Rasulullah diutus mengajar kebenaran
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SAYID Qutub berkata: Sesuai dengan tujuan ini kita melihat ayat-ayat yang berikut memperingatkan kaum Muslimin dengan nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada mereka, iaitu nikmat dikirimkan Rasulullah kepada mereka daripada kalangan mereka sendiri sebagai memperkenankan doa moyang mereka, Ibrahim a.s., selaku penjaga Masjid al-Haram yang menjadi kiblat kaum Muslimin. Kemudian pada akhir ayat itu Allah menghubungkan mereka secara langsung dengannya.
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu) samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku). (Al-Baqarah: 151-152)
Firman Allah, (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dalam kalangan kamu (iaitu Muhammad). Al-Zajjaj berkata: Perkataan Kama atau dengan maksud sepertimana tidak layak untuk menjadi jawab dengan apa yang sebelumnya dan lebih baik digantung dengan firmannya maka ingatlah Aku. Ia diriwayatkan maknanya oleh Ali, Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil. Ayat itu merupakan ucapan kepada musyrikin Arab.
Firman Allah, Yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu. Maksud perkataan al-Kitab ialah al-Quran, dan maksud al-Hikmah ialah al-Sunah. Di mana Rasul yang diutuskan dalam kalangan kamu iaitu Muhammad dan kiblat di negeri kamu. Di mana Rasul mengajar kamu ke arah kebenaran dan petunjuk dengan mendatangkan segala dalil dan bukti yang menunjukkan keesaan Allah, besar kudrat-Nya dan elok penciptaan-Nya. Seterusnya dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), yang sudah bertapak secara meluas pada orang Arab seperti membunuh anak-anak perempuan hidup-hidup, membunuh kanak-kanak kerana bimbang kefakiran, membunuh darah dengan sebab yang amat remeh-temeh serta menenggelamkan akhlak dan etika yang mulia. Justeru, Rasul datang untuk membaik pulih segala kepincangan akhlak tersebut.
Seterusnya dinyatakan tugas Rasul iaitu: Dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, di mana al-Quran yang mempunyai banyak hikmah Ilahi serta rahsia rabbani yang kerananya disifatkan sebagai petunjuk dan cahaya. Begitu juga dengan hikmah sebagai sunah Rasul yang amali dan sirahnya sebagai terjemahan kepada maksud al-Quran dalam semua aspek kehidupannya. Sama ada di rumah bersama sahabat ketika perdamaian dan peperangan, musafir dan bermukim, sedikit sebanyak semuanya sebagai tafsiran kepada umumnya al-Quran.
Dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. Ini bukan kerana ilmu yang bersumberkan pemikiran dan penelitian semata-mata, tetapi cara dan wasilahnya berdasarkan kepada makrifah wahyu. Seterusnya firman Allah: Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan sepertimana kata Ibn ‘Abbas dan Ibn Jubair: Ingatlah kepada-Ku dengan mentaati-Ku nescaya Aku ingatkan kamu dengan keampunan-Ku.
*Ketaatan
Ibrahim bin al-Sirri pula berkata: sebagaimana Aku nikmatkan kepadamu dengan risalah maka ingatlah-Ku dengan tauhid dan membenarkan Nabi-Ku. Al-Qurtubi berkata: Asal zikir adalah sedar dengan hati bagi apa yang yang dizikirkan, dan dinamakan zikir dengan lidah sebagai zikir kerana ia menunjukkan di atas zikir hati kecuali tatkala banyak diitlaqkan zikir atas ucapan lisan jadilah ia mendahului kefahaman.
Antara makna ayat sebagaimana yang disebut: zikir merupakan ketaatan kepada Allah, maka siapa yang tidak mentaatinya nescaya tidak berzikir kepadanya sekalipun dia memperbanyakkan sebutan tasbih, tahlil dan bacaan al-Quran. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud: Siapa yang mentaati Allah maka sesungguhnya dia berzikir kepada Allah, sekalipun sedikit solatnya, puasanya, dan perbuatannya yang baik. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah maka ia lupa kepada Allah. Sekalipun ia membanyakkan solatnya, puasanya dan perbuatannya yang baik. Hadis ini disebut oleh Abu Abdillah, Muhammad bin Khuwaiz Mandad dalam kitabnya Ahkam al-Quran. Justeru, kata Abu Uthman al-Nahdi, sesungguhnya aku mengetahui saat dan masa Allah menyebut dan mengingati kami. Lantas dikatakan kepadanya: Bagaimana kamu mengetahuinya? Jawabnya: Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan. Ini juga pendapat al-Suddi dan lainnya. Ditanya kepada Abu Uthman: Kami zikir kepada Allah tetapi tidak merasai kemanisan pada hati kami? Jawabnya: Pujilah kepada Allah yang menghiasi anggota untuk mentaatinya. Zu al-Nun al-Misri berkata: Siapa yang zikrullah atas hakikatnya nescaya lupa pada sekalian yang lain dan Allah memeliharanya daripada sekelian yang lain serta digantikannya daripada sekelian yang lain.
Muaz bin Jabal pernah berkata: Tiada amalan anak Adam yang lebih selamat untuknya daripada azab Allah s.w.t. lebih daripada zikrullah. Cukuplah disebutkan di sini sebuah hadis sebagaimana riwayat Ibn Majah daripada Abdullah bin Busur bahawa seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah seraya berkata: Sesungguhnya syariat Islam amat banyak, maka beritakan kepadaku daripadanya dengan sesuatu yang aku beristiqamah dengannya. Lantas sabda Nabi s.a.w.: Sentiasalah lidahmu basah daripada zikrullah.
Dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku). Syukur dengan maksud amalan, pujian dengan lisan, hati dan diterjemahkan dengan perbuatan mentaati kepada Allah serta larangan yang keras daripada mengkufuri nikmat Allah. Al-Syaukani berkata: Syukur ialah makrifah ihsan dan berbicara dengannya. Asalnya pada bahasa ialah mensucikannya.
Iktibar dan pengajaran ayat
Wazifah (jawatan) Rasulullah s.a.w. ialah membaca ayat-ayat Allah, mensucikan manusia, mengajar al-Kitab dan hikmah apa yang mereka tidak tahu.
Zikir kepada Allah merupakan ibadat yang penting dan lambang Allah mengingati seseorang dengan seseorang mengingati Allah.
Syeikh al-Maghari berkata: Sekiranya umat Islam dapat melaksanakan arahan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya maka layaklah mereka mendapat penambahan daripada Allah. Sebaliknya jika mereka mengkufuri nescaya balasan Allah amatlah pedih.
No Comment
Post a Comment