Doa Nabi Ibrahim makbul

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Setelah Allah s.w.t. menceritakan perihal Nabi Allah Ibrahim yang diuji dengan beberapa kalimah dan juga arahan-Nya supaya menjadikan Makam Ibrahim tempat sembahyang di samping membersihkan Kaabah daripada segala bentuk syirik. Allah s.w.t. melangsungkan lagi kisah munajat dan doa Nabi Ibrahim a.s. dalam ayat berikut.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.” Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali. (Al-Baqarah: 126)

Firman Allah s.w.t.: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa. Dikehendaki dengan keamanan, di sini tiga pendapat iaitu:

1. Nabi Ibrahim memohon keamanan dan keselamatan daripada pembunuhan atau peperangan.

2. Daripada bala, gempa bumi dan dihancurkan.

3. Daripada kemarau dan kebuluran.

Syeikh Al-Maghari berkata: Doa ini daripada Ibrahim supaya negeri Mekah aman dan selamat dari golongan mereka yang angkuh dan takbur yang menguasainya dan dari azab dan hukuman Allah yang ditimpa keatasnya sebagaimana yang berlaku di kebanyakan negeri seperti gempa bumi, bencana alam, banjir dan lain-lain lagi daripada kemusnahan.

Allah menerima doanya justeru tiada seorangpun yang inginkan kejahatan di Mekah kecuali dipatahkan keinginannya. Sebagai contoh tentera Abrahah dalam peristiwa serangan ke kota Mekah yang disebut dalam surah al-Fil.

Dan berikanlah rezeki daripada berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Di sini beliau menerima jawapan daripada Allah, yang menyempurnakan dan menjelaskan golongan yang satu lagi yang didiamkan begitu sahaja iaitu golongan yang tidak beriman yang akan menerima untung nasib yang amat pedih.

Al-Samarqandi berkata Nabi Ibrahim mensyaratkan dengan syarat ini kerana ia berdoa kepada tuhannya kepimpinan untuk zuriatnya. Kemudian Allah tidak menerima baginya bagi golongan orang zalim, justeru Ibrahim merasa bimbang hal rezeki begitu juga lantas ia memohon rezeki untuk orang beriman sahaja.

Allah mengkhabarkannya bahawa Ia memberi rezeki kepada orang kafir dan orang beriman kerana urusan rezeki adalah ain daripada urusan kepimpinan. Mereka berkata kerana kepimpinan adalah kurniaan dan kelebihan sedangkan rezeki merupakan keadilan, justeru Allah memberi dengan kelebihannya siapa yang dikehendaki daripada hambanya yang layak. Demikian itu kepada manusia kerana mereka hamba-hambanya sekalipun mereka kufur.

Dan rezekikanlah hai Tuhanku di kalangan orang yang beriman dengan pelbagai buah-buahan dan makanan supaya mereka dapat mentaatimu dan beribadat. Al-Nasafi berkata: Diminta buah-buahan kerana kota Mekah negeri yang kering kontang tanpa sebarang tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan.

Al-Baghawi berkata: dalam kisah bahawa negeri Taif asalnya dari negeri Syam di Jordan apabila Ibrahim berdoa dengan doa ini lantas Allah memerintahkan Jibril a.s. mencabutnya daripada asal dan mengelilinginya di Baitullah sebanyak tujuh kali kemudian meletakkannya di tempat yang ada sekarang daripadanya banyaklah buah-buahan yang sampai ke kota Mekah.

Al-Alusi dalam mengemukakan komentar berkenaan dengan pendapat ini berkata: atas andaian sahihnya pendapat ini ia tidaklah pelik berbanding dengan kekuasaan Allah yang maha berkuasa dan jika enggan mengekalkan atas zahirnya, maka bab takwil amatlah luas.

Rezeki

Dikhususkan dengan orang yang beriman sahaja sedangkan Allah menjawab: Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia). Aku rezekikan di kalangan orang kafir juga sebagaimana aku rezekikan juga di kalangan orang beriman. Adakah patut aku ciptakan makhluk kemudian tidak merezekikannya? Adapun orang kafir aku kurniakan sedikit nikmat di dunia sepanjang hidupnya sahaja. Kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, kemudian aku masukkannya di hari akhirat dan mengheretnya ke neraka, tiada peluang dan ruang baginya untuk melarikan diri.

Al-Mawardi menaqalkan dua pendapat ulama berkenaan persoalan adakah Mekah sentiasa menjadi tempat yang aman dengan doa Nabi Ibrahim atau semata-mata terbatas pada zamannya sahaja?

1. Bahawa ia sentiasa aman dan dipelihara daripada golongan penguasa yang zalim dan takbur begitu juga daripada gempa bumi dan bencana alam. Ini berdasarkan riwayat Said Al-Maqburi mengikut hadis yang disebut oleh Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, dan dinaqalkan juga oleh Ibn Jarir Al-Tabari dan Ibn Ishaq.

2. Bahawa Mekah adalah tanah halal sebelum doa Nabi Ibrahim sama seperti negeri-negeri lain dan dengan sebab doanya jadilah ia haram dan aman sebagaimana Madinah dijadikan tanah haram oleh Rasulullah selepas ia halal.

Berdasarkan riwayat Asy'ath, daripada Nafi' daripada Ibn Umar. Tetapi riwayat ini daif kerana salah seorang perawinya Asy'ath bin Siwar Al-Kindi dianggap lemah oleh Al-Hafiz Ibn Hajar, begitu juga Al-Hafiz Ibn Kathir menganggap sanad ini asing. Syeikh Muqbil Al-Wada'i dalam mentakhrijkan tafsir Ibn Kathir menyebut: yang demikian itu kerana Asy'ath berseorangan dalam riwayat sedangkan dia lemah dan dia dianggap termasuk dalam hadis mungkar.

Dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali. Itulah seburuk-buruk tempat kembali bagi orang kafir iaitu tempatnya neraka jahanam. Ayat ini Ibrahim al-Khalil telah mengkiaskan rezeki dengan imamah (pemerintahan) lantas Allah memberi peringatan kepadanya bahawa rezeki hanya rahmat duniawi yang umum bagi orang baik dan jahat.

Berlainan dengan imamah yang terkhusus dengan orang-orang yang baik di kalangan orang yang beriman.

Iktibar dan pengajaran ayat.

Antaranya:

i. Sifat yang menjadi sekutu dan kesamaan antara nabi-nabi ialah banyak berdoa dan memohon kepada Tuhan. Justeru amat wajar kita mengikut mereka dengan memperbanyakkan berdoa.

ii. Kurniaan Allah s.w.t. seperti rezeki, kesihatan, kekayaan dan lain-lain tidak hanya terbatas kepada orang yang beriman sahaja tetapi diumumkan kepada semua makhluk-Nya kerana dunia hanya pentas ujian, sebaliknya akhirat adalah tempat pembalasan yang hakiki yang membezakan antara golongan baik dan jahat.

iii. Doa Nabi dimakbulkan Tuhan. Ini bermakna doa orang yang mengikut Nabi juga dimakbulkan Tuhan. Thabit dalam hadis-hadis yang sahih, doa orang-orang soleh dan orang yang mengerjakan sesuatu ibadat akan diperkenankan doa selepas selesai ibadat tersebut.

No Comment

Post a Comment