Yahudi, Nasrani fitnah manusia dengan mereka-reka subahat

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

IBN AL-JAUZI berkata: Sebab turunnya ayat ini ialah, Nabi s.a.w. amat suka mengadap ke Kaabah. Inilah pendapat al-Bara, Ibn Abbas, Ibn Musaiyib, Abu al-Aliyah dan Qatadah. Mereka juga khilaf berkenaan sebab pilihan Nabi kepada Kaabah dari Bait al-Maqdis.

i. Kerana ia merupakan kiblat Ibrahim Ini adalah yang diriwayatkan oleh Ibn 'Abbas.

ii. Kerana menyanggah perbuatan orang Yahudi. Inilah pendapat Mujahid.

Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan. (al-Baqarah: 144)

Firman Allah Taala: Kerap kali Kami melihat. Al-Zamarkhsyari berpendapat bahawa Qad di sini bermaksud boleh jadi iaitu menggambarkan banyak. Abu Hayyan pula berkata, banyak memberi faedah daripada lafaz taqallub. Di sini maksud firman Allah ialah sesungguhnya Kami telah melihat kerana qad menukarkan daripada mudari' (perbuatan yang sedang dan akan berlaku) kepada madi (perbuatan yang sudah berlaku), sebagaimana pendapat Ahli Nahu atau bahasa. Engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menadah ke langit, al-Samarqandi berkata: Perkataan Taqallub memberi maksud mengangkat pandangan ke langit.

Sayid Qutb berkata: Ia membayangkan keinginan beliau yang kuat agar Allah menghalakan beliau ke kiblat yang lain dari kiblat yang sedang dihadapinya itu setelah kaum Yahudi banyak mengeluarkan hujah-hujah dan alasan-alasan (yang menyakitkan hati), kerana mereka mendapat punca yang baik dari kedudukan kaum Muslimin yang menghadap kiblat mereka (Baitul Maqdis) untuk menimbulkan kekeliruan, kebingungan dan kegelisahan (di kalangan kaum muslimin). Oleh itu Nabi s.a.w. kerap kali mengadapkan mukanya ke langit tanpa memohon dengan terus-terang kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah, dan kerana segan mengemukakan sesuatu cadangan kepada Allah atau mendahuluinya di dalam sesuatu perkara.

Maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Iaitu dari mana-mana hala di seluruh muka bumi ini. Ia merupakan satu kiblat yang tunggal yang menyatukan seluruh umat Muslimin dari berbagai-bagai negeri dan kedudukannya dari kiblat itu dari berbagai-bagai bangsa, bahasa dan warna kulit. Ia merupakan satu kiblat yang sama, dimana seluruh umat Muslimin menghala kepadanya di serata pelosok Timur dan Barat di bumi ini. Dan di sana mereka akan merasa diri mereka selaku satu jisim dan selaku satu diri yang mengadap satu matlamat dan berjuang untuk menegakkan sistem hidup yang sama, iaitu sistem hidup yang lahir dari hakikat diri mereka yang menyembah Tuhan yang sama dan beriman kepada rasul yangsama dan mengadap kiblat yang sama.

*Memuliakan

Al-Sobuni menaqalkan pendapat Ahli Tahqiq dari ulama tafsir, iaitu ayat ini memberi peringatan yang cukup halus dan berseni di atas mulianya pekerti Nabi Muhammad s.a.w. yang menunggu wahyu tanpa memohon kepada Tuhannya. Dan sesungguhnya Allah memuliakannya kerana adab yang mulia ini dengan kurniaan kiblat yang disukainya.

Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah); untuk bersolat. Ulama telah mengemukakan beberapa pendapat kenapa Rasulullah s.a.w. amat suka berkiblatkan kepada Kaabah, antaranya:

i. Untuk menyalahi perbuatan Yahudi kerana mereka selalu berkata Muhammad menyanggah kita kemudian mengikut kiblat kita. Kalaulah tidak kerana kita, nescaya dia tidak mengetahui ke mana arah untuk mengadap.

ii. Bahawa Kaabah al-Musyarrafah merupakan kiblat moyangnya Ibrahim Khalil al-Rahman (kekasih Tuhan yang Maha Pengasih).

iii. Nabi s.a.w suka menukar kiblat untuk melembutkan orang Arab dan berdakwah kepada mereka ke arah agama Islam.

iv. Ia merupakan tempat Rasulullah s.a.w. dilahirkan dan dibesarkan disamping wujudnya Masjid al-Haram yang menjadi kiblat segala masjid. Justeru sudah tentu dia mahu menggabungkan kemuliaan ini dengan masjid di tempat kelahirannya.

Imam al-Nasafi berkata: disebut Masjid al-Haram tidak dengan Kaabah sebagai dalil bahawa yang wajib diraikan hanyalah arah bukan zat Kaabah tersebut, ini khusus kepada huraian jauh dari Kaabah.

Ulama telah khilaf bilakah waktu dipalingkan ke arah kiblat:

i. Ketika solat Zuhur hari Isnin pertengahan Rejab sekira-kira tujuh belas bulan selepas hijrah ke kota Madinah. Inilah pendapat al-Bara' bin `Azib dan Ma'qal bin Yasar.

ii. Pada hari selasa pertengahan Syaaban selepas lapan belas bulan hijrah ke Madinah. Inilah pendapat Qatadah

iii. Pada Jamadilakhir. Inilah yang dihikayatkan oleh Ibn Salamah, daripada Ibrahim al-Harbi.

Dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Begitu juga Kaabah. Ketika kamu solat mengikut riwayat Ibn Abbas tatkala Nabi s.a.w. masuk ke Baitullah beliau berdoa pada setiap penjurunya dan tidak solat sehingga keluar daripadanya. Apabila keluar beliau solat dua rakaat ke arah kaabah dan bersabda inilah kiblat. Ibarat yang digunakan ganti dari Kaabah dengan Masjid al-Haram bolehlah diambil hukum fikah sebagai isyarat yang wajib diraikan adalah arah atau penghadapan, bukan `ain atau zat sesuatu kecuali apabila berada di dalam Masjid al-Haram.

Al-Gharib berkata: Adapun ucapan yang khusus kepada Nabi sebagai kemuliaan dan jawapan kepadanya di mana beliau amat suka mengalihkan kiblat dari Bait al-Maqdis ke Masjid al-Haram. Adapun ucapan yang umum selepas ucapan kepada Nabi kerana mungkin ada yang berpandangan ini khusus kepada Nabi. Justeru dipertegaskan dengan dua seruan bermula dengan Rasulullah dan disusuli dengan ummahnya supaya perpindahan arah kiblat dilakukan oleh Nabi dan ummahnya.

Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; tetapi mereka masih lagi memfitnah manusia dengan mereka-reka subahat.

Dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan. Pasti dibalas kepada mereka.

Antara pengajaran ayat:

i. Mengithbatkan sifat Basar (melihat) bagi Allah Taala. Justeru sewajarnya kita merasa gerun dan takut daripada melakukan maksiat, sebaliknya kita mengisi dengan ketaatan untuk menambahkan koleksi pahala dan amal kebajikan untuk hari akhirat.

ii. Kebanyakan Ahli kitab mengetahui hakikat kebenaran tetapi cuba menggelapkannya, alangkah malangnya nasib mereka. Amat wajar umat Islam jangan sekali-kali menafikan kebenaran sebaliknya menjunjung apatah lagi membabitkan permasalahan agama.

iii. Allah sekali-kali tidak mengabaikan serta lalai dari tindakan dan perbuatan makhluk pasti dibalasnya. Justeru marilah kita melakukan perkara yang diredainya dan menjauhi dari larangannya.

No Comment

Post a Comment