Allah pelihara Rasulullah dan umatnya
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SYEIKH al-Maraghi berkata: Selepas Allah menyeru bangsa Arab kepada Islam dan menyekutukan bersama mereka ahli kitab kerana mereka lebih layak dan patut untuk memuliakan Ibrahim dan pengikutnya. Di samping itu, Allah jelaskan hakikat Millah Ibrahim tidak sebagaimana sangkaan dan keyakinan Yahudi dan Kristian. Firman Allah s.w.t.:
Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia daripada orang-orang musyrik”.
Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Ya'qub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi daripada Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang daripada mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata. (al-Baqarah: 135-137)
Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk. Jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu). Oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) daripada kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Firman Allah s.w.t., Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Setiap dua kumpulan agama ini iaitu Yahudi dan Kristian menyeru kepada agamanya yang pincang kerana mendakwa mendapat petunjuk.
Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim.” Kemudian al-Quran menyeru umat Islam supaya mengisytiharkan kesatuan agama yang agung dari sejak Ibrahim, bapa anbiya’ hingga kepada Isa putera Maryam dan akhirnya kepada agama Islam yang terakhir, dan menyeru semua ahli kitab supaya beriman dengan agama yang satu dan sama ini. Inilah hakikat sebenarnya.
Yang tetap di atas dasar Tauhid, perkataan hanif mempunyai dua pendapat.
1. Cenderung kepada ibadat.
2. Atas jalan istiqamah.
Inilah yang dinyatakan oleh Ibn al-jauzi.
Imam Al-Nasafi memberi takrifan hanif dengan maksud cenderung dengan agama yang batil kepada agama yang sebenar.
“Dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik”. Sebaliknya katakanlah: Hai Muhammad, kami mengikut ajaran Hanifiah yang penuh toleransi iaitu ajaran Ibrahim di mana ia cenderung kepada agama yang sebenar. Al-Maraghi berkata, ini merupakan bangkangan kepada ahli kitab dengan menerangkan kebatilan dakwaan mereka yang mendakwa mengikut Nabi Ibrahim sedangkan mereka syirik kerana pegangan mereka Uzair sebagai anak Allah dan al-Masih sebagai anak Allah.
Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Ya'qub serta anak-anaknya, dan kami beriman dengan apa yang diturunkan kepada Ibrahim daripada suhuf dan hukum di mana sebahagian Nabi diperintahkan untuk beribadat dengannya, begitu juga cucu-cucu Ibrahim dan Ishak yang dikenali dengan asbat. Mereka berjumlah 12 orang dari kalangan anak Ya'qub. Al-Zajjaj berkata: Maksud asbat ialah sekumpulan yang kembali kepada tuan yang satu. Dan sibt juga pada bahasa bermaksud pohon kayu. Justeru, jadilah sibt ialah golongan yang berasal dari pohon kayu yang satu atau cabang yang satu.
Dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; daripada Taurat, Injil, begitu juga kami beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi-nabi yang lain dan kami membenarkan apa yang mereka bawa daripada Allah daripada ayat yang jelas dan mukjizat yang nyata. Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang daripada mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); kami tidak beriman dengan sebahagian dan kufur dengan sebahagian yang lain sebagaimana perbuatan Yahudi dan Kristian.
Dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata. Itulah kesatuan agung di antara semua agama Allah dan semua Rasul, dan itulah dasar kefahaman serta pemikiran Islam. Dan kesatuan inilah yang menjadikan umat Islam satu umat pewaris yang mewarisi agama Allah di muka bumi ini, iaitu agama yang bersambung dengan asal-usul yang amat tua, yang mengikuti jalan hidayat dan nur.
Penindasan
Seterusnya kesatuan inilah yang yang menjadikan sistem hidup Islam, satu sistem sejagat yang membolehkan seluruh manusia hidup di bawah naungannya tanpa fanatik dan tanpa penindasan. Ia menjadikan masyarakat Islam satu masyarakat yang terbuka kepada semua manusia, di mana mereka (dapat hidup dalam) suasana mesra dan damai.
Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; sebaliknya jika mereka beriman di kalangan ahli kitab seperti mana kamu beriman dengannya, hai golongan beriman nescaya mereka mendapat petunjuk sebagaimana mereka mendapat petunjuk. dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu). Al-Samarqandi berkata: Perkataan syiqaq dalam al-Quran mempunyai tiga maksud:
Pertama: permusuhan.
Kedua: khilaf.
Ketiga: kesesatan jika mereka berpaling daripada keimanan dengan apa yang kamu seru mereka maka ketahuilah sebenarnya mereka menghendaki permusuhan dan pertentangan denganmu, bukan kerana mencari kebenaran.
Oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; cukuplah Allah memeliharamu hai Muhammad dari sebarang kejahatan mereka. Al-Alusi berkata: ini merupakan jaminan Allah kepada Nabi-Nya dengan kemenangan. dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dialah yang bersifat Maha Mendengar apa yang mereka katakan dan Maha Mengetahui segala perancangan dalam hati mereka dari tipu daya dan kejahatan.
Kewajipan orang yang beriman ialah berdiri teguh dan jujur di atas agamanya dan berbangga dengan agama yang benar yang diambil secara langsung dari Allah, juga berbangga dengan gelaran (Muslim) yang disalutkan Allah ke atas hamba-hamba kesayangan-Nya (yang beriman) hingga mereka terkenal dengan gelaran itu di muka bumi ini.
Iktibar dan pengajaran ayat
Antaranya:
i. Syed Qutub berkata: Sesiapa yang mengikuti akidah ini bererti mendapat hidayat, dan siapa yang enggan menerimanya maka dia tidak akan dapat berdiri di atas satu tapak pegangan yang kukuh dan ia akan terus berada dalam keadaan pertentangan dengan pelbagai golongan dan puak yang tidak mempunyai titik pertemuan di atas satu pegangan yang tetap.
ii. Setiap golongan atau puak akan menyeru kepada puak masing-masing dengan sangkaan bahawa dialah yang sebenarnya sedangkan yang sebenarnya adalah daripada Allah iaitu dengan mengikut agama Islam.
iii. Hidayah dan petunjuk diikat dengan mengikut kitab dan ajaran Allah sebaliknya mereka yang berpaling sekalipun mempunyai akal fikiran yang cerdik sebenarnya akan menerima natijah dan akibat yang buruk di akhirat.
No Comment
Post a Comment