN (PERINTAH ALLAH) ITU.'' (Surah al-Baqarah ayat 69-71)
Firman Allah Taala: Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami apa warnanya?'' Mereka cuba membuat persoalan berhubung warna lembu selepas dijelaskan sifat lembu, lantas Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya." Lembu yang berwarna kuning yang nyata kuningnya, elok pandangannya dan amat disukai untuk melihatnya.
Maksud kuning di sini ada dua pendapat:
* Kuning yang makruf (dikenali). Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah, Ibn Zaid, Ibn Qutaibah dan az-Zajjaj.
*Bahawa ia berwarna hitam. Inilah pendapat Hasan al-Basri tetapi disanggah oleh ramai ulama sehingga kata Ibn Qutaibah: "Ini merupakan kesilapan dalam menyebut sifat lembu kerana sifat tersebut amat sesuai kepada unta sahaja."
Imam an-Nasafi dalam tafsirnya, Madarik at-Tanzil berkata: ''Ini kerana keelokannya. Perkataan surur (suka) ialah kelazatan pada hati ketika mendapat manfaat atau menghasilkannya.
Tetapi malangnya mereka meneruskan persoalan, iaitu Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami lembu betina yang mana satu?'' Sengaja mereka mengulang soalan selepas mereka mengetahui usia dan warna lembu bagi menambahkan lagi penjelasan sifatnya, dan mereka menyatakan bahawa lembu yang disifatkan tersebut terlalu banyak. Mereka sebenarnya bertanya sehingga soalan yang ketiga, sedangkan mereka tidak memenuhi arahan selepas diterangkan yang kedua. Sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Juraij daripada Qatadah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Mereka diperintahkan yang paling mudah daripada sebarang lembu betina untuk disembelih. Akan tetapi selepas mereka banyak menyoal selidik ke atas diri mereka, lalu Allah menyukarkan mereka. Demi Allah kalau mereka tidak membuat pengecualian (perkataan insya-Allah) nescaya tidak diterangkan bagi mereka walaupun pada akhir zaman, iaitu mereka sekali-kali tidak akan mendapat hidayat Allah.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Jarir dan ia dihukum mursal. Tidak boleh dihujah dengannya sebagaimana kata Syeikh Syakir. Justeru kata mereka, kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu samar kepada kami (susah kami memilihnya), iaitu masih samar-samar bagi kami dan kami masih tidak mengetahui apakah lembu betina yang diarahkan untuk disembelih.
Mujurlah mereka berkata, dan kami insya-Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu). Kami akan mendapat petunjuk untuk mengenalinya insya-Allah. Dan kalaulah mereka tidak berkata dengan kalimah tersebut, nescaya mereka tidak mendapat petunjuk dan hidayah selama-lamanya sebagaimana thabit dalam hadis yang bermaksud: Kalaulah tidak kerana Bani Israel membuat pengecualian, nescaya tidak dikurniakan kepada mereka sebagaimana yang telah dikurniakan-Nya.
Seterusnya Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman. Iaitu lembu yang tidak digunakan untuk perladangan atau untuk mendapatkan air bagi tanaman, ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya." Iaitu selamat daripada sebarang kecacatan.
Empat pendapat berkenaan maksud 'tiada kecacatan' iaitu:
1. Selamat daripada kecacatan. Inilah pendapat Ibn Abbas, Abu al-Aliah, Qatadah dan Muqatil.
2. Selamat daripada kerja (tidak digunakan untuk berkerja). Inilah pendapat al-Hasan dan Ibn Qutaibah.
3. Tidak mempunyai belang. Inilah pendapat Mujahid dan Ibn Zaid.
4. Elok rupa paras dan bentuknya. Inilah pendapat Ata' al-Kharasani.
Tiada padanya warna lain yang menyalahi warnanya, iaitu lembu yang kuning semuanya. Kemudian Mereka berkata: "Sekarang barulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar." Sekarang kamu menerangkan kepada kami secara terperinci tiada sebarang kekaburan dan kekeliruan.
Sayid Qutub berpendapat dalam Fi Zilal al-Quran: Baru sekarang! Seolah-olah keterangan-keterangan yang lepas itu tidak benar belaka, atau seolah-olah mereka tidak yakin bahawa perintah yang disampaikan kepada mereka itu benar, kecuali sekarang ini sahaja. Akhirnya, mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu. Sekalipun terpaksa membayar harga yang mahal atau takut terdedah rahsia, hampir-hampir mereka tidak dapat melaksanakannya. Ini kerana:
*Terlalu mahal harganya-pendapat Ibn Ka`ab al-Khurazi dengan harga yang dinilai daripada emas dan harta orang yang terbunuh. Begitu juga pendapat yang dihikayatkan oleh Ibn Abbas. Ada pendapat menyatakan dengan timbangannya sebanyak 10 kali ganda. Inilah pendapat yang dinyatakan oleh al-Mawardi dalam kitabnya, an-Nukat wa al-`Uyun.
lKerana mereka takut terdedah
siapa sebenarnya pembunuh di kalangan mereka. Inilah pendapat Wahab.
Ibn Abbas berkata: ''Mereka mencari sifat lembu tersebut selama hampir 40 tahun sehingga ditemuinya pada seorang lelaki. Lelaki tersebut pula enggan menjualnya kecuali belulangnya dipenuhi emas. Inilah pendapat Mujahid, `Ikrimah, Ubaidah, Wahab, Ibn Zaid dan al-Kalbi.
Adapun sebab harganya menjadi mahal ialah:
1. Kerana mereka terlalu banyak bertanya dan bersoal kepada Nabi Musa.
2. Kerana Allah memuliakan tuan lembu tersebut yang terkenal berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya.
Imam Nawawi dalam kitabnya, Matan al-Arbai`en menaqalkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya, maka hendaklah kamu kerjakan semampu kamu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh kerana banyak bertanya dan berselisih faham dengan nabi-nabi mereka. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menerangkan sebab-sebab kebinasaan orang-orang yang terdahulu, iaitu sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu (orang-orang yang terdahulu daripada kamu) kerana banyak bertanya dan berselisih terhadap nabi-nabi mereka. Difahami daripada keterangan ini, bahawa mereka yang telah binasa dan rosak, bukan kerana kurang kekuatan mereka tetapi kerana banyak sangat mengemukakan pertanyaan yang sengaja mereka ada-adakan atau banyak pula masalah yang mereka reka-reka sebagai tanda bantahan terhadap perintah yang diminta mereka kerjakan. Mereka tidak sedar bahawa kerana banyak bertanya akan banyak pula jawapan, yang pada hakikatnya bukan menyenangkan tetapi menambah lagi kesusahan mereka. Selain itu ada pula pertanyaan yang bukan-bukan sebagaimana pertanyaan kepada Isa a.s., iaitu "Adakah Tuhan engkau berkuasa menurunkan hidangan dari langit?"
Di dalam al-Quran ada diceritakan berkenaan pertanyaan orang-orang zaman dahulu dengan bermacam-macam maksud. Di antaranya, ada yang meminta penjelasan sesuatu perintah. Mereka tidak mahu melakukan perintah itu selagi belum diberi penjelasan satu persatu, sebagaimana pernah berlaku pada kisah baqarah (lembu betina) yang diperintahkan kepada Bani Israel untuk disembelih kerana suatu sebab tertentu.
Menurut asal perintah, mereka boleh menyembelih sebarang lembu. Tetapi mereka tidak mahu menurut perintah tersebut begitu sahaja. Malahan mereka meminta penjelasan tentang umurnya, warnanya dan sebagainya. Dengan demikian mereka menyusahkan diri sendiri kerana lembu yang dikehendaki tidak mudah didapati kecuali hanya seekor dan harganya pula sangat mahal, iaitu sebanyak ketulan emas yang dapat diisi di dalam kulitnya. Namun, mereka terpaksa membelinya untuk disembelih.
Kalau diringkaskan, pertanyaan ini dibahagikan kepada tiga jenis:
*Pertanyaan orang yang tidak tahu akan kewajipan agama seperti berwuduk, sembahyang, puasa dan lainnya daripada yang wajib diketahui dan dipelajari untuk diamalkan.
*Pertanyaan orang-orang yang hendak menambah pengertian dan pemahamannya mengenai suatu masalah dalam agama, sama ada hukum ibadat mahupun yang bertalian dengan muamalat seperti jual beli, sewa-menyewa dan lain-lain.
*Pertanyaan orang dalam perkara yang tidak difardukan Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis yang kesembilan ini kerana pertanyaan seperti ini hanya mendatangkan kesukaran. Dan Nabi s.a.w. pernah menyatakan: Bahawa sesuatu yang didiamkan itu adalah rahmat untuk kamu, maka janganlah bertanya lagi.
Syeikh Sya'rawi melalui tafsirnya menyatakan bahawa di sana terdapat seorang lelaki Bani Israel yang soleh. Ia mencari rezeki halal dengan penuh keimanan. Ketika hampir menemui ajalnya, beliau hanya memiliki seekor anak lembu betina, sedangkan beliau mempunyai isteri dan anak yang masih kecil. Apa yang patut dilakukan hanya dengan memiliki anak lembu betina?
Akhirnya beliau menghadap Allah seraya berdoa: "Ya Allah, aku simpan anak lembu betina ini kepada-Mu untuk anak kecilku ini.'' Kemudian dilepaskannya anak lembu tersebut ke sebuah ladang tanpa mewasiatkannya kepada seorangpun kecuali menyerah kepada Allah. Apabila anak tersebut besar, kata ibunya: "Ayahmu dahulu pernah meninggalkan pada kamu simpanan di sisi Allah, iaitu anak lembu betina." Lantas ditanya, di mana mungkin didapatinya. Jawab ibunya: "Jadilah seperti ayahmu yang bertawakal untuk simpanan kepada Allah. Begitulah kamu bertawakal untuk meminta kepada Allah."
Selepas anak tersebut berdoa, tiba-tiba datang lembu tersebut, diambilnya untuk ditunjuk kepada ibunya. Ketika berjalan, kaum Bani Israel melihatnya seraya berkata: "Inilah lembu yang kita cari, yang dituntut oleh Tuhan." Mereka menawarkan tiga dinar. Jawab si anak yang soleh ini: "Saya perlu bertanya ibu dahulu." Mereka merasa bimbang lantas menawarkan pula enam dinar. Jawab ibu tersebut: "Ia tidak dijual." Akhirnya selepas ditawar, anak itu berkata: "Saya tidak akan menjualnya kecuali belulangnya dipenuhi dengan emas." Mereka terpaksa melaksanakan kehendak anak tersebut. Begitulah kita dapati kebaikan ayah yang menjadikan Allah sebagai penjaga kepada anaknya, nescaya dipermudahkan segala urusannya.
No Comment
Post a Comment