Orang yang taat - Tidak bersedih dan takut

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


AL-`ALAMAH Muhammad Rasyid Redha melalui tafsirnya, al-Manar berkata, sesungguhnya taubat Adam a.s. berdasarkan tafsiran kisah yang lalu dirujuk kepada hakikat sebenarnya, iaitu dengan kembali kepada Allah dan `itiraf bersama Hawa, kezaliman terhadap diri mereka serta meminta ampun dan rahmat daripada-Nya. Ia bukan semata-mata dengan tadabbur `akli (menggunakan akal untuk memikir) dan pertimbangan kebaikan dan keburukan berdasarkan kepada neraca fikiran, sehingga akhirnya seperti yang disebut oleh guru kami yang mengikut sebahagian ulama dari kalangan ahli sejarah.

Dan nyata kajian berhubung keperluan kepada rasul yang membawa risalah tauhid, kerana akal manusia semata-mata tidak mampu meletakkan batas-batas amalan kerana kesudahannya adalah kekuatan tarikan nafsu syahwat yang akhirnya hanyut bersama tuntutan syahwat.

Justeru kemestian daripada tasyri' Ilahi amat perlu. Akan tetapi saya pendekkan perbahasan ini dan melihat kepada perkembangan akal dan fikiran dewasa ini, mencapai ke tahap yang tidak mungkin sejarah lampau membenarkannya. Justeru ramai cerdik pandai mengkanunkan berbagai-bagai undang-undang untuk menghentikan perselisihan pada batas yang tidak mampu menegah kejahatannya.

Kami juga berpandangan semua umat boleh membangkitkan kejahatan dan kecelakaan, jenayah dan peperangan apatah lagi fitnah. Maka sebenarnya tiadalah hidayah kecuali hidayah Ilahi yang memaksa segala jiwa tunduk semata-mata berubudiah kepada Allah. Justeru disebut setinggi-tinggi kedudukan yang mencapai tahap sempurna ialah agama Ilahi dan wahyu samawi yang merupakan hidayat insaniah yang sempurna seperti firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 38.

Ibn Kathir berkata, Allah mengkhabarkan peringatan kepada Adam, isterinya dan Iblis ketika diturunkan mereka dari syurga, seperti firman-Nya:

KAMI BERFIRMAN LAGI: ``TURUNLAH KAMU SEMUANYA DARI SYURGA ITU! KEMUDIAN JIKA DATANG KEPADA KAMU PETUNJUK DARI-KU (MELALUI RASUL-RASUL DAN KITAB-KITAB YANG DITURUNKAN KEPADA MEREKA), MAKA SESIAPA YANG MENGIKUTI PETUNJUK-KU ITU NESCAYA TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARIPADA SESUATU YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA. (Al-Baqarah ayat 38)

Allah menyebut dengan penegasan; `Kami berfirman lagi: ``Turunlah kamu semuanya', diulang arahan turun sebagai penguat dan menerangkan bahawa Adam dan zuriatnya sebenarnya mendiami bumi bukan syurga. Inilah pandangan yang dikemukakan as-Suyuti dan al-Mahalli dalam Tafsir al-Jalalain. Al-Imam Fakhru ar-Razi berkata, para ulama menyebut faedah diulangkan arahan turun dengan dua wajah:

1. Pendapat al-Jabbaie, bahawa penurunan pertama bukan seperti penurunan kedua, kerana penurunan pertama dari syurga ke langit dunia. Sedangkan penurunan kedua dari langit dunia ke bumi. Ini pendapat daif dari dua wajah:

i. Allah berfirman sewaktu penurunan pertama dengan firman-Nya: ``Dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan.'' Kalau kediaman di bumi sesungguhnya terhasil dengan penurunan kedua, sudah pasti firman-Nya ``Dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi dan kesenangan hidup'', berlaku selepas penurunan kedua lebih baik.

ii. Bahawa Firman-Nya pada penurunan kedua: ``Turunlah kamu semuanya darinya (syurga) itu'', ganti nama dari`nya' bermaksud syurga. Ini membawa kepada kehendak penurunan kedua dari syurga.

2. Bahawa pengulangan di sini semata-mata sebagai penguat. Inilah yang disokong oleh al-Fakhru ar-Razi.

Rasyid Redha berkata, telah selesai peringkat nikmat dan kerehatan, justeru masuklah kamu pada peringkat yang mempunyai dua jalan; petunjuk dan kesesatan, iman dan kufur, begitu juga kemenangan dan kerugian.

Selepas itu Allah menyebut: ``Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku (melalui rasul-rasul dan kitab- kitab yang diturunkan kepada mereka)'', maksudnya, iaitu rasul yang Aku bangkitkan bagimu dan kitab yang Aku turunkan ke atasmu. Maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu, iaitu sesiapa yang beriman dengan-Ku dan beramal mentaati-Ku. Ibn Jauzi berkata, terdapat dua pandangan berhubung maksud `petunjuk':

i. Bahawa itulah Rasulullah s.a.w. Ini pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.

ii. Iaitu al-Kitab (al-Quran), sebagaimana hikayat sebahagian ulama tafsir. Al-Imam al-Baghawi melalui tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil atau lebih dikenali dengan nama Tafsir al-Baghawi berkata, petunjuk ialah kenyataan syariat dan disebut kitab dan rasul. Syeikh Abdul Rahman as-Sa'di di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim berkata, disusun mengikut hidayat kepada empat perkara; menafikan ketakutan dan kesedihan.

Perbezaan

Perbezaan antara kedua-duanya ialah, musibah yang telah lalu mengundang kesedihan atau dukacita. Sedangkan musibah yang akan datang mengundang ketakutan. Menafikan kedua-duanya daripada mengikut hidayat sudah pasti natijahnya berlawanan iaitu hidayat dan kebahagiaan. Sesiapa yang mengikut hidayat sudah pasti terhasil baginya keamanan, kebahagiaan dunia dan akhirat serta hidayat. Dan menafikan daripadanya juga daripada sebarang musibah seperti ketakutan, dukacita, kesesatan dan kecelakaan.

Syeikh Muhammad Tahir Ibn `Asyur berkata di dalam tafsirnya, At-Tahrir Wa at-Tanwir, dengan maksud perjanjian yang Allah ambil daripada Adam juga melazimi segala zuriatnya supaya mengikut setiap petunjuk hidayat yang datang daripada Allah, dan sesiapa yang berpaling daripada hidayat Allah sudah pasti dikenakan azab yang mengandungi semua syariat Ilahi yang ditujukan kepada semua kumpulan manusia, kerana perkataan `huda' yang dinakirahkan pada bentuk syarat (bentuk ayat syarat), bermaksud lafaz-lafaz yang umum. Dan seutama-utama petunjuk yang wajib diikuti ialah yang datang daripada Allah kepada seluruh manusia, iaitu agama Islam.

`Nescaya tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.' Iaitu mereka tidak merasa takut begitu juga tidak ditimpa kesedihan pada Hari Akhirat.

Ibn Jarir at-Thabari melalui tafsirnya berkata, mereka itu merasa aman pada masa huru-hara Hari Kiamat daripada hukuman Allah tanpa merasa takut azab-Nya. Ini kerana mereka taat kepada Allah sewaktu berada di dunia dan mengikut segala arahan-Nya, petunjuk dan jalan-Nya, nescaya mereka tidak akan merasa sebarang dukacita pada hari tersebut.

Ibn Jauzi berkata, maknanya mereka tidak merasa takut terhadap azab Allah dan mereka juga tidak merasa dukacita ketika mati. Ketakutan untuk perkara yang akan datang, sedangkan dukacita untuk masa yang telah berlalu.

Syeikh Muhammad Abduh berkata, ketakutan merupakan dukacita manusia daripada berlaku perkara yang menyakitkan. Sedangkan dukacita merupakan perkara yang terkena kepada manusia apabila hilang segala yang disayangi. Dan sesungguhnya Allah mengurniakan kepada kita perasaan tuma'ninah yang sempurna tatkala berlakunya perkara tersebut.

Beliau juga berkata, bukanlah kebahagiaan manusia itu kerana mendapat kebebasan seperti binatang tetapi sebenarnya kebebasan hendaklah berlaku di dalam ruang lingkup syariat, dan sesiapa yang mengikut syariat Allah tanpa syak lagi akan mendapat nikmat yang baik. Dan menerima segala musibah dengan sabar di samping ketenangan yang tinggi.

No Comment

Post a Comment