Kelebihan manusia menguasai pelbagai ilmu

By mfrstudio

Tatkala Adam dicipta, malaikat merasa musykil, apakah Adam lebih mengetahui daripada mereka atau sebaliknya?

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SELEPAS pengakuan malaikat terhadap kekuasaan dan ilmu Allah, seterusnya Allah s.w.t. mengarahkan Adam a.s. menzahirkan ilmu yang dikurniakan-Nya kepadanya berhubung nama-nama benda, sebagaimana firman-Nya:

WAHAI ADAM! TERANGKANLAH NAMA BENDA-BENDA INI SEMUA KEPADA MEREKA.'' MAKA SETELAH NABI ADAM MENERANGKAN NAMA BENDA-BENDA ITU KEPADA MEREKA, ALLAH BERFIRMAN: ``BUKANKAH AKU TELAH KATAKAN KEPADA KAMU, BAHAWASANYA AKU MENGETAHUI SEGALA RAHSIA LANGIT DAN BUMI, DAN AKU MENGETAHUI APA YANG KAMU NYATAKAN DAN APA YANG KAMU SEMBU-NYIKAN? (Al-Baqarah ayat 33)

Ibn Jarir at-Tabari berkata : ``Sesungguhnya Allah memperkenalkan kepada malaikat-Nya ketika mereka memohon untuk dilantik menjadi khalifah di bumi. Mereka menyifatkan diri mereka sebagai hamba yang taat dan patuh dengan segala arahan-Nya tanpa sedikitpun melakukan kerosakan dan pertumpahan darah. Hal ini berlaku sebelum para malaikat mengetahui hukum qada Tuhan, dan sebelum diterangkan tentang kejahilan mereka terhadap nama-nama yang dibentangkan kepada mereka, kerana mereka tidak mempunyai ilmu kecuali yang diajarkan Tuhan mereka.''

Allah yang Maha Mengetahui berhak mengkhususkan ilmu kepada sesiapa yang dikehendaki di kalangan makhluk-Nya, di samping menutup ilmu tersebut daripada sesiapa juga yang tidak dikehendaki-Nya. Sebagaimana Allah mengajar kepada Adam nama-nama tersebut dan menghalangnya daripada pengetahuan malaikat. Ayat ini Allah mulakan dengan arahannya seraya berkata : `Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka', iaitu ajarkanlah kepada mereka nama-nama yang mereka tidak mengetahuinya, di samping mengiktiraf betapa terhadnya himmah mereka untuk mencapai martabat keilmuan tersebut.

Imam as-Samarqandi melalui tafsirnya, Bahr al-Ulum berkata : ``Iaitu khabarkanlah mereka dengan segala nama termasuk haiwan-haiwan yang melata dan hikmah halal dan haramnya sesuatu yang akan dimakan.'' Seterusnya Allah berfirman : `Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka'. Nabi Adam menceritakan kepada mereka mengikut arahan Allah mengenai segala sesuatu, dengan menamakan setiap benda mengikut namanya, di samping menyebut beberapa hikmah dan fungsinya.

Akhirnya Allah mengulangi pertanyaan-Nya sekali lagi kepada malaikat tanpa memerlukan jawapan, seraya berfirman : `Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawa Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?' Iaitu tidakkah Aku terangkan kepadamu bahawa Aku Maha Mengetahui dengan segala yang ghaib daripadamu, sama ada di langit atau di bumi. Juga Aku mengetahui apa yang kamu zahirkan di sam-

ping yang kamu sembunyikan, iaitu dakwaan kamu bahawa Allah tidak menciptakan makhluk yang lebih afdal daripadamu.

Abu Hayyan di dalam kitabnya, Al-Bahru al-Muhit menaqalkan daripada Ali, Ibn Masu'd dan Ibn Abbas, bahawa yang dimaksudkan `apa yang kamu zahirkan', ditujukan kepada malaikat. Sedangkan `apa yang kamu sembunyikan', ditujukan kepada Iblis. Ibn Jarir berkata : ``Ghaib itu ialah segala yang ghaib daripada pandangan sehingga tidak diketahui. Ia sebagai tempelak daripada Allah kepada mereka di atas kenyataan mereka sebelumnya dan betapa naifnya mereka.''

Al-Mawardi di dalam An-Nukat wa al-U'yun berkata : Mengenai `apa yang kamu sembunyikan?' terdapat dua pandangan ulama: Pertama, iaitu apa yang disembunyikan oleh Iblis tentang sifat takbur dan derhakanya. Inilah pendapat Ibn abbas dan Ibn Masu'd. Kedua, Apa yang mereka sembunyikan di dalam jiwa mereka bahawa Allah tidak mencipta makhluk kecuali mereka lebih baik daripadanya. Inilah pendapat al-Hasan al-Basri.

Imam as-Samarqandi berpendapat bahawa ayat ini bermaksud, apa yang Iblis sembunyikan pada dirinya sehingga berkata : ``Jika manusia lebih daripadaku, nescaya aku tidak akan mentaatinya. Sebaliknya jika aku lebih daripadanya, nescaya aku hancurkannya.''

Sebahagian ulama menafsirkan : ``Sesungguhnya mereka berkata, ketika Allah hendak mencipta Adam, Dia tidak akan mencipta seseorang yang lebih afdal daripada mereka. Inilah kenyataan yang mereka sembunyikan.'' Tafsir ini diambil daripada Qatadah. Sebahagian ulama berkata : ``Tatkala Adam dicipta, malaikat merasa musykil, apakah Adam lebih mengetahui daripada mereka atau sebaliknya? Tetapi setelah Allah bertanya kepada mereka tentang nama-nama, dan mereka tidak mampu menjawabnya sehingga ditanyakan kepada Adam yang dapat menjawab satu-persatu. Justeru itu, jelaslah bagi mereka bahawa Adam lebih mengetahui.

Diriwayatkan bahawa ketika Allah Taala mencipta Adam a.s., malaikat melihat kejadian fitrahnya yang penuh ajaib seraya berkata : ``Buatlah apa yang dikehendaki. Tuhan Kami tidak akan mencipta mana-mana makhluk kecuali kami lebih mulia daripadamu, seperti yang dinyatakan oleh Ibn Kathir dan Abu Al-Suud. Al-A'llamah Ibn A'syur di dalam tafsirnya, At-Tahrir wa at-Tanwir berkata: ``Sesungguhnya Allah menjadikan ilmu Adam dengan segala nama, sedangkan malaikat lemah mengenainya. Ia merupakan alamat dan tanda kepakaran dan kelayakan manusia memegang dan memikul amanah sebagai khalifah di muka bumi, dan bukan malaikat

Ini kerana khilafah di muka bumi merupakan khilafah Allah dalam melaksanakan apa yang dikehendaki-Nya dengan pembinaannya mengikut keadaan manusia. Dalam erti kata lain, Allah s.w.t. menjadikan manusia untuk melaksanakan kehendak-Nya di alam ini. Tanpa syak lagi bahawa khilafah ini tidak mungkin ditegakkan tanpa ilmu sehingga dapat melakukan pertimba-

ngan yang sewajarnya antara kebaikan dan keburukan. Di samping itu, mampu melakukan kebaikan dan kejahatan mengikut tempatnya. Ilmu tersebut dikurniakan dengan kekuatan berkata-kata, iaitu mempunyai akal fikiran sehingga dapat menzahirkan makrifah dan keistimewaan sesuatu nama sehingga akhirnya.

Seterusnya Syeikh menyebut : ``Ayat ini membawa keistimewaan yang besar bagi makhluk manusia kerana kelebihannya dalam bab ilmu. Tetapi ia tidak menunjukkan bahawa manusia lebih istimewa daripada malaikat sebagaimana yang dinyatakan oleh as-Syihab al-Qarafi. Sebaliknya disandarkan kelebihan yang mutlak berdasarkan kepada himpunan kelebihan sebagaimana hadis yang menceritakan peristiwa Musa dan Khidir.

Syeikh Muhammad Rasyid Ridha di dalam tafsirnya, al-Manar berkata : ``Sesungguhnya telah berlalu sunah Allah pada kitab-Nya, bahawa Dia menzahirkan kepada kita banyak perkara maknawi, dengan menukarkan ibarat yang lafzi. Di samping itu, diterangkan kepada kita segala bentuk pengetahuan berdasarkan kefahaman akal dengan gambaran-gambaran yang zahir. Ia untuk memudahkan pemahaman dan pencapaian ilmu.''

Dengan demikian kita akan menyedari betapa bernilai dan istimewanya kita berbanding makhluk lain. Oleh kerana itu, kita harus bersungguh-sungguh melengkapkan diri dengan seberapa banyak ilmu yang telah Allah ciptakan. Ia sebagai persediaan memikul amanah Allah di bumi.

No Comment

Post a Comment