Yahudi dan Nasrani akan terus menentang Islam

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


MUQATIL berkata, sebab turun ayat ini ialah golongan Yahudi Madinah dan Nasara Najran bertanya kepada Nabi, bawakan kepada kami satu ayat sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi-Nabi sebelummu, lantas turunnya ayat ini.

Sayid Qutb berkata, mereka tetap degil kerana dipimpin oleh hawa nafsu dan dikongkong oleh muslihat dan kepentingan. Ramai daripada mereka yang baik hati menyangka bahawa sebab yang menghalang kaum Yahudi dan Nasrani daripada agama Islam adalah kerana mereka tidak mengetahuinya atau agama Islam itu tidak pernah dikemukakan kepada mereka dalam bentuk yang meyakinkan. Pendapat ini adalah karut.

Sebenarnya mereka tidak mahukan Islam kerana mereka mengenal hakikat Islam. Mereka takut Islam mengancam kepentingan-kepentingan dan kekuasaan mereka. Oleh sebab itulah mereka mengatur pelbagai tipu daya yang jahat terhadap Islam.

Mereka tidak jemu-jemu melakukannya dengan pelbagai jalan dan wasilah sama ada secara langsung atau tidak. Mereka memerangi Islam secara berhadapan dan secara bersembunyi di sebalik tabir. Mereka memerangi Islam dengan diri sendiri atau memperalat pemeluk Islam untuk memerangi Islam bagi pihak mereka dengan berselindung di sebalik tabir. Sifat mereka ini tepat dengan firman Allah s.w.t. yang ditujukan kepada Nabi-Nya yang mulia.

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian daripada mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika yang demikian itu adalah daripada golongan orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 145)

Firman Allah: Dan demi sesungguhnya! Syeikh Sya’rawi berkata: Perkataan ini merupakan sumpah seolah-olah Allah bersumpah seraya berkata: Kalaulah Rasulullah datang kepada ahli kitab dengan segala bukti dan tanda sekalipun mereka tetap tidak beriman begitu juga mengikut kiblatnya, kenapa? Jawapannya kerana mereka tidak suka mencari dalil kebenaran dan tidak mahu berpuas hati dengan kesahihan agama yang baru ini.

Kalaulah mereka mahu dalil bukti atau memadai sudah pasti mereka bertemu dalam kitab-kitab mereka yang mengkhabarkan berkenaan dengan segala sifat Rasulullah dan bahawasanya dia merupakan Nabi akhir zaman. Benarlah firman Allah: Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah), mereka tidak akan menurut kiblatmu. Sekalipun diperkuat dengan mukjizat, mereka tidak mengikutmu. Seolah-olah mereka mempunyai dalil dan bukti tetapi malangnya mereka mengambil hal ini dengan kebodohan, keingkaran dan takbur.

Dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; ini kerana golongan Yahudi menghadap Bait al-Maqdis iaitu sebelah barat sedangkan Nasrani menghadap sebelah timur, adapun kiblat orang Islam ke arah Kaabah seperti pendapat al-Baghawi dalam tafsirnya.

Sayid Qutb pula berkata: Bukanlah sekali-kali daripada sikap engkau untuk mengikut kiblat mereka. Menggunakan jumlah ismiyah yang dinafikan dalam ayat ini lebih kuat untuk menjelaskan sikap dan pendirian tetap teguh Rasulullah s.a.w. terhadap persoalan kiblat ini.

Saranan

Ia memberi saranan yang kuat kepada kaum muslimin selepas beliau. Mereka tidak akan memilih kiblat yang lain daripada kiblat Rasul mereka yang telah dipilih dan diredai oleh Allah untuk merelakan hati beliau, dan mereka tidak akan mengibarkan panji-panji yang lain daripada panji-panji Allah dan tidak akan mengikut sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Ilahi yang berlambangkan kiblat yang terpilih ini.

Inilah sikap kaum muslimin selama mereka mengaku diri mereka sebagai orang-orang Islam. Andainya mereka tidak bersikap demikian, maka mereka bukanlah daripada orang-orang Islam, malah pendakwa-pendakwa Islam sahaja.

Firman Allah s.w.t.: Dan sebahagian daripada mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Perselisihan dan pertelingkahan berhubung dengan kiblat pasti berterusan hingga hari kiamat. Inilah yang dinyatakan oleh Syeikh Sya’rawi.

Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), al-Samarqandi berkata: Penerangan bahawa agama Islam merupakan agama yang sebenar dan kaabah adalah kiblat umat Islam yang sebenar. Sesungguhnya engkau, jika yang demikian itu adalah daripada golongan orang-orang yang zalim.

Benarlah kata Sayid Qutb: jalan (yang terbentang di hadapan) amatlah jelas dan lurus, iaitu sama ada mengikut jalan wahyu yang datang daripada Allah atau mengikut hawa nafsu yang lain daripada-Nya.

Seorang muslim tidak seharusnya menerima arahan melainkan daripada Allah. Ia tidak seharusnya meninggalkan ilmu yang diyakini benar kerana mengikut kehendak hawa nafsu yang berubah-ubah, dan segala apa yang bukan daripada Allah itu adalah tidak diragui lagi datangnya daripada kehendak hawa nafsu.

Kekeliruan

Di samping saranan yang tetap ini, di sana kita dapati satu keadaan yang berlaku kepada sesetengah kaum muslimin dalam kancah komplot-komplot kaum Yahudi dan kempen-kempen jahat mereka yang bertujuan untuk menimbulkan kekeliruan yang memerlukan mereka diberi amaran-amaran yang keras dan tegas seperti ini.

Sebagai penutup suka dinaqalkan dua hadis yang disebut oleh al-Zahabi melalui kitabnya al-Kabair di bawah tajuk Penganiayaan dan Kezaliman:

1. Daripada Abu Umamah katanya: Orang yang zalim itu akan dibawa pada hari kiamat, lalu apabila dia berada di atas jambatan Jahanam, dia lalu ditemui oleh orang yang dizaliminya serta dia diberitahukan tentang apa (benda) yang dizaliminya itu. Dan orang-orang zalim itu tidak dilepaskan dari tempat itu, melainkan setelah dirampas daripada tangannya segala kebaikan yang dibawa bersamanya. Jika sudah habis semua kebaikannya, maka ditimpakan ke atas mereka semua keburukan orang yang menuntutnya (daripada kumpulan orang yang dizaliminya itu) sesuai dengan bangsa kezaliman yang dilakukannya, maka apabila sudah selesai kesemua itu barulah mereka diseret ke tempat yang paling bawah sekali daripada api neraka. Hadis ini diriwayatkan oleh Tabrani.

2. Daripada Abdullah bin Umais, katanya: Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan dibangkitkan manusia pada hari kiamat dalam keadaan berkaki ayam, telanjang bulat, tidak berkhatan, juga tidak membawa apa-apa lalu. Berserulah suatu suara yang menyeru dengan suara yang dapat didengar orang yang berada jauh, sebagaimana yang didengar juga oleh orang dekat, suara itu mengatakan: Akulah Raja Maha Berkuasa! Tidak diperbolehkan seorang pun daripada ahli syurga untuk memasuki syurga, dan tidak diperbolehkan seorang pun daripada ahli syurga untuk memasuki syurga, dan tidak diperbolehkan seorang pun daripada ahli neraka untuk memasuki neraka, sedangkan dalam tangannya ada benda kezaliman, melainkan terlebih dahulu Aku akan membicarakannya, sehingga satu tempeleng sekalipun, atau yang lebih kecil daripada itu, dan Tuhanmu tidak akan menzalimi sesiapapun.

Mendengar berita itu, kami (para sahabat) lalu berkata: Hai Rasulullah! Bagaimana hal kami yang akan datang dalam keadaan berkaki ayam dan telanjang bulat itu? Maka Nabi menjawab, dengan kebaikan dan keburukan sebagai balasan (dalam perbicaraan itu), dan Tuhanmu tidak akan menzalimi seseorang pun. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Semoga kita menjadi golongan yang soleh dan tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.

Antara pengajaran ayat:

1. Sikap ahli kitab yang tidak mahu tunduk dan patuh kepada Nabi. Bukan hal ibadat sahaja tetapi membabitkan hal-hal yang lain. Justeru kita juga sepatutnya tidak mengikut telunjuk mereka, apatah lagi yang membabitkan perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Seperti mana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam satu hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri, maksudnya: Kamu pasti mengikut jejak langkah golongan sebelummu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga kalau mereka masuk ke lubang dhab sekalipun nescaya kamu juga mengikut untuk masuk. Lantas sahabat bertanya: Adakah mereka golongan Yahudi atau Nasara? Jawab Rasulullah s.a.w.: Kalau bukan mereka siapa lagi.

2. Mengikut hawa nafsu adalah kesesatan yang nyata, justeru sewajarnya kita mujahadah nafsu.

Seorang ulama terkenal, al-Khalil bin Ahmad berkata: Musuhmu empat. Pertama, iblis. Kedua, nafsu. Ketiga, cintakan dunia dan keempat adalah makhluk. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada menjadi hamba kepada nafsu.

3. Antara sifat orang yang zalim adalah mengikut hawa nafsu sedangkan kebenaran amat nyata di depannya.

No Comment

Post a Comment