Perumpamaan munafik - Di dalam kegelapan syirik

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


ALLAH AKAN (MEMBALAS) OLOK-OLOKKAN MEREKA DAN MEMBIARKAN MEREKA TERUMBANG - AMBING DALAM KESESATAN MEREKA. (Ayat 15)

Allah membalas olok-olokkan mereka dengan menangguhkannya kemudian dengan hukuman. Ibn Abbas berkata : Allah menghina mereka. Ibn Kathir berkata : Ini perkhabaran daripada Allah yang menghukum mereka sebagai hukuman sendaan dan tipu daya. Ia keluar daripada perkhabaran kepada mereka yang patut dihukum. Ulama bayan menamakan ini termasuk dalam jenis `musyakalah' iaitu jumlah (susunan ayat) yang sama pada lafaz tetapi berlainan makna.

An-Nasafi berkata : ``Tatkala Allah membalas olok-olokan mereka, tidak disebut `wau' dengan makna `dan' atau disebut `ataf' memberi maksud betapa besarnya hukuman Allah ditimpa atas mereka, hasilnya mereka dalam kehinaan. Dan apabila dibalakan ke atas mereka itu, justeru digunakan `fiil' (perbuatan) bukan nama bagi menempelak mereka.''

m `Membiarkan mereka terumbang- ambing dalam kesesatan mereka' iaitu dengan menambahkan mereka dalam kesesatan, kekufuran dan syak dalam kehairanan. Tiada mereka dapati jalan kerana Allah memeteri hati-hati mereka dan membutakan mata mereka. Justeru mereka tidak lagi nampak hidayah dan petunjuk. Syeikh Abdul Rahman bin Nasir as-Sa'di di dalam tafsirnya, Tafsir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al- Mannan berkata: ``Antara olok-olok Allah dengan mereka pada Hari Kiamat, diberi kepada mereka dan orang beriman cahaya yang zahir. Orang beriman berjalan dengan cahaya mereka, sedangkan cahaya orang munafik dipadamkan. Kekallah mereka dalam kegelapan selepas cahaya dalam keadaan tercengang-cengang.''

* MEREKA ITULAH ORANG YANG MEMBELI KESESATAN DENGAN PETUNJUK, MAKA TIDAKLAH BERUNTUNG PERNIAGAAN MEREKA DAN TIDAKLAH MEREKA MENDAPAT PETUNJUK. (Ayat 16)

Membeli kesesatan dengan petunjuk'. Mengenai ayat ini terdapat tiga pendapat:

i. Mengikut hakikat, membeli seolah-olah mereka membeli kekufuran dengan keimanan.

ii. Dengan makna mereka melebihkan kekufuran daripada keimanan.Diibaratkan dengan membeli kerana orang akan membeli apa yang disukainya.

iii. Dengan makna mengambil kekufuran dan meninggalkan keimanan. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Ibn Mas'ud.

As-Samarqandi berkata : ``Daripada ayat ini, menjadi dalil bahawa pembelian boleh berlaku tanpa lafaz-lafaz tetapi sekadar pertukaran kerana Allah menamakan pertukaran kesesatan dengan petunjuk sebagai jual beli.''

`Tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk'. Tiga pendapat ulama seperti kata al- Mawardi di dalam tafsirnya :

i. Mereka tidak mendapat petunjuk dalam pembelian kesesatan.

ii. Mereka tidak mendapat petunjuk kepada perniagaan di mana orang beriman mendapat petunjuk.

iii. Apabila perniagaan tidak beruntung, Allah menafikan mereka daripada keuntungan dan hidayah. Ia sebagai kecelakaan di

atas tindakan mereka.

Syeikh Rashid Ridha berkata: ``Di dunia mereka tidak mendapat hasil yang diharapkan tetapi mereka ditimpa kerugian dan kehinaan kerana penangguhan dan pengabaian mereka daripada melihat yang sebenarnya, yang sudah tentu tidak mendatangkan sebarang kemaslahatan dan menjamin sebarang manfaat.''

Kesesatan

Imam an-Nasafi berkata: ``Keuntungan merupakan kelebihan daripada modal asal. Perniagaan merupakan pekerjaan peniaga bagi mencari laba dengan cara jual beli. Sandaran keuntungan kepada peniaga daripada jenis sandaran majazi (pinjaman).'' Maknanya mereka tidak beruntung pada perniagaan mereka kerana berlaku pembelian kesesatan dengan petunjuk.

`Tidaklah mereka mendapat petunjuk.' Mendapat hidayah-Diriwayatkan daripada Ibn Jarir, Ibn Abi Hatim daripada Qatadah, sesungguhnya demi Allah kamu melihat mereka keluar daripada hidayah kepada kesesatan, daripada jemaah kepada perpecahan, daripada keamanan kepada ketakutan dan daripada sunah kepada bidaah.

Syeikh as-Suidi berkata: ``Kalau ditukar emas dengan perak dianggap kerugian, bagaimana jika ditukar permata dengan perak? Bagaimana pula petunjuk atau hidayah dengan kesesatan? Memilih kehinaan daripada kebahagiaan sekalipun pada perkara yang remeh? Sudah tentu tidak menguntungkan perniagaan, sebaliknya amat besar kerugiannya.''

* PERUMPAMAAN MEREKA ADALAH SEPERTI ORANG YANG MENYALAKAN API, MAKA SETELAH API ITU MENERANGI SEKELILINGNYA ALLAH HILANGKAN CAHAYA (YANG MENYINARI) MEREKA DAN MEMBIARKAN MEREKA DALAM KEGELAPAN, TIDAK DAPAT MELIHAT. (Ayat 17)

Perumpamaan (mathal) dibaca dengan mathal atau mithil. Syeikh al- Mawardi berkata: ``Mathal digunakan pada perumpamaan-perumpamaan yang dibandingkan, sedangkan mithil digunakan pada sesuatu yang dibandingkan dengan yang lain pada kesamaan.'' Ibn al-Jauzi berkata: ``Mathal ialah apa yang dibandingkan dan diletakkan bagi menerangkan persamaan pada keadaan.'' Abu Hayyan melalui tafsirnya, Al-Bahru al-Muhit menjelaskan secara terperinci dengan menyebut bandingan atau perumpamaan yang zahir dapat diketahui daripada pancaindera atau akalan.''

Imam al- Fakhru al- Razi dalam tafsirnya berkata : ``Tasybih (perumpamaan) di sini dalam kemuncak kesahihan kerana pada permulaannya mereka mencapai cahaya dengan iman, kemudian dengan nifaqnya mereka membatalkan cahaya tersebut. Dengan padamnya cahaya, mereka terperangkap dalam kehairanan yang amat besar, iaitu agama yang membawa kepada kerugian dirinya selama-lamanya.''

`Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api.' An-Nasafi berkata: ``Tatkala Allah datangkan dengan hakikat sifat mereka, Allah susuli dengan perumpamaan bagi menjelaskan lagi keterangan dan melengkapkan lagi kenyataan. Antara tujuan perumpamaan ialah menzahirkan makna-makna yang tersembunyi, mengangkat sitar (tabir) daripada hakikat-hakikat sebagai kesan yang zahir. Terlalu banyak di dalam kitab-kitab samawi dan daripada surah-surah dalam Injil mengenai surah-surah mithalan.

Perumpamaan di sini ialah orang munafik dengan orang yang menyalakan api dizahirkannya iman dengan cahaya dan putusnya iman dengan terputusnya manfaat apabila api padam. Al-Imam as-Syaukani melalui tafsirnya, Fath al-Qadir berkata mengenai sebab nuzulnya ayat ini:

i. Ibn Abbas berkata: ``Perumpamaan yang diumpamakan Allah bagi orang-orang munafik yang bermegah dengan Islam, berkahwin dengan orang Islam dan berwarisan hingga membahagi `fai'. Tatkala meninggal dunia, mereka mati dengan dicabut kemuliaan sama seperti dicabut cahaya daripada api.''

ii. Ibn Masu'd dan sahabat berkata: ``Ada orang yang masuk Islam ketika mula-mula Nabi s.a.w. sampai di Madinah kemudian munafik. Bandingan mereka sama seperti lelaki yang berada di dalam gelap kemudian dinyalakan api dan cerahlah sekelilingnya sehingga nampak segala perkara yang menyakitkan (bahaya) yang dapat menyelamatkan mereka daripada bala tersebut. Di dalam keadaan selesa itu cahaya dipadamkan yang menyebabkan mereka tidak tahu. Begitulah bandingan orang munafik di dalam kegelapan syirik, kemudian memeluk Islam lalu mengenal halal dan haram, baik dan buruk. Ketika di dalam keadaan begitu dia kafir, jadilah seperti orang yang tidak tahu membezakan halal daripada haram, baik daripada jahat. Merekalah sebenarnya orang pekak, buta dan kelu. Mereka tidak mampu kembali kepada Islam.''

Manfaat

As-Samarqandi meriwayatkan daripada Muawiyyah bin Talh daripada Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas katanya: ``Diturunkan ayat ini pada golongan Yahudi yang mendiami sekitar Kota Madinah.

`Maka setelah api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka.' Ibn Kathir berkata : ``Allah menghilangkan daripada mereka yang memberi manfaat iaitu cahaya dan mengekalkan yang mendatangkan mudarat kepada mereka iaitu kebakaran, kepanasan dan asap.'' As-Samarqandi berkata : ``Allah menghilangkan daripada mereka nur iman yang mereka bercakap dengannya.'' Syeikh Muhammad Abduh dalam menggambarkan mithalan terhadap Yahudi dan seumpama mereka dengan umat ini seperti berikut: ``Mereka (Yahudi) dengan fitrah mereka yang sejahtera mencapai cahaya hidayah Tuhan dengan sebab kepercayaan mereka.Tatkala api menerangi cahayanya dan menyuluh jalannya, tiba-tiba datang taklid- taklid yang diwarisi, juga adat-adat tradisi yang akhirnya mengganggu mereka daripada mendapat segala manfaat dan faedah.''

Apa yang berlaku ialah mereka jatuh ke tempat yang paling tercela berbanding meminta pertolongan daripada cahaya hidayah. Perbezaannya seperti siang yang bersinar dengan kegelapan malam yang menakutkan. Inilah makna hilangnya cahaya mereka.

`Dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat.' Ibn Kathir berkata: ``Mereka berada di dalam keadaan syak, kufur dan nifaq. Mereka tidak mendapat petunjuk hidayah ke arah jalan-jalan kebaikan yang mereka langsung tidak tahu.'' Syeikh as-Shanqiti di dalam Adwa al- Bayan berkata: ```Mereka dalam kegelapan' ialah Allah mengumpamakan mereka pada ayat ini dengan keadaan orang-orang kafir dan munafik daripada kekeliruan, syak dan ragu pada al-Quran. Kegelapan hujan diumpamakan dengan al-Quran.''

Syeikh Abdul Rahman as-Sa'di berkata: ``Di dalam keadaan begitu tiba-tiba maut menyambar orang kafir tanpa mendapat manfaat dengan cahaya hidayah iman, sebaliknya mereka menempah segala kekesalan, dukacita, azab tambahan dalam kubur dengan azab kegelapan kekufuran, kegelapan nifaq dan kegelapan maksiat. Seterusnya mereka tinggal dalam kegelapan neraka. Itulah sehina-hina tempat.''

Al-Qatbi berkata: ``Makna ayat ini ialah kegelapan pertama ialah kegelapan kekufuran dan mendapat cahaya daripada kalimah tauhid. Tetapi apabila mereka pergi kepada syaitan-syaitan mereka, terus mereka menjadi munafik.'' Daripada ayat ini jelas betapa malangnya nasib orang munafik apabila diberi cahaya kemudian dihilangkan cahaya pada saat yang sama dikekalkan kepanasan, dikekalkan mereka dalam kegelapan-kegelapan sehingga mereka tidak dapat melihat.

Glosari

* Ulama bayan : Ulama yang mengetahui makna sesuatu ayat dan satu lafaz dalam ilmu balagah yang menunjukkan kepada sesuatu golongan .

* Kitab-kitab samawi : Kitab-kitab dari langit seperti Taurat, Zabur dan Injil.

* Fai : Harta rampasan daripada orang kafir tanpa sebarang pertumpahan darah dalam peperangan.

* Taklid : Mengikut sesuatu secara membuta tuli.

No Comment

Post a Comment