Jangan mati melainkan dalam Islam
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Syeikh al-Maraghi berkata: Kemudian Allah menegaskan urusan wasiat dan menambahnya sebagai taqrir di samping mendirikan hujah dan dalil terhadap ahli kitab sama ada Yahudi atau Nasara seperti mana yang dihadapkan kalamnya kepada mereka.
Firman Allah s.w.t.: Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Ya'qub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.”
(Demikianlah wasiat Nabi Ya'qub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Ya'qub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).”
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan. (Al-Baqarah: 132 hingga 134)
Ibrahim dan Ya'qub masing-masing mengingatkan anak-anaknya terhadap nikmat Allah yang dikurniakan kepada mereka iaitu nikmat agama Allah yang dipilih untuk mereka. Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Ya'qub (berwasiat kepada anak-anaknya) bagaimana Nabi Ibrahim mewasiatkan kepada anak cucunya supaya mengikut ajarannya.
Al-Samarqandi berkata, Nabi Ibrahim mempunyai empat anak iaitu Ismail, Ishak, Madin dan Mudayin. Begitu juga Ya'qub mewasiatkan dengan ajaran Ibrahim katanya, “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu.” Inilah hikayat tatkala Nabi Ibrahim dan Ya'qub mewasiatkan kepada anak-anaknya. Yakni agama Islam itu adalah dari pilihan Allah dan tiada pilihan yang lain lagi bagi mereka selepas pilihan Allah.
Sekurang-kurang balasan terhadap ri`ayah dan limpah kurnia Allah ialah bersyukur terhadap pilihannya dan menjaga agama yang dipilih olehnya. Seterusnya berusaha bersungguh-sungguh agar mereka tidak meninggalkan dunia ini melainkan agama ini terpelihara di kalangan mereka.
Maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam. Thabitlah kamu atas agama Islam sehingga kamu mati dengan berpegang pada Islam. Al-Baghawi berkata: Iaitu beriman dan ada pendapat berkata iaitu ikhlas dan ada pendapat berkata menyerahkan segala urusan kepada tuhan. Itulah wasiat Ibrahim kepada anak-anaknya dan wasiat Ya'qub kepada anak-anaknya, iaitu wasiat yang diulangi oleh Ya'qub a.s. pada detik-detik hidupnya yang akhir. Itulah wasiat yang memenuhi hati dan ingatannya hingga tidak dapat dipisahkan darinya oleh maut dan sakaratnya.
Dengarlah wasiat ini wahai Bani Israel. Al-Mawardi berkata, jika ditanya bagaimana dilarang daripada kematian sedangkan ia bukan dari perbuatan mereka, tetapi sebenarnya mereka dimatikan? Dijawab, ini dari penggunaan keluasan bahasa, dengan mafhum makna kerana larangan ditujukan kepada yang mengesahkan daripada islam bukan kepada kematian. Justeru maknanya ialah iltizamlah kamu dengan Islam dan jangan kamu keluar daripadanya sehingga meninggal dunia
(Demikianlah wasiat Nabi Ya'qub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Ya'qub hampir mati. Ibn al-Jauzi menaqalkan sebab turun ayat ini bahawa orang Yahudi bertanya Nabi s.a.w.: Tidakkah kamu mengetahui bahawa Ya'qub mewasiatkan kepada anak-anaknya pada hari mati dengan ajaran Yahudi? Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Muqatil. Abu Ja'far al-Tabari dalam tafsirnya menyebut sebab nuzulnya seperti ini daripada al-Rabi'. Begitu juga al-Wahidi dan Ibn Kathir.
Persoalan
Bahkan adakah kamu saksi bagaimana ketika Ya'qub hampir mati dalam keadaan nazak mewasiatkan kepada anaknya supaya mengikut ajaran Ibrahim. Inilah peristiwa yang disaksi dan dijelaskan Allah dan dengan penjelasan ini Allah mematahkan segala hujah mereka yang mengeliru dan memutuskan segala hubungan yang hakiki di antara mereka dengan moyang mereka Israel (Ya'qub).
Ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Inilah persoalan yang aku kumpulkan kamu kerananya. Inilah perkara yang aku mahu mengetahuinya dengan penuh keyakinan. Inilah amanah, perbendaharaan dan warisan.
Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, kami sekali-kali tidak menyembah kecuali Tuhan yang satu iaitu Allah Tuhan sekalian alam, Tuhan kepada nenek moyang kamu yang terdahulu dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri Mereka memang mengetahui dan mengingati agama mereka.”
Demikianlah wasiat Ibrahim kepada anak-anaknya itu dipelihara di kalangan anak-anak Ya'qub. Begitu juga mereka dengan jelas menyifatkan diri mereka sebagai kaum muslimin (yang menyerahkan diri mereka kepada Allah). (dengan penuh iman). Al-Alusi berkata: iaitu kepatuhan yang disertakan dengan ubudiyah dan ada pendapat menyatakan tunduk dan berserah diri sama ada suruhan dan larangan-Nya yang membabitkan percakapan ataupun akidah Matlamat di sini ialah mentahqiqkan pelepasan daripada syirik.
Inilah yang Allah syaratkan kepada zuriat yang baik. Syed Qutub berkata: Pemandangan yang mengumpulkan Ya'qub dan anak-anaknya ini di saat kehadiran maut merupakan satu pemandangan yang amat besar maknanya, kuat saranannya, dalam kesannya iaitu pemandangan seorang yang berada di dalam saat-saat maut.
Apakah persoalan yang memenuhi hatinya di saat kehadiran maut itu.? Apakah sesuatu yang difikir olehnya di saat nazak maut-maut itu? Apakah perkara yang amat besar yang mahu dipastikan olehnya? Apakah peninggalannya yang mahu ditinggalkan kepada anak-anaknya dan yang diharap agar peninggalan dan warisan itu benar-benar sampai kepada mereka dalam satu buku catatan yang terperinci ? Itulah akidah. Peninggalan itu ialah akidah yakni perbendaharaan, persoalan agung dan perkara besar yang amat dirunsingkan oleh Ya'qub yang tidak dapat dipisahkan darinya oleh kehadiran maut dan sakaratnya.
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; isyarat kepada Nabi Ibrahim dan zuriatnya. Itulah jemaah dan generasi yang telah berlalu bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; bagi mereka pahala apa yang diusahakan, begitu juga dengan kamu apa yang kamu usahakan dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.
Kamu tidak akan disoal pada hari kiamat apa yang mereka kerjakan di dunia tetapi masing-masing dipertanggungjawabkan berdasarkan kerja masing-masing. Setiap umat masing-masing mempunyai kira-kira amalannya, masing-masing mempunyai jalan sendiri, gelaran sendiri dan sifat tersendiri. Al-Nasafi berkata: Ia bermaksud kamu tidak dihukum dengan dosa yang mereka kerjakan.
Iktibar dan pengajaran ayat
Antaranya:
i. Semua nabi membawa agama Islam termasuk Nabi Allah Ibrahim. Inilah yang diungkapkannya dan wasiat kepada zuriatnya supaya mati dalam Islam. Hal ini menafikan pendapat yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama.
ii. Wasiat dengan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah amatlah dituntut. Ini kerana ia memberi kesan yang besar kepada penerima wasiat untuk melaksanakan wasiat tersebut dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
iii. Manusia sewajarnya memikirkan segala tindak-tanduknya sama ada perbuatan atau percakapan di dunia ini kerana ia dipertanggungjawabkan dan disoal pada hari akhirat justeru, sewajarnyalah kita menambah koleksi amalan kebaikan dan kebajikan untuk mendapat pahala dan ganjaran di akhirat kelak.
No Comment
Post a Comment