Pilih makanan yang halal lagi baik

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sayid Qutub berkata: “Selepas ini rangkaian ayat-ayat surah ini menyeru manusia supaya menikmati makanan-makanan yang baik dalam kehidupan mereka dan menjauhi makanan-makanan yang tidak baik.”

Ia juga memberi amaran supaya mereka jangan mengikut syaitan yang sentiasa menyuruh mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan membuat dakwaan-dakwaan yang palsu terhadap Allah dengan menghalal dan mengharamkan sesuatu tanpa mendapat perintah dari Allah dan tanpa berpandukan syariat-Nya.

Ia seterusnya mengingatkan mereka dari bertaklid dalam perkara agama tanpa berpandukan hidayat dari Allah, dan mengecam orang-orang yang menyembah tuhan-tuhan yang tidak berakal dan tidak dapat mendengar. Dengan seruan ini bertemulah maudhua ceraian ini dengan maudhua ceraian yang lepas.

Firman Allah bermaksud: Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.

Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. (Al-Baqarah: 168-169)

Firman Allah s.w.t: Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.

Al-Qurtubi berkata: “Dikatakan sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada Bani Thaqif, Khuza’ah dan Bani Mudlij apabila mereka mengharamkan terhadap diri masing-masing daripada makan binatang ternakan.” Sedangkan ia adalah lafaz umum.

Syeikh Sya’rawi berkata: “Allah s.w.t. menyeru kepada manusia tidak kepada orang yang beriman. Ini kerana diciptakan dunia semuanya untuk manusia keseluruhannya.” Lantas beliau berkata: “Sesungguhnya kurniaan Rububiah bagi setiap manusia sama ada yang beriman atau tidak. Maka Allah s.w.t yang menciptakan setiap makhluk yang beriman dan kafir. Justeru selama mana Allah ciptakan mereka dan menyeru mereka untuk semuanya.”

Seolah-olah dalam bahasa yang mudah: Sekalipun kamu tidak beriman maka ambillah dari orang yang beriman perkara yang halal dan gunakanlah kerana ia memberi manfaat pada dunia kamu.

Ini kerana Allah tidak mengharamkan kecuali adanya mudarat dan tidak menghalalkannya kecuali setiap yang baik.

Berkenaan dengan maksud toyyib di sini membawa maksud halal. Ia merupakan penegasan kerana khilafnya lafaz. ini merupakan pendapat Malik berkenaan maksud toyyib.

Imam al-Syafie berpendapat; toyyib ialah apa-apa yang mendapat kelazatan yang pelbagai. Dengan sebab itu ditegah makan binatang kotor.

Berkenaan dengan halalan toyyiba, dari segi ‘irabnya merupakan hal dan ada pendapat mengatakan maf’ul. Dinamakan halal itu halal kerana ia mengungkai ikatan pengharaman. Benarlah kata Sahl bin Abdullah; Keselamatan itu pada tiga perkara;

1) Makanan yang halal.

2) Menunaikan segala fardu dan kewajipan.

3) Mengikut Nabi Muhammad s.a.w.

Seterusnya Sa’id bin Yazid yang dikenali dengan gelaran Abu Abdillah al-Saji berkata: Lima perkara merupakan kesempurnaan ilmu;

a) Makrifah kepada Allah s.w.t.

b) Makrifah yang hak dan benar.

c) Ikhlas beramal kerana Allah.

d) Beramal mengikut sunah.

e) Makan makanan yang halal.

Jika kurang salah satu daripada perkara di atas, nescaya tidak diangkat amalan.

Perintah mengharus dan menghalalkan segala makanan yang ada di muka bumi kecuali sedikit makanan-makanan yang diharamkan oleh al-Quran dengan nas yang jelas itu, menggambarkan sifat bebas agama ini dan sifat kesesuaiannya dengan fitrah serta kesesuaian dengan fitrah alam buana dan fitrah manusia.

Allah menciptakan segala sesuatu di bumi ini untuk faedah manusia. Oleh kerana itu Allah jadikan semuanya halal dan tidak ada yang membataskannya kecuali perintah khas yang mengharamkannya dan kecuali ia melampaui batas kesederhanaan.

Namun demikian, pada umumnya perintah itu merupakan perintah yang memberi sepenuh kebebasan menikmati segala yang baik dan cita rasa dalam kehidupan dan memenuhi keinginan fitrah tanpa merasa canggung, segan dan tidak selesa.

Semuanya dengan satu syarat iaitu manusia harus menerima hukum halal dan haram yang dikenakan ke atas mereka itu dari pihak yang mengurniakan rezeki itu sendiri bukannya dari bisikan-bisikan syaitan yang tidak pernah menyuruh manusia membuat kebaikan kerana ia musuh ketat mereka.

Syaitan hanya memberangsangkan mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang jahat dan mengkufurkan nikmat-nikmat Allah dan membuat dakwaan-dakwaan yang palsu terhadap Allah tanpa pengetahuan yang kukuh dan yakin.

Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.

Syeikh al-Maghari berkata: “Syaitan mewas-waskan mereka seolah-olah perintah yang perlu diikut untuk kamu lakukan supaya apa yang merosakkan di dunia dan di akhiratmu sehingga kamu berterusan melakukan maksiat.”

Mereka meninggalkan sebab tabiat yang menjadikan sunnatullah yang mengikat dengan musabbab.

Justeru mereka bergantung kepada orang-orang yang telah atau yang masih hidup dengan sangkaan mereka mempunyai bahagian daripada penguasaan yang ghaib. Juga mampu bertindak di alam ini tampa mengambil sebab sebenarnya mereka adalah golongan sesat yang amat jauh dan mengikut perintah syaitan. Seperti mereka yang menjadikan pendapat mana-mana orang sebagai hujah dalam urusan agama tanpa sebarang bukti atau menyampaikan apa daripada Allah.

Merekalah yang berpaling daripada sunnatullah dan mengabaikan nikmat akal serta menjadikan sekelian daripada Allah sekutu-sekutu yang lain, lebih malang lagi sifat mereka seperti firman Allah: Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.

Syaitan menyuruhmu untuk berkata terhadap Allah s.w.t berkenaan urusan agamanya apa yang kamu tidak tahu secara ilmu yakin bahawa itu merupakan syariahnya bagimu daripada akidah dan syariah agama-Nya atau menghalalkan apa yang asalnya haram, atau mengharamkan apa yang asalnya halal atau harus.

Setiap itu merupakan pencerobohan terhadap hak Rububiah dengan tasyria. Ini lebih keji dan buruk dari apa yang diperintahkan dengannya oleh syaitan, inilah sebenarnya punca pada rosaknya akidah dan penyelewengan syariat seperti kata Syeikh al-Maghari.

*ktibar dan pengajaran ayat:

*Makanan yang halal dan baik merupakan tuntutan agama. Halal di sini bukan pada zahirnya sahaja seperti makanan halal dan bukan haram. Tetapi yang lebih penting punca dan sumbernya untuk mendapatkan makanan tersebut mestilah daripada cara yang halal seperti tidak menipu, rasuah dan lain-lain.

*Mafhum secara tersirat daripada ayat ialah makanan yang haram amat mudah dikuasai oleh syaitan dan akhirnya menjadi pengikutnya, ini kerana apa yang dimurkai Allah s.w.t akan disukai syaitan begitulah sebaliknya.

*Manusia hendaklah meletakkan syaitan sebagai musuh yang utama dalam kehidupannya. Ini bermula semenjak kejadian manusia pertama lagi (Adam) sehingga sumpah syaitan di hadapan Allah s.w.t untuk menyesatkan anak Adam , semoga Allah s.w.t selamatkan kita daripada tipu dayanya.

No Comment

Post a Comment