Yahudi dan Nasrani saling berbalah

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SYEIKH al-Maraghi berkata, disebut dua ucapan daripada dua golongan ke atas yang lain. Golongan Yahudi mengatakan ke atas Kristian dan begitulah sebaliknya. Sedangkan kedua-duanya membaca kitab.

Mereka yang membaca kitab Taurat telah mendapat berita gembira akan ada Rasul di kalangan mereka yang datang selepas Musa dan mereka menyalahinya serta tidak beriman dengannya. Begitu juga dengan Injil yang menyatakan bahawa al-Masih yang datang untuk menyempurnakan bagi undang-undang Musa, bukan membangkangnya, tetapi mereka membatalkannya.

Kesimpulannya, agama mereka satu kecuali sebahagian mereka meninggalkan yang permulaan dan sebahagian yang lain meninggalkan yang akhir. Justeru, semuanya tidaklah beriman dan jadilah kitab menjadi hujah ke atas mereka dan saksi pendustaan mereka.

Kaum Yahudi dan Nasrani menggembar-gemburkan dakwaan besar itu sedangkan kedua-dua golongan itu tuduh-menuduh antara satu sama lain sebagai golongan yang tidak mempunyai pegangan yang benar, sementara kaum Musyrikin (Arab) pula melemparkan kata-kata yang sama kepada dua golongan itu.

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)” dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)” padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik daripada kaum Jahiliah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya. (Al-Baqarah: 113)

Ingkar

Syeikh Muhammad Rasyid Ridha menyebut sebab turunnya ayat ini adalah kerana orang Yahudi bermegah-megah ke atas rombongan Nasrani Najran di sisi Nabi Muhammad s.a.w.. Maka berkata setiap golongan di kalangan mereka: Tidaklah mereka berkata pada mengingkarkan agama yang lain.

Firman Allah s.w.t., Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar).” Ini kerana orang Yahudi kafir dengan Nabi Isa seraya berkata, bukanlah orang-orang Kristian atas agama yang sebenar dan agama mereka adalah batil.

Syeikh Muhammad Rasyid Ridha berkata dalam tafsir al-Manar, sesuatu pada bahasa adalah yang maujud sebenarnya. Dan iktikad khayal yang tidak menepati atas maujud di luar tidak layak dipanggil sesuatu. Mereka mengkafirkan Isa sedangkan mereka membaca kitab Taurat yang memberi berita gembira serta alamat. Malangnya golongan Yahudi sehingga hari ini mendakwa bahawa al-Masih yang diberitakan dalam Taurat itu belum datang dan menunggu zahirnya dengan membawa kerajaan kepada golongan Yahudi.

Sebaliknya, orang-orang Nasrani pula berkata, orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar). Golongan Kristian pula membuat dakwaan yang sama terhadap Yahudi. Dan mereka kafir dengan Nabi Musa padahal mereka membaca kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil). Sedangkan mereka yakni golongan Yahudi membaca kitab Taurat dan golongan Kristian membaca kitab Injil, maka sesungguhnya mereka telah kufur dalam keadaan berilmu. Iaitu setiap mereka membaca kitabnya dengan membenar apa yang dikufur dengannya. Inilah pendapat al-Suddi dan Qatadah.

Demikian juga orang-orang (musyrik daripada kaum Jahiliah) yang tidak berilmu pengetahuan. Al-Syaukani berkata, dikehendaki dengan mereka adalah orang kafir Arab.

Syeikh al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil berkata, golongan jahil tanpa ilmu dan kitab sama seperti penyembah-penyembah berhala dan golongan mu’attilah (iaitu golongan yang mengingkari Allah, hari kebangkitan dan Rasul). Mereka berkata kepada ahli agama: Tiadalah mereka atas sesuatu. Ini merupakan celaan yang besar bagi mereka kerana menetapkan diri mereka bersama ilmu pada jalan yang dia tidak ketahui.

Mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Begitulah juga golongan musyrikin Arab telah berkata seperti golongan Ahli Kitab. Antara kenyataan mereka adalah Muhammad tidak mempunyai sesuatu pun. Berkaitan mereka ini terdapat dua pendapat:

1. Mereka ialah golongan Musyrikin Arab yang berkata kepada Muhammad dan sahabatnya: “Kamu tidak ada sesuatu pun.” Inilah pendapat al-Suddi daripada gurunya.

2. Bahawa mereka adalah umat sebelum golongan Yahudi dan Kristian seperti kaum Nuh, Hud dan Salih. Inilah pendapat ‘Ata’ al-Kharasani.

Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat. Dialah Hakim Yang Maha Adil dan kepada-Nya dikembalikan segala urusan. Tindakan merujuk perkara ini kepada pengadilan Allah itu satu-satunya tindakan yang berfaedah dalam menghadapi kaum yang tidak menggunakan logik dan berpegang kepada dalil, selepas dipatahkan dakwaan kosong mereka bahawa mereka sahaja yang akan menjadi penghuni syurga dan mereka sahaja kaum yang mendapat hidayah.

Adil

Mengenai isu yang mereka berselisihan padanya, Allahlah yang menghukum antara Yahudi dan Kristian dengan hukuman-Nya yang adil atas apa yang mereka khilafkan daripada urusan agama. Yang dimaksudkan dengan orang-orang yang tidak mengetahui itu ialah orang-orang Arab yang tidak mempunyai sebarang kitab suci. Mereka memandang golongan Yahudi dan Nasrani yang berpecah-belah dan saling tuduh-menuduh antara satu sama lain serta berpegang dengan kepercayaan-kepercayaan khurafat dan dongeng-dongeng orang Arab dari segi kepercayaan syirik yang menghubungkan anak-anak lelaki dan perempuan kepada Allah s.w.t.. Mereka memandang rendah kepada agama kaum Yahudi dan agama kaum Nasrani dan mereka berkata: Kedua-dua golongan itu tidak mempunyai apa-apa pegangan.

Al-Quran merakamkan semua tuduhan yang dilemparkan oleh semua pihak terhadap satu sama lain itu setelah mematahkan dakwaan kaum Yahudi dan kaum Nasrani yang mengaku memiliki syurga dan menyerahkan perselisihan di antara mereka kepada pengadilan Allah.

Ayat ini sebenarnya tidaklah terhenti atas riwayat semata-mata yang menghikayatkan iktikad setiap kumpulan tetapi selayaknya hendaklah kita mengkaji dan menyelidik sejarah agama dan umat yang al-Quran membicarakannya untuk kita memahaminya dengan sebenar-benar kefahaman dan mengetahui apa yang dihikayat daripada mereka berkenaan dengan akidah dan amalan. Adakah ia umum kepada mereka atau kepada kumpulan dalam kalangan mereka. Justeru, ibarat daripada ayat ini bahawa Ahli Kitab dalam menyesatkan sebahagian mereka akan sebahagian yang lain dan iktikad setiap satu pada yang lain bahawa sesungguhnya tiadalah atas sesuatu yang hakiki daripada urusan agama serta bahawa kitab Yahudi asal bagi kitab Nasrani. Dan kitab Nasrani pula pelengkap bagi kitab Yahudi. Justeru, jadilah mereka dalam keadaan bingung dan mengikut hawa nafsu. Inilah kenyataan Rasyid Ridha.

No Comment

Post a Comment