Membenarkan kekufuran - Merosakkan dunia
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
DI DALAM HATI MEREKA ADA PENYAKIT, LALU DITAMBAH ALLAH PENYAKITNYA, DAN BAGI MEREKA SEKSA YANG PEDIH, DISEBABKAN MEREKA BERDUSTA. (Ayat 10)
`Dalam hati'. Menurut Syeikh Rasyid Ridha, pada orang Arab hati juga diibaratkan dengan akal. Penyakit di sini ibarat kerosakan pada akidah mereka yang munafik seperti syak dan ingkar dengan sebab hasadnya mereka, sedangkan mereka faham dengan sahih apa yang mereka ingkar.
Sebahagian mereka berpendapat, penyakit ialah dukacitanya mereka dengan zahirnya arahan Rasulullah s.a.w.
Ulama juga berselisih pendapat pada tafsiran ayat `lalu ditambah Allah penyakitnya'. Ada pendapat menyatakan :
i. Dosa kesalahan ke atas mereka.
ii. Khabar daripada Allah yang akan dilakukan kepada mereka.
`Tambah' di sini bermaksud dengan apa yang diturunkan wahyu dan zahirnya bukti-bukti. Sebaliknya kepada orang munafik, bertambah buta tatkala mereka berdusta bertambahlah penyakit. Ayat ini termasuk dalam kategori doa. Ibn Aslam berkata: Ini penyakit dalam agama bukan penyakit tubuh badan, iaitu syak dan seumpamanya.
`Bagi mereka seksa yang pedih' adalah sebagai tambahan daripada penyakit-penyakit ini dan hukuman. Didatangkan dengan lafaz `alim' atas wazan `fa'iil' termasuk dalam 'sighah mubalaghah' menggambarkan kekuasaan yang tidak terperi mengenai hukuman tersebut.
Syed Qutub berkata : Penyakit melahirkan penyakit, penyelewengan bermula dengan sedikit kemudian mereka membesar, sunah Allah pada alam ini begitu juga pada perasaan, akhlak dan lain- lain.
Allah mendedahkan lagi dengan lebih jelas sikap dan egonya mereka dalam menerima keimanan. Ditonjolkan uslub dan keengganan mereka seperti dalam ayat ini.
¥ DAN APABILA DIKATAKAN KEPADA MEREKA: JANGANLAH KAMU MEMBUAT KEROSAKAN DI MUKA BUMI. MEREKA MENJAWAB, SESUNGGUHNYA KAMI ORANG-ORANG YANG MENGADAKAN PERBAIKAN. (Ayat 11)
`Dan apabila dikatakan kepada mereka'. As-Samarqandi di dalam tafsirnya berkata: Yakni orang-orang munafiqin. Tetapi kaedah yang masyhur : Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum bukan dengan sebab khusus turunnya ayat. Justeru siapa yang ingin melakukan kerosakan juga termasuk dalam ayat ini.
Kerosakan
`Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi' dengan makna kufur dan membenarkan kekufuran. Ibn Mas`ud mentafsirkan kerosakan di muka bumi dengan kekufuran dan beramal dengan maksiat. Ibn Al-Jauzi mentafsirkan kerosakan di sini dengan lima pendapat:
i. Dengan makna kufur seperti pendapat Ibn Abbas.
ii. Beramal dengan maksiat seperti pendapat Abu al-A'liah dan Muqatil.
iii. Kufur dan maksiat. Inilah pendapat as- Suddi daripada guru-gurunya.
iv. Meninggalkan perintah dan menjauhkan larangan seperti kata Mujahid .
v. Munafik yang sama dengan orang- orang kafir seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Ali al-Ubaidillah.
Imam an-Nasafi menegaskan kerosakan sebagai keluar daripada keadaan istiqamah dan mendapat manfaat dengan berlawanan maksud islah (kebaikan).
Kerosakan di bumi dengan cara menghuru-harakan, merancang pencerobohan, peperangan dan fitnah-fitnah kerana semuanya itu termasuk dalam kerosakan di bumi. Menafikan istiqamah daripada keadaan-keadaan manusia, tanaman dan segala manfaat agama dan dunia.
Kerosakan yang dilakukan oleh orang munafiqin di bumi di mana mereka cenderung kepada kekufuran daripada orang Islam di samping mendedahkan rahsia-rahsia mereka. Ini membawa kepada gelombang fitnah. Sebaliknya mereka menegaskan : ``Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan ( islah ).''
Dalam hal ini terdapat tiga ta'wil.
i. Ingkar daripada mereka yang membuat kerosakan sebagai bukti berterusannya mereka di dalam nifaq.
ii. Mereka membenarkan hubungan dengan kekufuran secara mendakwa inilah kebaikan kerana kerabat yang perlu dihubungi.
iii. Mereka menjadi pendamai antara orang-orang kufur dan mukmin, sehingga mereka merentasi kekufuran.
Salman al- Farisi berkata : Tidak datang golongan selepasnya, dengan maksud golongan ini (munafik) akan wujud sepanjang zaman. Inilah yang disebut oleh Ibnu A'ttiah di dalam tafsirnya Al- Muharrar al- Wajiz.
Ibn Jarir berkata : Ahli nifaq melakukan kerosakan di muka bumi dengan menunggang maksiat pada Tuhan secara melakukan tegahan, mengabaikan fardu-fardu, syak pada agama yang tidak diterima daripada seseorang amalannya kecuali dengan tasdiq dan iman yang sebenar. Pendustaan mereka terhadap orang-orang beriman dengan dakwaan mereka yang palsu, ditambah dengan sentiasa mereka dalam syak dan ragu-ragu. Mereka juga berkomplot dengan golongan yang mendustakan Allah, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya terhadap aulia Allah kalau mereka mendapat peluang. Itulah kerosakan orang munafiqun di bumi. Mereka masih menyangka bahawa perbuatan mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang berbuat baik (islah).
Ibn Kathir dalam memberi komentar terhadap pendapat Ibn Jarir ini berkata: Apa yang dikatakannya cukup baik. Ini kerana perlakuan kerosakan orang munafik di bumi, sedangkan mereka masih menyangka yang mereka dengan perlakuan tersebut telah melakukan kebaikan (islah).
¥ INGATLAH, SESUNGGUHNYA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG MEMBUAT KEROSAKAN, TETAPI MEREKA TIDAK SEDAR. (Ayat 12)
`Ingatlah'. Az-Zajjaj berkata kalimah ini dimulakan dengannya untuk memberi peringatan kepada orang yang mendengar. Kemudian disebut `mereka' untuk menguatkan percakapan.
Syeikh al-Maraghi berkata: Uslub ini sebagai mubalaghah pada bangkangan ke atas mereka dan dalil kemurkaan yang amat besar.
`Mereka tidak sedar'. Mengenainya terdapat dua pendapat :
i. Mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan sebagai kerosakan yang tiada kebaikan.
ii. Mereka tidak sedar bahawa Allah memberitahu nabi mereka atas perangai mereka yang membuat kerosakan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu al-Jauzi di dalam Zad al-Masir.
Penyakit
Imam al-Baidhawi berkata : Keadaan orang munafik ini dengan menggambarkan kerosakan dengan gambaran kesolehan atau kebaikan. Ini kerana pada hati-hati mereka dihinggapi penyakit seperti yang dirakamkan Allah di dalam kitab-Nya. Dengan sebab itu Allah menafikan mereka dengan dua huruf ta'kid `Ala' sebagai munabbihah (peringatan) dan `inna' (sesungguhnya) sebagai muqarrirah (membenarkan).
Dalam ibarat yang lain - Ketahuilah hai sekalian manusia, sesungguhnya merekalah sebenarnya yang merosakkan tanpa disedari kerana telah padam cahaya iman pada hati mereka.
As-Samarqandi berkata: Ketahuilah hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya mereka yang sebenarnya melakukan kerosakan dan derhaka. Jadilah berulang-ulang kalimah `mereka' atas wajah penguat. Biasanya orang Arab menggunakan pengulangan bicara atau lafaz-lafaz dengan menghendaki ta'kid (penguat).
Ibn Kathir berkata: Ingatlah sesungguhnya ini yang mereka sengaja lakukan dan sangka sebagai pembawa kebaikan (islah), sebenarnya itulah kerosakan tetapi malangnya dengan sebab kejahilan, mereka tidak menyedari yang tindakan dan perlakuan mereka sebagai kerosakan.
Glosari
¥ Wazan fa`iil : Dalam ilmu saraf yang bermaksud timbangan fa`iil (yang amat).
¥ Sighah mubalaghah: Lafaz yang menunjukkan teramat lebih.
¥ Istidraj : Perkara yang pelik dikurniakan pada orang sesat untuk menambahkan kesesatan.
¥ Ta'wil : Tafsiran atau andaian.
¥ Uslub : Gaya bahasa atau cara.
¥ Mubalaghah : Melampau atau satu nama dalam ilmu nahu yang menunjukkan terlalu lebih.
¥ Huruf ta'kid : Huruf yang didatangkan sebagai penguat.
¥ Aulia : Wali- wali iaitu orang yang beriman dan bertakwa.
¥ Dinaqalkan : Dipindahkan perkataan atau pendapat.
¥ Istiqamah : Iltizam atau tetap dalam perkara yang baik.
No Comment
Post a Comment