Kembali kepada-Nya - Janji Tuhan terhadap makhluk-Nya

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


IBN Jarir at-Tabari melalui tafsirnya, Jami' al-Bayan menerangkan maksud ayat supaya meminta pertolongan dengan sabar dan solat kepada orang-orang Yahudi dan Kristian dari kalangan ahli kitab yang dianggap sebagai pendita. Mereka dianjurkan supaya bersabar dalam ketaatan kepada Allah, di samping mengawal diri daripada terjerumus ke lembah maksiat dengan mendirikan solat yang berfungsi sebagai pencegah daripada kemungkaran dan keburukan akhlak, selain mendekatkan diri untuk mencapai segala keredhaan Allah.

Sebenarnya, solat merupakan satu perkara yang sukar kecuali mereka yang benar-benar tawaduk, khusyuk dan rendah diri kepada Allah. Seterusnya diterangkan lagi sifat-sifat orang yang khusyuk ini sebagaimana firman-Nya.

(IAITU) MEREKA YANG PERCAYA DENGAN YAKIN BAHAWA MEREKA AKAN MENEMUI TUHAN MEREKA, DAN BAHAWA MEREKA AKAN KEMBALI KEPADANYA. (Surah al-Baqarah ayat 46).

Firman Allah Taala `(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin', yang beriktikad dengan sesungguhnya tanpa sebarang syak. Ibn Kathir di dalam tafsirnya berkata: ``Ayat ini sebagai pelengkap kepada ayat yang sebelumnya. Dan sesungguhnya solat amat berat untuk dilaksanakan kecuali orang yang benar-benar khusyuk, yang yakin akan bertemu dengan Tuhan mereka dan dikumpulkannya pada Hari Kiamat, dibawa dan kembali kepada-Nya. Segala urusan mereka akan kembali mengikut kehendak-Nya kerana Allah sahaja yang berhak menghukum sesiapa yang dikehendaki dengan keadilan-Nya.

``Justeru, tatkala mereka yakin dengan janji, akhirat dan balasannya, sudah pasti mudah ke atas mereka yang bersifat demikian melakukan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Ibn Jarir mengemukakan soalan bagaimana mungkin Allah mengkhabarkan tentang manusia yang bersifat khusyuk dalam ketaatan dengan mengungkap kalimah yang zan untuk bertemunya, sedangkan zan sebahagian daripada syak. Tidakkah orang yang syak dalam pertemuan dengan Allah dianggap kufur?

``Dijawab dalam masalah ini, sesungguhnya orang Arab kadang-kadang membahasakan yakin dengan perkataan zan, sebagaimana mereka menamakan kegelapan dengan perkataan sudfah. Begitu juga cahaya dengan sudfah yang termasuk dengan perkataan-perkataan yang mempunyai dua makna yang berlawanan.

``Justeru, dimaksudkan dengan zan di sini adalah yakin dan dalilnya terlalu banyak sama ada daripada al-Quran, hadis atau syair-syair Arab. Di antara ulama tafsir yang menafsirkan zan dengan makna yakin di sini ialah Ibn Zaid, Ibn Juraij, as-Suddi, Mujahid, dan Abu al-`Aliah sehingga Mujahid berkata:

``Setiap zan yang diungkap dalam al-Quran bermaksud yakin.'' Begitu juga daripada Ibn Abi Nujaih daripada Mujahid beliau berkata: ``Setiap zan di dalam al-Quran sebenarnya bermaksud ilmu.''

`Bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka', iaitu mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka pada Hari Kiamat, kemudian dihisabkan segala amalan mereka.

Al-Imam al-Mawardi melalui tafsirnya, an-Nukat wa al-`Uyun berkata: ``Terdapat dua ta'wilan berhubung maksud ayat ini:

Dosa

Pertama: Mereka menyangka bahawa mereka bertemu Tuhan mereka dengan segala dosa kerana sayangnya mereka kepada maksiat yang telah sebati dengan mereka.

Kedua: Iaitu pendapat jumhur bahawa zan di sini dengan makna yakin seolah-olah ia berkata: Mereka yang yakin untuk bertemu dengan Tuhan mereka.''

`Dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya', iaitu tempat kesudahan mereka kepada Allah pada Hari Kiamat. Al-Imam al-Mawardi menaqalkan tiga pendapat berhubung maksud `mereka kembali':

Pertama: Bahawa dikehendaki dengan kembali ialah kematian.

Kedua: Bahawa mereka kembali dimaksudkan kembali pada Hari Akhirat. Inilah pendapat Abu al-`Aliah.

Ketiga: Mereka kembali kepada-Nya, iaitu tiadalah seseorang itu mendapatkan sebarang mudarat dan manfaat selain daripada Allah, sebagaimana keadaan mereka pada awal kejadian.

Syeikh al-Maraghi berkata: ``Diibaratkan dengan zan sebagai isyarat bahawa sesiapa yang zan bertemu dengan Allah, sudah pasti tidak merasa keberatan atasnya untuk melaksanakan ibadat solat. Justeru, apa pandanganmu terhadap sesiapa yang mempunyai sifat yakin.

``Dari sini, cukup dengan kalimah zan sebagai kesungguhan yang lebih bagi menempelak mereka, seolah-olah mereka yang menyuruh manusia berbuat baik, sedangkan melupakan diri sendiri, sudah pasti iman tidak sampai kepada mereka ke tahap zan yang diambil oleh tuannya dengan jalan ihtiyati (cermat dan berhati-hati) pada amalannya.''

Mengikut satu riwayat hadis yang sahih bahawa Allah Taala berfirman kepada hamba-Nya pada Hari Kiamat: ``Tidakkah Aku kahwinkanmu, tidakkah Aku muliakanmu, tidakkah Aku kurniakan kepadamu penguasaan kepada kuda dan unta dan Aku tinggalkan kamu sebagai ketua dan bebas?'' Jawabnya: Bahkan ya Tuhanku.'' Lantas firman Allah: ``Adakah kamu zan bahawa kamu akan bertemu dengan-Ku?'' Lantas katanya: ``Tidak.'' Kemudian Allah berfirman: ``Pada hari ini Aku lupakan kamu sebagaimana kamu telah lupa kepada-Ku.''

Di sini menunjukkan betapa pentingnya mengingati kematian dan bersedia dengan amalan-amalan yang soleh. Dinyatakan di sini ucapan Saidina Umar Ibn al-Khattab dalam khutbahnya:

``Hisablah dirimu sebelum dihisab, dan adakan perhitungan bagi dirimu sebelum diperhitungkan (dipersoalkan), dan bersiap sedialah kamu untuk menghadapi perhitungan yang besar, pada saat itu tidak akan tersembunyi daripadamu sesuatu yang sangat samar.''

Seorang ahli hikmah ketika melihat orang-orang mendoakan semoga diberi rahmat seorang yang telah meninggal dunia, ia berkata: ``Andaikan kamu berdoa supaya mendapat rahmat untuk dirimu, nescaya itu lebih baik, sebab orang yang mati itu telah selamat daripada tiga bahaya:

1. Melihat malaikat maut.

2. Sakit dan pedihnya mati.

3. Kekhuatiran daripada Su`ul Khatimah.''

Abu Darda r.a. ketika menghantar jenazah mendengar ada orang bertanya: ``Siapakah yang mati ini?'' Jawab Abu Darda: ``Itu kamu, bila kamu tidak mahu, maka saya.'' Yakni sama-sama akan mati. Firman Allah dalam Surah az-Zumar Ayat 30 yang bermaksud: ``Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.''

Al-Hasan al-Basri ketika melihat orang ramai makan di atas kubur, berkata : ``Itu orang munafik, maut itu di depan matanya, dan dia masih ingin makan.''

Ajaib

Al-Hasan al-Basri juga berkata: ``Alangkah teramat ajaib suatu kaum yang diperintahkan untuk mempersiapkan bekalan, kemudian akan dipindahkan ke alam baqa, tiba-tiba masing-masing duduk bermain-main, padahal mereka semua mengetahuinya.'' Al-Hasan al-Basri setiap kali melihat mayat, ia menjadi pucat dan sedih, seolah-olah baru menanam jenazah ibu kandungnya sendiri.

Ibrahim at-Taimi berkata: ``Siapa yang merasa aman dan tidak merasa sedih atau takut, dikhuatiri tidak akan masuk syurga, sebab penghuni syurga apabila ditanya, maka jawab mereka: ``Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami - selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah).'' (Surah al-Thur: 26).

Ibn Mas`ud r.a. berkata: ``Seharusnya seorang yang mengerti al-Quran dikenal waktu malamnya ketika orang-orang sedang tidur. Dan waktu siangnya ketika orang-orang tidak berpuasa dan sedihnya ketika orang-orang sedang bergembira, dan tangisnya pada waktu orang-orang sedang tertawa, dan diamnya pada waktu orang-orang berbicara dan khusyuk pada waktu orang-orang berbangga. Seharusnya juga, seorang yang mengerti al-Quran itu bersifat tenang, lemah-lembut dan prihatin dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai dan bersuara keras dan kasar.''

Syaqiq bin Ibrahim berkata: ``Tidak ada kawan yang lebih bagi seseorang, lebih daripada risau memikirkan dosa-dosanya yang lampau, dan takut terhadap apa yang akan datang, yang belum diketahui apakah yang akan menimpanya.''

Bimbang

Seorang ahli hikmah berkata: ``Siapa yang bimbang bukan kerana tiga perkara, maka ia tidak mengenal bimbang dan senang. Iaitu bimbang tentang iman apakah ia akan dibawa terus hingga mati atau tidak?

Kedua, bimbang terhadap perintah-perintah Allah, apakah ia akan dapat melaksanakan dengan sebaik-baiknya atau tidak?

Ketiga, bimbang orang yang akan menuntut pada-Nya kelak, apakah ia akan dapat selamat daripada mereka atau tidak?''

Akhirnya, penulis menaqalkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah, al-Hakim, al-Qudhaie dan al-Askari. Semuanya daripada hadis Syadda' bin `Auz, sabda Rasulullah s.a.w: ``Orang yang cerdik lagi berakal ialah orang yang merendahkan dirinya dengan sifat tawaduk, di samping menghisabkannya dan beramal untuk selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, ialah orang yang mengikut nafsunya dan bercita-cita kepada Allah beberapa cita-cita (angan-angan).''

Semoga Allah golongkan kita daripada golongan yang benar-benar bersedia dengan amalan yang salih untuk hari esok. Amin.

No Comment

Post a Comment