Siapakah terbaik ‘celupannya’ daripada Allah?
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
TERDAPAT dua golongan manusia yang mengikut ajarannya dan yang terseleweng daripada hakikat yang sebenar. Allah mengibaratkan golongan yang mengikut hakikat yang sebenarnya sebagai sibghah-Nya. Firman Allah Taala:
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaan-Nya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya. (al-Baqarah: 138 dan 139)
Firman Allah Taala (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah. Ibn al-Jauzi berkata sebab turunnya ayat ini bahawa golongan Kristian jika mendapat anak lelaki dan telah berlalu tempoh seminggu, nescaya ia mencelupkannya dalam air khas mereka yang dikenali dengan nama al-Ma’mudiyah untuk mensucikannya dan mereka juga berpendapat ini akan menjadikannya bersih setara dengan berkhatan kalau mereka lakukannya. Sehingga mereka juga berkata: Jadilah kanak-kanak tersebut sebagai Kristian yang hakiki. Lantas turunnya ayat ini. Sepertimana pendapat Ibn ‘Abbas.
Al-Tabari berkata: Dimaksudkannya ialah dengan Islam, ini kerana orang Nasara apabila ingin mengkristiankan anak-anak, mereka menggunakan air dengan sangkaan dapat mensucikan sebagaimana mandi janabah bagi orang Islam.
Yang dimaksudkan dengan celupan Allah ialah agama-Nya seperti pendapat Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, Abu al-‘Aliyah, Mujahid, al-Nakha’ie dan Ibn Zaid. Al-Baghawi menaqalkan pendapat Ibn Abbas: ini kerana dinamakannya celupan kerana zahir kesan agama atas penganutnya sebagaimana zahir kesan baju atas celupannya. Mengikut pendapat al-Farra’: Dimaksudkan dengan celupan Allah ialah dikembalikan atas agama dan ajarannya. Al-Samarqandi berkata: Iaitu ikutlah agama Allah dan beriltizam dengannya bukan agama Yahudi atau Nasara.
Yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Apa yang kami yakini daripada iman iaitu agama Allah yang membentuk dan mencelup kami di samping memfitrahkan kami ke atasnya, maka zahir kesannya terhadap kami sebagaimana zahir celupan pada pakaian. Tiada seorang yang lebih baik celupan iaitu agamanya.
(Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat. Al-Alusi berkata: Iaitu bertauhid atau taat dengan mengikut ajaran Nabi Ibrahim atau tunduk dan patuh dengan mengikut ajaran tersebut. Sedangkan kami beribadat kepadanya dan tidak beribadat seseorang pun selainnya. Itulah agama yang diwarnakan Allah yang dikehendaki-Nya sebagai agama terakhir bagi umat manusia agar dapat ditegakkan di atasnya kesatuan umat manusia yang luas, di mana tiada ruang bagi sikap fanatik dan meluahkan hasad dengki, dan tiada ruang bagi perbezaan bangsa-bangsa dan warna-warna kulit.
Syed Qutub berkata: Di sini marilah kita berhenti memerhati salah satu daripada ciri-ciri pengungkapan al-Quran yang mengandungi maksud yang mendalam iaitu bahagian awal ayat ini (Sibghatallahu wa man ahsanu minalllahi sibghah) adalah daripada kenyataan Allah yang menjelaskan hakikat agama yang sebenar, dan baki akhir surah ini adalah daripada kenyataan orang-orang yang beriman.
Penghormatan
Ia disambung terus dengan kenyataan Allah s.w.t. tanpa dicerai, dan semua kenyataan itu merupakan ayat al-Quran belaka yang diturunkan Allah, tetapi bahagian awalnya menceritakan kenyataan Allah dan bahagian akhir menceritakan kenyataan orang-orang yang beriman.
Itu adalah satu penghormatan yang amat besar kerana kenyataan orang-orang yang beriman itu disambung terus dengan kenyataan Allah dalam serangkai ayat sahaja. Ini berdasarkan kepada hubungan yang amat rapat di antara para mukmin dengan Allah, juga berdasarkan kepada kejujuran iman yang menghubungkan di antara mereka dengan Allah. Contoh-contoh yang seperti ini banyak terdapat dalam al-Quran dan ia mengandungi maksud yang amat besar.
Katakanlah (wahai Muhammad): Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah adakah kamu mahu debatkan kami berkaitan Allah dengan menyangka bahawa kamu sebagai anak-anak Allah dan kekasih-Nya. Begitu juga segala nabi hendaklah daripadamu bukan selain daripadamu? Ibn ‘Abbas berpendapat: mereka yang berbantah itu ialah golongan Yahudi Madinah dan Kristian Najran.
Dan pengurniaan-Nya? Padahal Dia lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Dialah Tuhan semuanya dan kita semua adalah hambanya. Al-Nasafi berkata: kami semua bersekutu bahawa sesungguhnya kami hamba-hamba-Nya sedangkan Dia Tuhan kami, yang memberi dengan rahmat-Nya dan kemuliaan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki dari hamba-hamba-Nya
Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), bagi kami balasan amalan kami dan bagi kamu balasan amalan kamu. Di mana setiap orang tidak menanggung dosa orang lain. Kebanyakan ahli tafsir berpendapat ucapan ini membawa kepada musahalah (bermudah-mudahan). Kemudian dinasakhkan dengan ayat pedang (perang).
Dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya; kami ikhlaskan bagi agama dan amalan kerana Allah. Tiada ruang untuk mempertikaikan keEsaan Allah dan rububiyahnya. Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu.
Kami dihisab terhadap amalan-amalan kami dan kamu menanggung dosa amalan-amalan kamu. Kami menumpukan ketaatan kepada Allah sahaja, dan kami tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun dan kami tidak tidak meletakkan harapan pada yang lain daripada Allah. Inilah kenyataan yang menjelaskan pendirian dan iktikad kaum muslim, dan kenyataan ini tidak boleh dipertikaikan lagi.
Iktibar dan pengajaran ayat di antaranya ialah:
1. Ulama telah khilaf maksud sebenar celupan Allah, antaranya ialah mengikut agama dan ajaran-Nya berpandukan kepada al-Quran dan Sunah.
2. Sifat membantah dan mengingkari arahan Allah amat sinonim dengan golongan Yahudi dan Nasrani. Ini kerana iri hati dan dengki kepada Nabi s.a.w. yang dipilih Allah sebagai rasul akhir zaman dan bukan daripada kalangan mereka.
3. Sewajarnya manusia mengamalkan sifat-sifat mahmudah antaranya, ikhlas kepada Allah semata-mata dalam setiap amalan. Ini melayakkan untuk mendapatkan pahala kurniaan Allah dan diterima amalannya.
No Comment
Post a Comment