Orang syahid ‘hidup’ di sisi Allah
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Ibn Jauzi dalam kitabnya Zad al-Masir berkata: mereka berkata kepada mereka yang mati pada peperangan Badar dan Uhud, si fulan telah mati dalam Badar dan si fulan mati dalam Uhud. Lantas turun ayat ini seperti kata Ibn `Abbas.
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)
Firman Allah, Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati. Ulama berkata: larangan yang dimaksudkan di sini ialah jangan kamu kata mereka yang mati, roh mereka tidak sampai ke dalam syurga dan tidak sampai dari nikmat Allah sebagaimana tidak sampainya oleh orang yang hidup.
Bahkan mereka adalah hidup dan roh mereka berada dalam tembolok burung hijau yang berterbangan dan berkicauan dalam syurga.
Mereka hidup dari pihak ini sekalipun pada hukum dunia mereka mati dengan keluarnya roh. Inilah yang disebut oleh al-Anbari. Adapun perkataan fisabilillah ditafsirkan oleh al-Syaukani dengan maksud dalam ketaatan kepada Allah ketika memerangi orang musyrikin.
Firman Allah, Bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. Mungkin ada bertanya: Tidakkah semua orang yang beriman diberi nikmat selepas mati mereka? Justeru kenapa dikhususkan dengan orang yang mati syahid?
Jawapannya: Orang yang mati syahid dilebihkan daripada yang lain. Mereka diberi rezeki dari makanan syurga sedangkan yang lain diberi nikmat rendah dari yang demikian itu. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Jarir al-Tabari.
Syeikh al-Maghari berkata: Bahkan hidup mereka dalam alam yang lain daripada alam kamu tetapi kamu tidak dapat merasai kehidupan mereka kerana ia bukan berada di alam pancaindera. ia kehidupan yang ghaib berbeza dengannya, segala roh syuhada dari segala roh manusia yang lain. Dengannya mereka diberi rezeki dan diberi nikmat. Kami sekali-kali tidak mengetahui hakikat hidup ini dan rezeki yang didapatinya dan kami tidak ditaklif mengkaji demikian itu kerana termasuk dalam alam ghaib.
Justeru hendaklah kamu serahkan urusannya kepada Allah. Ada pendapat mengatakan ia merupakan kehidupan rohani semata-mata yang kami tidak mengetahui sir dan rahsianya.
Sayid Qutub berkata: Tetapi siapakah para syuhada yang masih hidup itu? Mereka ialah orang-orang yang terbunuh di dalam perjuangan sabilillah, yakni terbunuh semata-mata kerana sabilillah sahaja tidak bercampur aduk kerana sesuatu lambing, matlamat dan tujuan yang lain kecuali kerana Allah semata-mata.
Dia gugur kerana agama yang disyariatkan Allah. Dia gugur kerana agama yang dipilih oleh Allah. Bukannya kerana sesuatu tujuan yang lain, bukan gugur di bawah sesuatu lambang lain dan tidak bercampur aduk dengan sesuatu matlamat dan slogan yang lain.
Inilah yang ditekankan oleh al-Quran dan hadis supaya tidak ada di dalam hati sebarang kekeliruan dan ingatan yang lain melainkan kerana Allah semata-mata.
Daripada Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah ditanya mengenai orang yang berperang kerana menunjukkan keberanian, berperang kerana menunjukkan keangkuhan dan berperang kerana riak, manakah yang dikatakan berperang kerana sabilillah? Jawab baginda yang bermaksud: Sesiapa yang berperang supaya agama Allah menjadi agama yang tertinggi maka dialah yang berperang kerana sabilillah. Hadis ini dikeluarkan oleh Malik dan al-Syaikhan.
Daripada Abu Hurairah r.a, ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah! Ada orang mahu berjihad kerana sabilillah, sedangkan dia berkehendakkan harta dunia? Jawab baginda yang bermaksud, “Dia tidak akan mendapat apa-apa pahala.”
Kemudian lelaki itu mengulangkan pertanyaan itu sebanyak tiga kali dan semuanya dijawab baginda: Dia tidak akan mendapat apa-apa pahala. Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Daud.
*Fadilat jihad dan mati syahid
Antara hadis ialah:
Dalam Sahih Muslim ada menyebut: Sesungguhnya roh-roh para syuhada itu ditempatkan di dalam tembolok burung-burung hijau yang berterbangan di syurga ke mana sahaja yang disukai mereka. Kemudian mereka singgah di lampu-lampu yang bergantungan di bawah arasy.
Allah melihat mereka sepandangan mata lalu bertanya: Apakah yang kamu mahu? Jawab mereka: Wahai Tuhan kami, apakah lagi yang kami kehendaki, sedangkan engkau telah mengurniakan kepada kami nikmat-
nikmat yang tidak pernah Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dari makhluk-Mu? Kemudian Allah kembali mengemukakan pertanyaan yang seperti ini dan oleh sebab mereka melihat bahawa mereka tidak akan tinggal dari memohon lalu mereka pun menjawab: Kami mahu Engkau kembalikan kami ke negeri dunia supaya kami dapat berperang kerana agama-Mu sehingga kami dibunuh sekali lagi – kerana mereka melihat betapa besarnya pahala yang diterima oleh para syuhada. Jawab Allah s.w.t.: Sesungguhnya Aku telah membuat keputusan bahawa mereka tidak akan kembali lagi ke dunia.
Daripada Anas r.a, katanya. Rasulullah bersabda, Tiada seorangpun yang masuk syurga dan suka kembali semula ke dunia, dan dia masih mempunyai sesuatu di muka bumi ini kecuali orang yang gugur syahid. Dia bercita-cita kembali semula ke dunia supaya ia dibunuh berpuluh-puluh kali kerana dia melihat betapa besarnya kemuliaan (yang diterima oleh para syuhada). Hadis ini dikeluarkan oleh Malik dan al-Syaikhan.
Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Allah s.w.t. memberi jaminan kepada orang yang keluar berperang sabilillah, tiada suatu yang mendorongnya keluar melainkan semata-mata untuk berperang kerana agama-Ku, kerana beriman kepada-Ku dan kerana membenarkan Rasul-Ku… Dia tetap dijamin oleh-Ku bahawa Aku akan masukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya semula dengan selamat ke tempat kediamannya yang ia keluar darinya dengan mendapat ganjaran atau harta rampasan perang. Demi Allah yang memegang nyawa Muhammad di tangannya, tiada luka yang dilukakan orang kerana sabilillah melainkan dia akan datang pada hari kiamat seperti keadaan pada hari ia dilukakan.
Warna lukanya merah seperti darah dan baunya bau kasturi. Demi Allah yang memegang nyawa Muhammad di tangannya, jika tidak kerana menyulitkan kaum muslimin tentulah aku tidak akan duduk sama sekali tanpa mengikuti mana-mana ketumbukan tentera yang berperang kerana sabilillah, tetapi aku tidak mempunyai kelapangan yang membawa mereka berperang dan mereka juga tidak mempunyai kelapangan untuk mengikut aku berperang, dan tentulah sulit bagi mereka untuk tinggal tidak ikut berperang bersamaku.
Demi Allah yang memegang nyawa Muhammad di tangannya, aku bercita-cita berperang fisabilillah lalu aku dibunuh kemudian aku berperang fisabilillah, kemudian aku dibunuh, kemudian aku berperang lagi dan dibunuh lagi, kemudian aku berperang lagi dan dibunuh lagi. Hadis ini dikeluarkan oleh Malik dan Syaikhan.
Antara iktibar dan pengajaran ayat:
*Kelebihan orang yang mati syahid pada jalan Allah.
*Alam ghaib tidak mungkin tidak dapat dijangkau dengan segala pancaindera zahir.
*Adanya kehidupan selepas mati sama ada nikmat atau azab. Semoga Allah mengurniakan kepada kita nikmat kubur dan menjauhkan daripada azabnya.
No Comment
Post a Comment