Allah tidak mempunyai anak
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Syeikh Sya'rawi berkata, selepas Allah s.w.t. menerangkan bahawa setiap sesuatu di alam ini di bawah kekuasaan-Nya, Allah s.w.t. hendak mengembalikan atas mereka yang cuba menjadikan Allah penolong dan sekutu bagi kerajaan-Nya.
Kemudian ayat-ayat yang berikut menunjukkan kefahaman mereka yang sesat terhadap hakikat Uluhiah dan penyelewengan mereka daripada dasar tauhid yang menjadi landasan agama Allah dan asas kefahaman yang betul dalam setiap risalah. Ia menggandingkan kefahaman mereka yang menyeleweng dengan kefahaman-kefahaman jahiliah yang karut terhadap zat Allah s.w.t. dan sifat-sifat-Nya, di samping menjelaskan wujudnya persamaan di antara hati kaum Musyrikin Arab dengan hati kaum Musyrikin daripada golongan Ahli Kitab serta membetulkan seluruh mereka yang menyeleweng ke arah kepercayaan syirik itu dan menerangkan landasan kefahaman keimanan yang betul kepada mereka.
Firman Allah, “Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: ‘Allah mempunyai anak’. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia-lah yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya.
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: ‘Jadilah engkau!’ Lalu menjadilah ia.” (Al-Baqarah: 116 dan 117)
Firman Allah s.w.t., Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak.” Inilah dakwaan golongan Yahudi, Kristian dan musyrikin. Yahudi mendakwa Uzair sebagai anak Allah. Kristian pula mendakwa al-Masih anak Allah. Sedangkan golongan musyrikin pula mendakwa segala malaikat adalah anak perempuan Allah. Maka Allah s.w.t. mendustakan semua dakwaan mereka seraya berfirman, “Sebelum al-Quran meneruskan penerangannya tentang segi-segi kekarutan kefahaman mereka yang lain terhadap Allah s.w.t., ia terlebih dahulu membersihkan Allah s.w.t. daripada kefahaman itu dan menerangkan hakikat hubungan yang sebenar antara Allah dengan sekalian makhluk-Nya.”
Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: Ulama telah khilaf sebab turun ayat ini:
1. Diturunkan kepada golongan Yahudi yang menjadikan Uzair anak Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a..
2. Diturunkan kepada Kristian Najran yang berkata, Isa anak Allah. Inilah pendapat Muqatil.
3. Diturunkan kepada Kristian dan Musyrikin Arab kerana orang Kristian mendakwa Isa anak Allah dan musyrikin pula mendakwa malaikat adalah anak-anak perempuan Allah. Inilah pendapat Ibrahim bin al-Sariy.
4. Bahawa ia diturunkan terhadap Yahudi, Kristian dan Musyrikin Arab. Inilah pendapat al-Tha'labi.
Maha Suci Allah (daripada apa yang mereka katakan itu), iaitu Maha Suci Allah daripada segala dakwaan mereka dengan sesuci-suci-Nya. Dakwaan yang karut bahawa Allah mempunyai anak itu bukanlah dakwaan kaum Nasara sahaja terhadap Isa al-Masih, malah ia juga dakwaan kaum Yahudi terhadap Uzair dan dakwaan Musyrikin Arab terhadap malaikat. Ayat ini tidak menghuraikan dakwaan-dakwaan itu kerana tujuan penerangan ayat ini adalah untuk menerangkan secara ringkas tentang tiga golongan yang menentang Islam pada masa itu di Semenanjung Tanah Arab – yang anehnya ketiga-tiga golongan itu masih terus menentang Islam pada hari ini dalam bentuk pergerakan Zionis antarabangsa. Dan ketiga-tiga golongan ini lebih kufur daripada kaum Musyrikin pada masa itu – dan daripada kenyataan umum ayat ini gugurlah dakwaan kaum Yahudi dan Nasara kononnya mereka sahaja golongan manusia yang mendapat hidayat. Kini nyatalah bahawa mereka adalah sama dengan kaum Musyrikin (Arab).
Bahkan Dialah yang daripada segala dakwaan mereka dengan sesuci-sucinya memiliki segala yang di langit dan di bumi. Bahkan ia bukan sebagaimana apa yang mereka sangka. Sebenarnya Allahlah yang bersifat Maha Pencipta semua yang ada daripada makhluk-Nya termasuklah Uzair, al-Masih dan malaikat.
Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. Al-Zajjaj berkata: Perkataan qunut mempunyai dua makna:
1. Qiam atau berdiri;
2. Taat.
Dan yang masyhur pada bahasa dan penggunaan iaitu qunut dengan maksud doa ketika qiam sedangkan orang berqunut ialah orang yang melaksanakan arahan Allah s.w.t..
Ulama tafsir mengemukakan tiga pendapat yang dimaksudkan dengan qunut:
1. Ketaatan. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Jubair, Mujahid dan Qatadah;
2. Ia bermaksud ikrar dengan ibadat. Inilah pendapat Ikrimah dan al-Suddi;
3. Ia bermaksud qiam. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Rabi'.
Sedangkan makna qiamnya pula mempunyai dua pendapat:
1. Bahawa maksudnya qiam dengan syahadah dengan ubudiyah;
2. Iaitu berdiri di hadapan-Nya pada hari kiamat.
Semuanya patuh kepada Allah s.w.t. dan sekali-kali tidak mungkin melanggar hukum takdir Tuhan. Oleh itu, tidak sekali-kali perlu difahamkan bahawa Allah s.w.t. mempunyai anak di kalangan makhluk-makhluk yang wujud di langit dan di bumi ini kerana seluruh makhluk ini adalah daripada ciptaan-Nya belaka. Semuanya diciptakan dengan darjah yang sama dan alat yang sama.
Berkehendak
Firman Allah, “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); Allah sahajalah Pencipta dan Pereka yang tidak mempunyai sebarang contoh terdahulu dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: Di sini kita sampai kepada satu konsep Islam yang bersih dan sempurna mengenai Allah s.w.t. dan bentuk hubungan antara khalik dan makhluk, juga mengenai cara kemunculan makhluk daripada ciptaan-Nya. Konsep ini merupakan setinggi-tinggi dan sejelas-jelas kefahaman mengenai semua hakikat ini. Alam buana ini muncul daripada Penciptanya dengan perantaraan keputusan iradat Allah yang mutlak dan Maha Berkuasa iaitu, “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.
Apabila Allah s.w.t. berkehendak mencipta sesuatu, ia boleh terhasil tanpa sebarang larangan dan tangguh, bahkan dengan sekelip mata, pasti arahan-Nya terlaksana. Keputusan Iradat Allah hendak menjadikan sesuatu makhluk sudah cukup untuk melahirkan makhluk itu ke alam al-wujud mengikut rupa bentuk yang telah ditentukan-Nya tanpa perantaraan kekuatan dan bahan.
Tetapi bagaimana cara iradat Allah – yang kita tidak mengetahui hakikat itu – berhubung dengan makhluk yang hendak diciptakan-Nya itu adalah satu rahsia yang tidak didedahkan kepada kefahaman manusia, kerana tenaga manusia tidak dilengkapi dengan kesediaan-kesediaan untuk memahaminya kerana ia tidak diperlukannya dalam menjalani tugas yang diserahkan kepada mereka, iaitu tugas memerintah dan mengimarahkan bumi ini.
Sebagaimana manusia dikurniakan Allah s.w.t. dengan kudrat kuasa sekadar yang membolehkan mereka untuk membongkakkan undang-undang alam yang berguna kepada mereka di dalam menjalani tugas-tugas mereka, begitulah juga Allah s.w.t. menyembunyikan daripada mereka rahsia-rahsia lain yang tidak ada hubungan dengan tugas khalifah mereka yang agung.
Pendapat-pendapat falsafah hanya berkelana dan meraba-raba di padang gurun tanpa pedoman apabila ia cuba membongkarkan rahsia-rahsia ini dan membuat berbagai-bagai andaian yang terbit daripada kefahaman manusia yang tidak disediakan untuk bidang ini. Mereka sama sekali tidak dibekalkan dengan alat-alat yang membolehkan mereka mengetahui dan meneroka bidang ini. Oleh sebab itulah hasil andaian-andaian itu kelihatan lucu walaupun ia dibuat dalam tahap yang setinggi-tingginya.
Ia kelihatan begitu lucu hingga membingungkan manusia bagaimana pendapat ini boleh terkeluar daripada seorang ahli falsafah! Semuanya ini disebabkan ahli-ahli falsafah itu cuba keluar dengan kefahaman dan pemikiran manusia daripada tabiat kejadiannya dan membawanya keluar melebihi batas keupayaan yang ditentukan kepadanya.
Oleh sebab itu mereka tidak sampai kepada sesuatu pendapat yang boleh diyakini dan boleh dihormati oleh orang yang berpegang dengan kefahaman Islam dan hidup di bawah naungannya. Islam telah menyelamatkan para penganutnya yang beriman kepada hakikatnya daripada berkelana dan meraba-raba di padang gurun yang tidak berpandu dan daripada melakukan percubaan-percubaan yang gagal serta tersalah jalan dari awal lagi.
Gerakan iradat itu berlangsung dengan suatu cara yang tidak dapat diketahui oleh daya pemikiran manusia. Ini kerana hal ini di luar kemampuan daya pemikiran mereka. Oleh itu adalah kerja-kerja membuang tenaga yang sia-sia untuk berusaha membongkar rahsia ini dan meraba-raba di padang gurun tanpa pemandu.
No Comment
Post a Comment