Bani Israel kufur selepas sembah lembu
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SYEIKH Sya’rawi berkata: “Selepas Allah s.w.t. mengingatkan mereka dengan sebab kekufuran mereka beribadat kepada anak lembu dan adalah ini sejenis daripada ancaman dan peringatan yang keras. Allah s.w.t. menghendaki untuk memberi peringatan seterusnya kerana mereka beriman semata-mata takut daripada dihempap Bukit Tur ke atas mereka, sedangkan bukit tidak jatuh ke atas mereka kerana Allah tidak memaksa seseorang atas iman mereka tetapi mereka hanya melihat Bukit Tur atas mereka lantas beriman. Perumpamaan mereka samalah seperti kanak-kanak yang disifatkan oleh doktor ubat yang pahit untuk sembuh.”
Sayyid Qutub pula berkata: “Susunan ayat ini berubah daripada bentuk berbicara kepada bentuk bercerita. Mula-mula ia berbicara dengan Bani Israel mengenai tindak-tanduk mereka. Kemudian ia berpaling kepada orang-orang mukmin dan manusia keseluruhannya, lalu menunjukkan kepada mereka tindak-tanduk Bani Israel. Kemudian ia mengajar Rasulullah s.a.w. supaya menghadapi mereka dengan penghinaan dan cemuhan terhadap bentuk keimanan mereka yang aneh yang didakwa oleh mereka, iaitu keimanan yang menyuruh mereka melakukan kekufuran yang terus terang ini.”
“Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya).” Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka.” Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman.” (al-Baqarah: 93)
Firman Allah: Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu. Iaitu ingatlah hai Bani Israel ketika Kami membuat perjanjian yang bersungguh-sungguh ke atasmu untuk beramal dengan apa yang ada dalam Taurat sehingga Kami mengangkat ke atasmu Bukit Tursina. (Sambil kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh. Iaitu dengan azam dan kecekalan yang sungguh-sunguh. Jika tidak, nescaya Kami campakkan gunung ke atasmu.
Al-Imam al-Nasafi dalam tafsir Madarik al-Tanzil berkata: “Diulang sebutan mengangkat Bukit Tur daripada tambahan yang bukan bersama pertama dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya). Iaitu dengar dengan penuh ketaatan dan penerimaan tetapi malangnya mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka.” Mereka berkata: “Kami dengar” dan mereka tidak berkata “Kami derhaka.”
Apakah tujuan penceritaan kata-kata mereka di sini? Itulah satu gambaran sungguh hidup yang melukiskan satu realiti yang senyap hingga menjadi satu realiti yang bertutur. Mereka berkata dengan mulut mereka: “Kami dengar” tetapi mereka berkata dengan perbuatan mereka: “Kami menderhaka.” Realiti yang amali itulah yang memberi makna kepada kata-kata bibir mulut mereka dan makna amali itu lebih kuat daripada kata-kata yang ditutur. Perkaitan ini bertujuan menunjukkan salah satu dasar umum Islam, iaitu dasar tiada nilai bagi perkataan tanpa amalan, kerana amalan itulah nilai yang diambil kira, satu dasar persamaan di antara kalimat yang ditutur dengan harakat yang ditunjukkan di alam kenyataan. Itulah asas hukuman dan penilaian.
Ibn Abbas r.a. berkata: “Apabila mereka melihat kepada Bukit Tursina, lantas berkata: Kami dengar dan kami taat. Dan apabila melihat kepada kitab Taurat, mereka berkata: Kami dengar dan kami derhaka.”
Al-Samarqandi dalam tafsirnya Bahr al-Ulum berkata: “Dalam riwayat al-Kalbi mereka berkata: Kami dengar cakapmu dan kami derhaka arahanmu. Kalaulah tidak kerana takut kepada bukit, nescaya kami tidak terima.”
Ada juga pendapat menyatakan mereka berkata, “pada zahir kami mendengar” sedangkan dalam hati mereka berkata, “kami derhaka arahanmu. Walhal kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati dalam hati mereka. Ini kerana bercampur cinta dalam hati-hati mereka sehingga sampai ke lubuk hati mereka. Dikehendaki dengan cinta penyembahan anak lembu ialah bercampur darah mereka dan masuk ke dalam hati mereka, sebagaimana pewarna masuk ke dalam kain dan air masuk ke dalam badan.
Gambaran ini membuatkan seseorang itu hampir-hampir terlupa kepada makna mental ungkapan itu yang digambarkan oleh gambaran yang hidup ini, iaitu kecintaan mereka yang kuat kepada penyembahan patung anak lembu sehingga seolah-olah patung anak lembu itu disebatikan dalam hati mereka. Di sinilah dapat dilihat betapa tingginya nilai pengungkapan al-Quran yang memberi gambaran bahawa hidup itu dibandingkan dengan pengungkapan mental yang hanya memberi penerangan. Itulah keindahan pengambaran yang menjadi ciri yang amat menonjol dalam ungkapan al-Quran yang indah itu.
Dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu iaitu dengan sebab kufurnya mereka, hendaklah kamu katakan secara menghukum dan mengejek: “Amat hinalah iman kamu ini yang menyuruhmu untuk beribadat kepada anak lembu.”
Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: “Iaitu kamu mendustakan para Rasul, membunuh para Nabi tanpa hak dan menyembunyikan petunjuk.”
Muqatil berkata: “Maknanya sekiranya mereka suka beribadat kepada anak lembu dalam hati-hatimu menyamai suka beribadat kepada Tuhan Penciptamu, maka seburuk-buruk apa yang diarahkanmu dengannya oleh imanmu.”
Kalaulah kamu orang-orang yang beriman. Jika sekiranya kamu sangka itulah keimanan, maka inilah seburuk-buruk amalan. Dalam bahasa yang lain, kamu bukanlah orang yang beriman. Ini kerana hakikat iman sudah pasti tidak menyuruhmu untuk beribadat kepada anak lembu. Ini merupakan dalil bahawa mereka tidak beriman dan sentiasalah berlaku syirik dalam hati mereka, kufur atau anak lembu yang mereka sembah.
Terdapat dua pandangan tafsiran ayat ini.
1. Ia dengan makna ingkar, iaitu kamu sekali-kali tidak beriman jika kamu derhaka kepada Allah s.w.t. dan menyembah anak lembu.
2. Ia memberi makna syarat yang digantungkan sepenuhnya iaitu jika kamu beriman, maka seburuk-buruk iman ialah iman yang menyerumu supaya beribadat kepada anak lembu dan membunuh para Nabi. Inilah yang diceritakan oleh Ibn al-Anbari.
No Comment
Post a Comment