Pelaksanaan zakat - Bersihkan sifat iri hati

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


IBN Jarir at-Tabari berkata dalam tafsirnya, Jami' al-Bayan: ``Ini arahan daripada Allah kepada sesiapa yang disebut dari kalangan pendita Bani Israel dan golongan munafiknya supaya kembali dan bertaubat kepada-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat dan memeluk agama Islam bersama orang-orang Islam dengan penuh ketaatan. Di samping itu, melarang mereka menyembunyikan segala yang diketahui berhubung kenabian Muhammad selepas nyatanya segala hujah.'' Justeru Allah s.w.t. meneruskan lagi arahan-Nya seperti berikut:

DAN DIRIKANLAH KAMU AKAN SEMBAHYANG DAN KELUARKANLAH ZAKAT, DAN RUKUKLAH KAMU SEMUA (BERJEMAAH) BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG RUKUK. (Surah al-Baqarah ayat 43)

Firman Allah s.w.t: `Dan dirikanlah kamu akan sembahyang', bermaksud tunaikan yang diwajibkan ke atasmu iaitu solat. Ibn Qayim berkata dalam tafsirnya, Bada`i at-Tafsir: ``Kita diarahkan mendirikan solat yang bermaksud mengerjakannya dengan segala rukun-rukunnya seperti qiam, rukuk, sujud dan zikir-zikir dengan sempurna.'' Ibn `Ataillah as-Sakandari berkata: ``Mendirikan solat bermaksud menjaga segala hadnya, sama ada secara zahir atau batin beserta menjaga sir (rahsia) bersama Allah yang tidak dicampurkan dengan sirmu selain daripada-Nya.'' Al-Imam Abu Qasim al-Kushairi pula berkata: ``Iaitu melaksanakan segala rukunnya dan sunatnya, kemudian tenggelam dalam penyaksiannya dengan melihat kepada siapakah sembahyang itu ditunaikan, yakni Allah.''

`Dan keluarkanlah zakat', iaitu tunaikanlah kewajipan ke atasmu de-

ngan mengeluarkan zakat, yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Sedangkan pada istilah syaraknya pula, ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Adapun hikmah dan faedah zakat sebagaimana dinaqalkan daripada guru-guru kami melalui kitabnya, Al-Fiqh al-Manhaji adalah seperti berikut:

i. Amalan berzakat boleh membiasakan diri pengeluarnya bersifat pemurah dan suka berkorban. Amalan itu juga boleh mencabut akar umbi sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Hakikat ini akan dirasai sendiri oleh pengeluar zakat tersebut, dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih ketara menambah harta daripada mengurangkannya.

ii. Zakat boleh menguatkan hubu-

ngan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat de-

ngan orang lain. Apabila kesedaran tentang rukun Islam ini tersebar dalam masyarakat dan setiap orang Islam yang mampu menunaikan kewajipannya memberikan zakat kepada orang yang berhak menerimanya, maka dapat dilihat betapa kuatnya jalinan kasih sayang sesama individu Muslim, kumpulan-kumpulan mereka dan antara masyarakat seluruhnya.

iii. Zakat berperanan memastikan keperluan anggota sesebuah masyarakat menjadi sempurna, meskipun terdapat keadaan dan unsur-unsur yang meluaskan jurang perbezaan taraf sosial, atau bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan dan golongan fakir.

iv. Zakat mempunyai peranan bagi menangani masalah pengangguran. Antara sebab utama yang menyumbang kepada pengangguran ialah kemiskinan. Orang yang miskin sudah tentu tidak mempunyai modal yang minimum untuk menjalankan sesuatu usaha atau pekerjaan. Dalam hal ini, jika sistem zakat berjalan sepenuhnya, sudah tentu orang yang miskin berhak menerima bahagian mereka dan membolehkan mereka menjalankan segala yang dirancang, sesuai dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

v. Zakat adalah satu-satunya cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang berbahaya kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan dengki. Bagaimanapun sifat tersebut akan menular dalam masyarakat jika mereka tidak lagi mempunyai sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan sekadar slogan yang dilaung-laungkan, malah ia satu realiti yang mesti dirasai oleh perasaan dan hasilnya lahir dalam masyarakat. Apabila zakat dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, hasilnya akan kelihatan jelas. Kesannya pula menakjubkan, iaitu dapat membersihkan jiwa daripada sifat dengki dan iri hati. Malah dapat mengeratkan hubungan persaudaraan orang ramai, walaupun mereka berbeza dari segi kemewahan dan kekayaan.

Dalil

Seterusnya Allah mengarahkan dengan `Dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.'Ia membawa maksud, dan solatlah kamu, iaitu bersama orang-orang yang sembahyang secara berjemaah atau bersama sahabat Nabi s.a.w. Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya: ``Hendaklah ka-mu bersama orang-orang yang beriman dengan sebaik-baik amalan dan ibadah yang paling khusus dan pa-

ling sempurna, iaitu solat. Justeru ramai di kalangan ulama menjadikan ayat ini sebagai dalil berhubung kewajipan berjemaah.''

Di sini disenaraikan beberapa dalil yang menunjukkan kelebihan dan kewajaran melaksanakan solat berjemaah, di antaranya:

1. Daripada Ibn Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Pahala solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Seseorang yang solat secara berjemaah mendapat pahala dua puluh lima kali ganda solat di rumah atau di pasar. Sekiranya dia berwuduk dengan sempurna, kemudian pergi ke masjid dengan niat semata-mata menunaikan solat, maka setiap langkahnya ke masjid itu akan dikurniakan satu darjat serta dihapuskan satu dosa. Apabila dia solat, malaikat sentiasa mendoakannya selama ia berada di tempat solatnya dengan berdoa: Ya Allah! Berselawatlah untuknya dan rahmatilah dia.'' Dan dia masih dalam solat selagi dia menunggu untuk solat seterusnya.(Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna, kemudian pergi untuk mendirikan solat fardu, lalu dikerjakannya solat tersebut bersama imamnya, Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa-dosanya. (Riwayat Ibn Khuzaimah).

4. Daripada Ibn Abas r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku dikunjungi oleh seorang utusan daripada Tuhanku pada suatu malam, dia berkata: ``Wahai Muhammad!'' Aku menjawab: ``Ya! Aku menyahut seruan Tuhanku.'' Dia berkata: ``Tahukah kamu apakah perselisihan yang berlaku pada kerajaan di langit?'' Lantas aku menjawab: ``Saya tidak tahu.'' Lalu dia meletakkan tangannya antara dua bahuku sehingga terasa sejuk. Selepas itu aku dapat mengetahui dan merasai segala yang ada di langit dan di bumi atau di timur dan barat. Dia bertanya lagi: ``Wahai Muhammad!, tahukah kamu tentang apakah perselisihan yang berlaku pada kerajaan di langit?.'' Aku menjawab: ``Ya! Iaitu perihal penganugerahan darat, penghapusan dosa serta balasan kepada orang yang berjalan menuju tempat solat berjemaah. (Riwayat Tirmizi. Kata beliau, hadis ini Hasan dan Gharib).

5. Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang bersolat secara berjemaah serta sempat bersama imam pada takbir yang pertama selama 40 hari, Allah s.w.t. akan menetapkan untuknya dua pelepasan; pelepasan daripada api neraka, dan pelepasan daripada menjadi munafik. (Riwayat Tirmizi).

6. Daripada Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang solat berjemaah daripada rakaat pertama solat Isyak, dituliskan untuknya oleh Allah s.w.t. bebas daripada azab api neraka. (Riwayat Ibn Majah dan Tirmizi).

7. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang berwuduk serta menyempurnakannya, lalu dia pergi berjemaah, sedangkan dia mendapati jemaah telah selesai, nescaya Allah mengurniakannya pahala sama seperti orang yang mendirikannya secara berjemaah tanpa sedikitpun dikurangkan pahalanya. (Riwayat Abu Daud, Nasai dan al-Hakim.

8. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang melaksanakan solat Isyak secara berjemaah, seolah-olah dia telah menghidupkan separuh malam. Sesiapa yang melaksanakan solat Subuh secara jemaah seolah-olah dia telah menghidupkan seluruh malam. (Riwayat Muslim daripada Uthman bin Affan).

Oleh kerana itulah ulama berselisih pendapat berhubung hukum solat berjemaah, sama ada ia wajib, fardu kifayah, sunat muakkad atau fardu ain. Sayid Qutub melalui Fi Zilal al-Quran berkata: ``Kemudian Allah menyeru mereka untuk bergabung dalam kumpulan keimanan dan masuk pada safnya. Di samping itu menunaikan segala ibadat fardu dan meninggalkan segala `uzlah (pengasingan) ini serta taksub yang dikeji sebagaimana yang dikenali dengannya sifat-sifat Yahudi pada zaman dahulu.''

Ibn Jauzi berkata melalui kitabnya, Zad al-Masir: ``Solatlah bersama orang yang bersolat.'' Kata Ibn Abbas: ``Yang dimaksudkan di sini ialah Muhammad dan sahabat-sahabatnya.'' Dan disebut rukuk di sini kerana tidak ada pada solat mereka itu rukuk. Ucapan ini ditujukan kepada orang Yahudi. Ayat ini menjadi bukti dan dalil bahawa orang kafir juga diarah melaksanakan segala cabang agama. Inilah salah satu pendapat Imam Ahmad.

No Comment

Post a Comment