Qisas mampu cegah pertumpahan darah
Oleh Dr. Zulkifli Mohamad Albakri
Syeikh Sya’rawi berkata: Sesungguhnya Allah yang Haq mengangkat hukuman dan azab daripada pembunuh apabila diterima qisas dan dilaksanakannya atau apabila dimaafkan dengan membayar diyat (denda).
Akan tetapi Allah tidak menerima selain daripada penggunaan masa-masa yang diberikannya atau peluang bagi makhluk untuk mengangkat dalam perhubungan mereka. Dengan kata lain, Allah tidak menerima untuk dilindungi pembunuh yang telah diberikan kemaafan dan dibayar diyat. Kerana ini merupakan sia-sia yang tidak dikehendaki oleh Allah s.w.t.
Allah berfirman, Di dalam (undang- undang) qisas kamu mendapat jaminan hidup wahai orang-orang yang berakal supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah: 179)
Firman Allah s.w.t: Di dalam (undang-undang) qisas kamu mendapat jaminan hidup. Syeikh Sya’rawi berkata: Di sini kita dapati bentuk ayat yang datang dengan firmannya: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas. Sedangkan di sini didatangkan dalam bentuk al-Quran: Bagi kamu pada qisas.
Ini menunjukkan betapa mendalam dan kukuhnya syariat yang datang dengan kewajipan dan hak-hak. Maka tiada wajib tanpa hak dan tiada hak tanpa wajib. Hingga kita mengetahui betapa tingginya syariat yang dituntut dari setiap orang yang beriman untuk melihat apa yang wajib daripada taklif dan disertakannya dengan hak. Supaya orang yang beriman dapat memahami cahaya manhaj Allah bagi mendapat keadilan yang mutlak.
Al-Syahid Syed Qutub berkata: Hukuman qisas itu bukannya bertujuan membalas dendam dan memuaskan perasaan dendam kesumat, malah ia mempunyai tujuan yang lebih mulia dan tinggi dari itu lagi, iaitu untuk membela hidup dan untuk kepentingan hidup, malah qisas itu sendiri merupakan hidup. Selain itu, ia bertujuan supaya manusia berfikir tentang hikmat undang-undang qisas itu dan supaya menggerakkan dan merangsangkan hati mereka ke arah takwa kepada Allah.
Hidup yang wujud dalam undang- undang qisas itu adalah terbit dari tindakan mencegah penjenayah-penjenayah dari awal-awal lagi dari melakukan pencerobohan, kerana orang yang yakin bahawa dia pasti membayar dengan nyawanya apabila dia membunuh orang tentulah dia akan berfikir panjang dan tentulah dia akan teragak-agak (untuk melakukan pencerobohan).
Ia juga terbit dari kepuasan hati wali-wali darah ketika berlakunya pembunuhan qisas itu kerana ia tidak lagi menaruh perasaan dendam kesumat dan keinginan menuntut bela, iaitu satu keinginan yang tidak mengenal batas di dalam kalangan suku-suku Arab sehingga terus menerus menimbulkan peperangan-peperangan yang terputus-putus selama 40 tahun sebagaimana yang berlaku di dalam peperangan al-Basus yang terkenal di sisi mereka.
Ia sebagaimana kita dapat lihat dalam kehidupan kita (orang-orang Arab) pada hari ini sehingga darah hidup itu mengalir di dalam pembunuhan-pembunuhan membalas dendam di antara keluarga generasi demi generasi dengan tidak berhenti-henti.
Di dalam undang-undang qisas terdapat jaminan hidup dalam ertikatanya yang syumul. Ini kerana pencerobohan di atas semua nyawa dan semua manusia yang hidup yang mempunyai sifat hidup yang sama dengan si mati yang dibunuh.
Apabila undang-undang qisas dapat mencegah penjenayah dari mencabut satu nyawa, maka bererti ia dapat mencegah penjenayah itu dari menceroboh seluruh nyawa yang lain. Pencegahan itu memberi jaminan hidup yang mutlak, iaitu ia bukan hanya memberi jaminan hidup kepada satu individu, kepada satu keluarga, kepada satu kelompok, malah memberi jaminan kepada hidup seluruhnya.
Kemudian ayat ini merangsangkan kesedaran supaya memikirkan hikmat kebijaksanaan Allah dan supaya bertaqwa kepada Allah yang menjadi faktor terpenting dan pengaruh utama untuk memelihara keselamatan nyawa.
Firman Allah: Wahai orang-orang yang berakal. Maksud Ulul al-Bab atau yang berakal ialah merangkumi dua perkataan: Ulu yang bermaksud tuan, empunya atau pemilik manakala al-Albab pula membawa maksud hati. Dalam Lisan al-Arab 8/16, oleh Ibn Manzur menyebut definisi al-Albab:
Ibn al-A’rabi berkata: “Albab ialah albal yang bermaksud akal.”
Dengan maksud beradab.
Dengan maksud keluasan.
Dengan maksud kesuburan.
Dengan maksud keamanan.
Dengan maksud di hadapan.
Al-Ahmar berkata, Lub ialah tapisan seperti tanah atau pasir yang halus.
Dengan maksud tempat sembelihan daripada sesuatu. Sebahagian pendapat di atas disebut dalam al-Mua’jam al-‘Arabi al-Asasi, halaman 1068.
Para Ulu al-Albab berfikir dan merenungi kejadian langit dan bumi dan kejadian pertukaran malam dan siang, kemudian menerima ilham-ilham dari kitab alam buana yang terbuka itu, di mana fitrah mereka menyambut saranan kebenaran yang tersembunyi di dalam kejadian alam-alam buana itu lalu mereka bertawajuh kepada Allah mengangkat doa yang khusyuk menggeletar, panjang dan mendalam kemudian menerima sambutan daripada Allah yang Pemurah dan Maha Pengasih yang memperkenankan doa mereka yang ikhlas dan mesra itu. Apakah hakikat penerimaan itu?
Firman Allah: Supaya kamu bertakwa. Ibn al-Jauzi menyebut dua pandangan berkenaan dengan maksud takwa di sini:
Pertama: Supaya kamu bertakwa daripada menumpahkan darah seperti kata Ibn ‘Abbas.
Kedua: Mudah-mudahan kamu bertakwa daripada membunuh dan kamu tidak dibunuh dengan sebabnya seperti kata Ibn Zaid.
Takwalah satu-satunya tali yang mengikat hati manusia dari melakukan pencerobohan, iaitu pencerobohan memulakan pembunuhan dan pencerobohan membalas bela. Takwa ialah kepekaan hati dan perasaannya yang sentiasa takut kepada Allah, sentiasa segan mendapat kemurkaan-Nya dan sentiasa menurut keredaan-Nya.
Tanpa ikatan takwa, syariat tidak mungkin tegak, undang-undang tidak akan berjaya dan tiada seorang pun yang merasa malu-malu dan segan. Peraturan-peraturan yang kosong dari roh, dari kepekaan, dari ketakutan dan dari keinginan mendapat keredaan dari satu kekuatan yang lebih besar dari kekuatan manusia adalah tidak cukup (untuk mencegah manusia).
Abi al-Hasan Ali al-Nadwi berkata: Sehingga apabila nafsu kebinatangan manusia menjadi liar di suatu ketika dan terjatuh dalam suatu kesalahan. Iaitu semasa ia tidak dilihat oleh orang lain dan tidak dapat ditangkap oleh undang-undang.
Maka keimanan akan berubah menjadi jiwa yang memberi kecaman dan kritikan yang tajam yang mencubit hati nurani, menimbulkan khayalan yang menakutkan dan menyebabkan tuannya tidak dapat mencapai ketenangan sehingga ia mengakui kesalahannya di hadapan undang-undang. Ia juga menyerahkan dirinya kepada hukuman yang berat dan bersedia menanggungnya dengan hati yang tenang dan rela untuk menjauhkan dirinya dari kemurkaan Allah dan balasan akhirat.
Iktibar dan pengajaran ayat:
lKeadilan tasyrik Ilahi kerana penciptanya adalah Allah s.w.t yang bersifat dengan sifat kesempurnaan.
lPelaksanaan qisas merupakan jalan penyelesaian yang paling baik dengan syarat-syarat dan dowabit yang tertentu.
Syeikh al-Maghari berkata: Apabila qisas merupakan kehidupan yang dilaksanakan sudah tentu kamu akan selamat dari sebarang pertumpahan darah. Justeru orang yang berakal amat berkeinginan untuk hidup dan menjaga dirinya dari terbabit dengan hukuman qisas.
No Comment
Post a Comment