Yahudi tolak perintah dalam al-Quran

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

AL-Imam al-Maraghi berkata: “Allah taala menyebut banyak nikmat yang dikurniakan ke atas Bani Israel. Tetapi malangnya mereka membalas nikmat dengan kekufuran. Di sini Allah mendedahkan bukti nyata dan terang yang menunjukkan kebenaran dakwah Musa a.s. dan keesaan Allah di samping kebesaran kudrat-Nya. Tidaklah menambahkan kepada mereka kecuali dalam syirik dan bergelumang dengan jenis-jenis keberhalaan. Nikmat yang dikurniakan ke atas mereka tidak disyukuri sebaliknya menjadikan anak lembu sebagai anak tuhan yang mereka sembah selain Allah. Bagaimana mungkin mereka meminta keuzuran untuk tidak beriman dengan Muhammad s.a.w sedangkan mereka tidak beriman dengan apa yang diturunkan ke atas mereka. Ini merupakan bukti betapa kerasnya hati dan rosaknya akal fikiran mereka. Justeru, amat payah bagi mereka mendapat hidayah.”

Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)’, mereka menjawab: ‘Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat).’ Dan mereka ingkarkan (Kitab) lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?’

Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 91 dan 92)

Firman Allah, dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)’, supaya mengikutnya lantas mereka menjawab: ‘Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)’. Sayyid Qutub berkata: “Yakni cukuplah dengan kitab Taurat, kerana kitab ini merupakan satu-satunya kitab yang benar. Kemudian mereka mengingkari kitab-kitab suci lain yang diturunkan selepas Taurat sama ada kitab Injil yang dibawa oleh Isa a.s. atau kitab al-Quran yang dibawa oleh Muhammad s.a.w. (khatamun al-nabiyyin).”

Al-Quran memperlihatkan kehairanannya terhadap sikap mereka ini dan pendirian mereka yang menolak kitab suci selain yang diturunkan selepas kitab suci yang ada pada mereka sedangkan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal al-Quran itu benar lagi mengesahkan kitab Taurat yang ada pada mereka. Sebenarnya mereka menyembah diri sendiri dan menyembah perkauman mereka. Bukan setakat itu sahaja, malah mereka menyembah hawa nafsu kerana sebelum ini mereka menolak pengajaran yang dibawa oleh nabi-nabi mereka sendiri.

Syeikh Abd. al-Rahman al-Sa’di berkata: “Bahawa yang sewajibnya adalah mereka beriman dengan apa yang Allah turunkan secara mutlak sama ada ke atas mereka atau orang lain. Inilah iman yang memberi manfaat iaitu beriman dengan apa yang Allah turunkan kepada semua Rasul-Nya. Ada pun membezakan antara Rasul dan kitab-kitab dengan menyangka boleh beriman sebahagiannya dan kufur sebahagian yang lain, maka hakikatnya ia tidak beriman bahkan kufur.

Membunuh

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?” Yakni mengapa sebelum ini kamu bertindak membunuh para anbiya’ (nabi-nabi) Allah jika kamu benar-benar beriman kepada pengajaran-pengajaran yang diturunkan kepada kamu? Sedangkan para anbiya’ itulah yang telah membawa kitab-kitab suci yang mereka dakwa beriman kepadanya. Tidak, malah kamu telah mengingkari pengajaran yang dibawa oleh Musa a.s., nabimu yang utama dan penyelamatmu yang agung.

Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil berkata: “Sebelum Muhammad s.a.w., dibangkang ke atas mereka kerana pembunuhan nabi-nabi sedangkan mereka mendakwa beriman dengan Taurat. Sebaliknya Taurat sendiri tidak membenarkan pembunuhan nabi-nabi. Dikatakan, mereka pernah membunuh 300 nabi dalam satu hari sahaja di Baitulmaqdis.”

“Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) dengan segala hujah yang terang lagi nyata.”

Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut dua pendapat:

- Apa yang terdapat dalam alwah (lembaran-lembaran suhuf) daripada halal dan haram. Inilah pendapat Ibn Abbas.

- Iaitu tanda-tanda mukjizat yang sembilan. Inilah pendapat Muqatil.

Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya: “Dengan segala ayat yang jelas dan bukti yang tepat bahawa ia adalah Rasulullah dan bahawa tidak ada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah melainkan Allah. Dan bukti-bukti itu ialah angin taufan, belalang, kutu, katak, darah, tongkat, tangan, belah laut, memayungi mereka dengan awan, al-man, al-salwa, batu hingga yang lain daripada tanda kekuasaan Allah yang mereka saksikannya.”

Kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya. Al-Imam al-Baghawi dalam tafsirnya berkata: “Selepas Musa pergi ke bukit.” Ibn Kathir pula berkata: “Kamu menjadikan sembahan anak lembu selain daripada Allah pada zaman Musa a.s dan ayat-ayatnya. Ia berlaku selepas Musa a.s pergi ke Bukit Tur untuk munajat kepada Allah.”

Al-Alusi berkata: “Iaitu anak lembu yang dicipta oleh al-Samiri daripada barang perhiasan kamu sebagai tuhan yang lain daripada Allah. Hal ini berlaku selepas Musa a.s. datang kepada mereka dengan membawa Taurat dan beberapa mukjizat yang lain seperti terpancarnya air.”

Dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang yang zalim. Apakah perbuatan kamu menyembah patung anak lembu itu daripada ilham keimanan, setelah Musa a.s. membawa kepada kamu bukti-bukti mukjizat yang jelas dan semasa beliau masih hidup lagi? Apakah perbuatan ini sesuai dengan dakwaan kamu bahawa kamu beriman kepada pengajaran-pengajaran yang diturunkan kepada kamu. Ini bukannya yang pertama. Di sana ada perjanjian yang dibuat di bawah ancaman humbanan batu bukit ke atas mereka dan di sana juga ada tindakan mereka yang memberontak dan melanggar perintah Allah.

No Comment

Post a Comment