Laut terbelah - Air setinggi gunung
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SYEIKH Abdur Rahman as-Sa`di berkata dalam tafsirnya, Taisir al-Karim: ``Kemudian Allah menyebut nikmat-Nya kepada Bani Israel, berdasarkan janji-Nya kepada Musa selepas 40 malam ia ber`uzlah untuk Tuhannya supaya diturunkan ke atas mereka Taurat, yang mengandungi nikmat-nikmat yang besar dan maslahah yang umum.
``Ini semua tambahan yang terdahulu daripada kurniaan nikmat yang mewajibkan ke atasmu bersyukur dan melaksanakan segala perintah arahan-Nya.''
Firman Allah Taala:
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI BELAHKAN LAUT (MERAH) UNTUK KAMU LALUI (KERANA MELARIKAN DIRI DARIPADA ANGKARA FIRAUN), LALU KAMI SELAMATKAN KAMU DAN KAMI TENGGELAMKAN FIRAUN BERSAMA-SAMA TENTERANYA, SEDANGKAN KAMU SEMUA MENYAKSIKANNYA. (Surah al-Baqarah ayat 50)
Di antara mukjizat Allah kepada Nabi Musa ialah `Dan (kenangkanlah) ketika Kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri daripada angkara Firaun)', iaitu ingatlah juga ketika Kami membelah bagimu lautan yang bersifat cecair menjadi daratan yang kering kontang lagi tandus, sehingga memungkinkanmu berjalan dan menyeberanginya dengan selamat.
Al-Imam al-Mawardi dalam an-Nukat wa al-`Uyun berkata: ``Terdapat dua tafsiran yang dimaksudkan dengan `Kami belahkan laut':
i. Kami pisahkan dengan kamu laut, kerana maksud farq ialah pemisahan antara dua perkara.
Justeru dipisahkan laut kepada 12 jalan dan jumlah bilangan mereka ketika itu 620 ribu. Itu tidak dikira pada anak-anak yang usianya 20 tahun ke bawah kerana masih kecil.
Begitu juga mereka yang berusia 60 tahun ke atas kerana usia tuanya. Sementara itu, tentera Firaun diketuai oleh Haman bersama sejuta bala tentera dan 700 ekor kuda.
Al-Imam al-Baghawi menambah: ``Mereka masuk ke Kota Mesir bersama Ya'kub seramai 72 orang, termasuk lelaki dan perempuan.'' Dan daripada Ibn Mas`ud pula : ``Adalah sahabat Musa seramai 670 ribu orang.'' Amr bin Maimun pula berkata: ``Mereka berjumlah 600 ribu. Apabila mereka mahu berjalan, mereka tersesat sehingga tidak mengetahui ke mana arah mereka. Kemudian Musa memanggil orang-orang tua Bani Israel dan bertanya kepada mereka mengenainya, lantas mereka menjawab: ``Sesungguhnya Yusuf tatkala hampir wafat, telah membuat perjanjian dengan saudara-saudaranya supaya jangan keluar dari Kota Mesir sehingga mereka dikeluarkan bersama. Justeru, kerana itulah perjalanan kami terhalang.''
Kemudian Musa bertanya tentang di mana kubur Yusuf tetapi mereka tidak mengetahui. Lantas Musa bangun seraya menyeru: ``Aku bersaksi kepada Allah, sesiapa yang mengetahui di mana kubur Yusuf, hendaklah mengkhabarkannya kepadaku.'' Dan setiap orang masih lagi tidak mengetahuinya sehinggalah ia mendengarnya daripada seorang wanita tua yang berkata: ``Adakah kamu mahu jika aku tunjukkan kuburnya untuk mengurniakan kepadaku apa yang aku minta?'' Musa enggan dan berkata: ``Sehingga aku bertanya kepada Tuhanku.''
Permohonan
Kemudian Allah mengarahkannya dengan menunaikan permohonan wanita tua itu. Lantas wanita tersebut berkata: ``Sesungguhnya aku seorang wanita yang amat tua, tidak mampu berjalan, bawalah aku dan keluarkanlah aku dari Mesir. Ini adalah permohonanku di dunia. Adapun permohonanku di akhirat, aku minta supaya jangan kamu turunkan mana-mana bilik dari syurga kecuali aku turun bersamamu.'' Jawabnya: ``Ya.'' Wanita itu berkata lagi: ``Sesungguhnya di tengah-tengah Sungai Nil terdapat kuburnya dan hendaklah kamu berdoa kepada Allah supaya kering airnya.''
Kemudian Musa berdoa kepada Allah, sehingga kering airnya dan Baginda berdoa supaya fajar dilambatkan terbit sehingga selesai urusan Yusuf tersebut. Selepas itu Musa menggali tempat tersebut. Baginda mengeluarkannya dalam satu bekas yang diperbuat daripada marmar dan membawanya sehingga dikebumikan di Kota Syam.
Lantas dibuka bagi mereka jalan sehingga berjalanlah mereka bersama Musa dan Harun. Sedangkan Firaun mengarahkan kaum dan bala tenteranya supaya jangan keluar mencari Bani Israel sehingga kokokan ayam berbunyi.
Demi Allah, pada malam tersebut, ayam tidak berkokok. Maka keluarlah Firaun mencari Bani Israel yang diketuai Haman berjumlah sejuta tujuh ratus ribu. Bersama mereka, 70,000 ribu kuda di samping haiwan lain seperti kambing.
Dikatakan bahawa Firaun bersama 7,000 orang, sehingga apabila Bani Israel sampai ke tepi laut dan mereka melihat Firaun yang hampir tiba, mereka berhenti dalam keadaan tercengang, seraya bertanya kepada Musa: ``Hai Musa, apakah yang harus kita lakukan. Dan di mana janji-janji kamu?''
Mereka menambah: ``Firaun di belakang kita, kalau dia berjaya mendapatkan kita, pasti kita dibunuh. Sedangkan laut di hadapan kita, kalau kita masuk, sudah pasti kita lemas.''
Akhirnya Allah mengarahkan Musa supaya memukul laut. Maka dipukullah laut sehingga menjadi 12 lorong. Setiap qabilah melalui lorong masing-masing dan air laut terangkat antara lorong-lorong tersebut setinggi gunung.
Allah mengutuskan angin dan matahari kepada laut sehingga ia menjadi kering yang memungkinkan Bani Israel melaluinya. Sedangkan di sebelah mereka air seperti gunung yang besar, sehingga orang yang berada di satu lorong tidak dapat melihat orang lain yang berada di lorong sebelahnya.
Lantas mereka mulai merasa takut dan berkata: ``Sesungguhnya sahabat-sahabat kita telah dibunuh.'' Kemudian Allah mewahyukan kepada air yang menggunung tinggi itu supaya masuk antara satu dengan yang lain sehingga air seperti bertingkat-tingkat dan dapat dilihat oleh mereka yang berada di lorong-lorong yang berlainan.
Mendengar
Mereka dapat mendengar ucapan teman-teman yang berada di lorong yang lain sehinggalah mereka dapat merentasi laut dengan selamatnya.
ii. Maknanya ialah apabila Kami bezakan antaramu dan laut, kerana asal kalimah farq ialah membezakan antara dua perkara. Sebab itu perkataan firqah di kalangan manusia bermaksud kumpulan yang berbeza daripada yang lain.
Dinamakan laut itu laut kerana sifatnya yang luas lagi dalam. Oleh kerana itu disebut lautan ilmu apabila seseorang itu mempunyai ilmu yang luas. Ada pendapat yang mengatakan, dinamakan laut kerana masinnya air tersebut.
Al-Imam an-Nasafi menyebut satu riwayat bahawa kaum Bani Israel berkata kepada Nabi Musa: ``Mana dia sahabat-sahabat kami? Kami tidak redha sehingga kami melihat mereka.'' Kemudian Allah menurunkan wahyu kepadanya supaya berkata: ``Dengan tongkatmu begini, maka berkatalah dengannya di atas tembok atau benteng sehingga terjadilah lubang, yang menyebabkan mereka dapat melihat dan mendengar perbualan mereka.''
Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah: `maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya', iaitu Kami menyelamatkanmu daripada mati lemas dan tenggelam. Sedangkan Kami tenggelamkan dan lemaskan Firaun serta kaumnya.
Hal ini diterangkan dengan firman-Nya: `Sedang kamu semua menyaksikannya'. Iaitu kamu sendiri menyaksikan peristiwa tersebut, maka sesungguhnya ia menjadi tanda dan ayat kebesaran Tuhan untuk menyelamatkan wali-wali dan pengikut-pengikut agama-Nya serta membinasakan musuh-musuh-Nya.
Ibn al-Jauzi dalam kitabnya, Zad al-Masir berkata: ``Terdapat dua pandangan berhubung maksud ``kamu melihat':
1. Melihat dengan mata sebagaimana mereka tenggelam dan lemas.
2. Dengan makna ilmu atau mengetahui.
Al-Imam as-Samarqandi melalui tafsirnya, Bahr al-`Ulum berkata: ``Iaitu kamu melihat mereka apabila laut memuntahkan mereka selepas mereka tenggelam lemas, iaitu nenek moyang mereka.'' Sebahagian mereka berkata: ``Maknanya bahawa sesungguhnya kamu mengetahui yang demikian itu seolah-olah kamu melihat mereka.'' Seorang fakih berkata: `` Pada kisah Firaun dan lainnya merupakan alamat dan tanda kenabian Muhammad s.a.w. kerana beliau pasti tidak mengetahui yang demikian itu kecuali melalui wahyu. Apabila Nabi s.a.w. memberitahu kepada mereka hakikat sebenarnya tanpa sebarang bacaan, sudah tentu ia menjadi dalil bahawa kenyataannya itu melalui wahyu''.
Padanya juga dapat diambil iktibar bahawa diancam kepada orang kafir supaya beriman, moga-moga selamat daripada terkena bala sebagaimana terkena kepada mereka. Dan padanya juga terdapat peringatan kepada orang yang beriman supaya menggerunkan mereka daripada tenggelam melakukan maksiat.
As-Syaukani melalui Fath al-Qadir berkata: ``Dikatakan kamu melihat, iaitu sebahagian kamu kepada sebahagian lain daripada golongan yang berjalan di laut. Dan dikatakan mereka melihat diri mereka yang selamat, sedangkan pengikut Firaun tenggelam.''
No Comment
Post a Comment