Nikmat Allah - Syukuri dengan ketaatan

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


BERMULA daripada ayat 40 hingga ayat 142, dibincangkan permasalahan Bani Israel (Yahudi). Al-Quran membangkitkan isu ini hampir satu juzuk. Ini kerana keprihatinan al-Quran terhadap segala hakikat Yahudi, di samping mendedahkan segala sifat jahat yang bertapak dalam hati mereka supaya umat Islam sentiasa berwaspada daripada tipu-daya mereka.

Adapun wajah munasabah, maka sesungguhnya Allah Taala tatkala menyeru manusia beribadah dan bertauhid kepada-Nya, di samping mendirikan segala hujah dan bukti atas wahdaniyah-Nya (keesaan-Nya) dan kewujudan-Nya. Kemudian Allah mengingatkan mereka dengan segala nikmat yang dikurniakan kepada datuk mereka yang pertama, iaitu Nabi Adam a.s. Ayat ini pula dikhususkan kepada Bani Israel atau Yahudi supaya beriman dengan Nabi akhir zaman, dan membenarkannya dengan risalah yang dibawa oleh Allah Taala. Ini kerana Yahudi mendapatinya termaktub dalam kitab Taurat.

Justeru, kadang-kadang Allah menggunakan ucapan dalam uslub (gaya bahasa) yang lemah-lembut, menakutkan, memperingatkan dengan segala nikmat, di samping mengemukakan hujah dan menempelak atas segala keburukan amalan mereka. Begitulah perpindahannya, daripada peringatan dengan nikmat yang umum kepada manusia dalam rangka memuliakan Adam sebagai bapa segala manusia, hingga peringatan dengan nikmat yang khusus dan istimewa kepada Bani Israel sebagaimana firman Allah Taala.

HAI BANI ISRAEL, INGATLAH AKAN NIKMAT-KU YANG TELAH AKU ANUGERAHKAN KEPADAMU, DAN PENUHILAH JANJIMU KEPADA-KU, NESCAYA AKU PENUHI JANJI-KU KEPADAMU, DAN HANYA KEPADA-KU-LAH KAMU HARUS TAKUT (TUNDUK). (Surah al-Baqarah ayat 40)

Allah memulakan dengan `Hai Bani Israel' iaitu hai anak keturunan Nabi yang soleh iaitu Yaakub. Israel ini nama bagi `ajam (bukan Arab) yang bermaksud hamba Allah, iaitu nama Yaakub a.s. Mereka berkata: ``(Isra) pada bahasa mereka bermaksud hamba dan (el) bermakna Allah.''

Al-Qaffal berkata: ``Dikatakan bahawa (Isra) dalam bahasa Ibraniah bermakna manusia atau lelaki.'' Ada pendapat yang memberinya maksud pemerintah atau ketua yang berjihad bersama Allah, seperti yang disebut oleh Rasyid Ridha di dalam tafsirnya, al-Manar: ``Ayat ini ditujukan kepada kumpulan Yahudi yang mendiami Madinah dari kalangan Yahudi pada masa Rasulullah s.a.w.'' Ia sebagai peringatan kerana kelalaian yang amat sangat seperti kata al-Fakhru ar-Razi di dalam tafsirnya.''

Al-Maraghi berkata: ``Di sini sebagai isyarat bahawa mereka lupa dan memandang remeh di dalam pemikiran mereka. Justeru, Allah mengingatkan mereka dengan nikmat yang hanya dikhususkan kepada mereka berbanding umat lain.''

Nikmat

Lantas Allah menyebut: `Ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepada-Mu', iaitu dengan mengingat dan menyebut segala nikmat kurniaan-Ku dengannya ke atas kamu dan nenek moyangmu yang tidak terhitung dan terkira.

Syeikh as-Syanqiti berkata: ``Pada ayat ini tidak diterangkan nikmat secara khusus yang dikurniakan ke atas mereka tetapi diterangkannya pada ayat-ayat yang lain seperti dilitupi awan dan kurniaan makanan.''

Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya, Zad al-Masir berkata: ``Yang dimaksudkan dengan `nikmat' ada tiga pendapat:

i. Iaitu apa yang Allah simpankan dalam kitab Taurat kepada mereka berhubung sifat Rasulullah s.a.w. sebagaimana pendapat Ibn Abbas.

ii. Iaitu nikmat yang dikurniakan terhadap nenek moyang mereka daripada terkena bala Firaun, menghancurkan musuh mereka, kurniaan kitab Taurat dan lain-lain lagi sebagaimana pendapat al-Hasan dan az-Zajjaj. Kaedah menyebut kurniaan kepada bapa dan kemegahan juga berlaku kepada anak-anak. Sebaliknya celaan kepada bapa sama seperti mencela anak-anak.

iii. Ia bermaksud umum untuk semua nikmat. Inilah juga pendapat Syeikh Abdul Rahman as-Sa`di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim. Beliau menambah: ``Sebutannya bermaksud dengan hati secara pengiktirafan, dengan lidah secara pujian dan dengan anggota secara menggunakannya dengan apa yang disukai dan diredhai Allah.''

Fakhru ar-Razi menambah lagi bahawa nikmat kurniaan kepada mereka selain yang telah disebut, di antaranya:

``Menjadikan ramai nabi dan raja di kalangan mereka, menurunkan banyak kitab yang besar berbanding dengan umat yang lain, dilitupi awan yang melindungi mereka semasa sesat, di samping diberikan rezeki dengan al-man dan as-salwa (jenis madu dan burung) dan lain-lain.''

Sayid Qutb menyebut dalam Fi Zilal al-Quran: ``Sesungguhnya mereka yang mengkaji sejarah Bani Israel akan melihat betapa ajaibnya limpahan kurniaan Allah ke atas mereka. Sedangkan dari pihak mereka penuh dengan pengingkaran dan penentangan. Di sini Allah mulakan peringatan dengan nikmat secara umum sebelum diperincikan sebahagiannya satu persatu. Ia untuk memastikan mereka menunaikan segala janji setia dengan Allah sebagai balasan atas kurniaan nikmat Allah.''

`Dan penuhilah janjimu kepada-Ku', yakni tunaikanlah segala yang telah kamu ikat perjanjian dengan-Ku untuk taat dan beriman. Yang dikehendaki dengan `perjanjian' ini empat pendapat:

i. Yang termaktub dalam Taurat mengenai sifat Muhammad sebagaimana riwayat Abu Salih daripada Ibn Abbas.

ii. Melaksanakan segala arahan dan meninggalkan segala larangan.

iii. Bermaksud agama Islam sebagaimana pendapat Abu al-`Aliyah.

iv. Perjanjian yang disebut di dalam al-Quran terhadap Bani Israel yang dibangkitkan daripada mereka dua belas naqib (ketua) sebagaimana pendapat Qatadah.

`Nescaya Aku penuhi janji-Ku kepadamu'. Ia bermaksud dengan cara apa yang Aku (Tuhan) janjikan kepadamu sebagai perjanjian iaitu balasan pahala. Ibn Abbas mentafsirkan, dengan Aku memasukkan kamu ke dalam syurga.

Ketaatan

Al-Imam Ibn Qayyim di dalam tafsirnya, Bada`i at-Tafsir berkata: ``Allah memerintahkan mereka supaya menyebut segala nikmat untuk membangkitkan mereka kepada ketaatan dan beriman dengan rasul-rasul-Nya. Sebaliknya memberi ancaman dengan hukuman kepada mereka yang tidak beriman dan patuh dengan ketaatan. Justeru, jadilah nikmat kepada nenek moyang mereka itu sebagai nikmat ke atas mereka, yang memastikan kesyukuran. Bagaimana mungkin kamu jadikan tempat kesyukuran dengan mengkufurkan Rasul-Ku dan mendustakan mereka serta bermusuhan. Ini tidak menunjukkan atas nikmat-Nya yang mutlak terhasil dalam kekufuran.''

`Dan hanya kepada-Kulah kamu harus takut (tunduk)'. Ia bermaksud kamu hendaklah takut kepada-Ku bukan yang lain. Ibn Jarir at-Tabari berkata: ``Dan kepada-Ku sahaja hendaklah kamu takut, hai yang mengabaikan perjanjian-Ku daripada Bani Israel dan yang mendustakan Rasul-Ku agar kamu beriman dengannya dan mengikutnya. Kalau tidak, layaklah bagimu untuk dikenakan hukuman-Ku.''

As-Syaukani berkata di dalam kitabnya Fath al-Qadir: ``Takut di sini mengandungi makna ancaman dan didahulukan sebelum fi`el, perkataan `hanya kepada-Ku-lah' daripada perkataan `harus takut dan tunduk' adalah sekuat-kuat penegasan yang memberi makna khusus. Inilah juga pendapat pengarang al-Kashaf.''

Al-Maraghi berkata: ``Jangan kamu takut dan bimbang kecuali kepada yang mempunyai dan menguasai segala perkara, iaitu Allah. Mengurniakan nikmat ke atasmu dengan nikmat yang besar, berkuasa mencabut nikmat tersebut dan boleh menghukum kepada sesiapa yang meninggalkan kesyukuran. Justeru, janganlah seseorang kamu merasa takut antara satu sama lain seperti hilangnya sebahagian manfaat dan terkena sebahagian mudarat selama mana kamu berada di atas landasan kebenaran yang kamu ikuti dan menyalahi selain mereka.''

Syeikh Ibn `Asyur melalui tafsirnya, at-Tahrir wa at-Tanwir menerangkan dengan panjang lebar uslub ayat akhir ini dengan katanya: ``Ia sebagai penyempurnaan dan pelengkap dengan arahan yang lalu daripada larangan mencabuli perjanjian antara mereka dengan Allah dengan berpegang kepada Taurat. Justeru, penggunaan perkataan (dan kepadaku) didahulukan daripada perkataan takut memberi maksud khusus atau terhad, iaitu siapa yang takut kepada Allah sudah pasti melaksanakan perjanjian. Dengan menggunakan sighah (lafaz) yang satu ini memberi maksud kedua-duanya, iaitu menunaikan perjanjian dengan melaksanakan ketaatan dan takut hanya kepada Allah tidak kepada yang lain.''

Semoga Allah memperlihatkan kepada kita kebenaran itu sebagai kebenaran, seterusnya memberikan kita rezeki untuk mengikuti-Nya dan memperlihatkan kepada kita kebatilan itu sebagai kebatilan, seterusnya memberikan kita rezeki untuk menjauhinya. Amin ya Rabbal-Alamin.

No Comment

Post a Comment