Sembunyi ayat Allah golongan yang dihina di akhirat
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SAYID Qutub berkata: Kecaman terhadap perbuatan menyembunyikan hukum-hukum di dalam kitab suci yang telah diturunkan Allah itu adalah ditujukan kepada kaum ahli kitab.
Akan tetapi pengertian nas yang umum itu mencakup semua penganut setiap agama yang menyembunyikan kebenaran yang diketahui mereka dan menjualkannya untuk mendapat faedah duniawi yang sedikit.
Sama ada penyembunyian kebenaran itu untuk faedah peribadi yang ingin dicapai atau berupa kepentingan- kepentingan peribadi yang dijaga mereka atau yang dibimbangi mereka akan terancam apabila diterangkan kepada umum, atau berupa kepentingan dunia seluruhnya. Ini juga dikira suatu faedah yang kecil apabila dibandingkan dengan kerugian mereka kerana tidak mendapat keredaan Allah dan pahala akhirat.
Di dalam suasana makanan-makanan yang diharam dan dihalalkan itu al-Quran menceritakan hakikat mereka.
Allah berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan yang harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat dan tidak akan mensucikan mereka dan bagi mereka seksa yang amat pedih.
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan seksa dengan ampunan. Maka alangkah sabarnya mereka menanggung api neraka. Yang demikian itu adalah kerana Allah telah menurunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran, dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu, benar-benar dalam penyimpangan yang jauh. (Al-Baqarah: 174-176)
Ibn Abbas berkata: Ayat ini diturunkan kepada Yahudi yang menyembunyikan nama Rasulullah s.a.w dan mengubahnya dalam kitab mereka.
Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan yang harga yang sedikit (murah). Al-Qurtubi berkata: Sekalipun ayat ini berkenaan dengan perkhabaran yang lepas tetapi ia juga termasuk di kalangan orang Islam yang menyembunyikan kebenaran secara pilihan dengan sebab kepentingan dunia.
Firman Allah s.w.t: Mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api. Kenyataan ini selaras dengan pemandangan di dalam ayat ini seolah-olah harga penyembunyian dan pendustaan yang dimakan mereka itu merupakan api neraka di dalam perut mereka, dan seolah-olah mereka sebenarnya memakan api neraka itu sendiri.
Dan ini adalah satu hakikat yang benar apabila mereka dimasukkan ke dalam neraka pada hari akhirat. Di sanalah api neraka menjadi pakaian dan makanan mereka.
Sebagai balasan terhadap perbuatan mereka menyembunyikan ayat-ayat Allah, mereka diabaikan Allah pada hari kiamat dan dibiarkan dalam keadaan yang amat hina. Pengabaian dan penghinaan ini diungkapkan oleh al-Quran dengan firman (yang berikut): Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat dan tidak akan mensucikan mereka dan bagi mereka seksa yang amat pedih.
(Ia diungkapkan sedemikian) untuk membesar-besarkan pengabaian Ilahi itu dalam suatu gambaran yang dekat dengan perasaan dan kefahaman manusia, iaitu mereka tidak tegur sapa, tidak peduli, tidak dibersih dan tidak diberi keampunan.
Ibn al-Jauzi berkata, ini menjadi bukti dan dalil bahawa Allah tidak bercakap dengan orang kafir. Maksud Allah tidak mensucikan mereka: Tidak mensucikan amalan mereka , inilah pendapat Muqatil.
Ayat Tidak memuji mereka, al-Zajjaj berpendapat:
Tidak mensucikan mereka daripada kotoran kekufuran dan dosa mereka. Inilah pendapat Ibn Jarir.
Dan bagi mereka seksa yang amat pedih. Kemudian diiringi pula dengan satu ungkapan yang lain yang memberi gambaran yang jelas dan saranan yang menarik.
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan seksa dengan keampunan. Seolah-olah ia merupakan satu urusniaga membeli kesesatan dengan bayaran hidayat, menolak keampunan dan mengambil azab neraka. Alangkah rugi dan bodohnya urusniaga itu?
Alangkah buruknya belian dan pilihan mereka. Inilah gambaran hakikat yang sebenar. Hidayat ditawarkan kepada mereka tetapi mereka menolaknya dan mengambil kesesatan dan keampunan dibuka kepada mereka tetapi mereka menolaknya dan memilih azab neraka.
Maka alangkah sabarnya mereka menanggung api neraka. Alangkah lamanya kesabaran mereka untuk menderita azab neraka yang dipilih oleh mereka dengan sukarela dan dituju oleh mereka dengan sengaja.
Alangkah hebatnya ejekan terhadap kesabaran mereka yang amat lama untuk menderita azab neraka itu.
Empat pendapat berkenaan dengan maksud ayat ini:
Alangkah sabarnya mereka atas amalan yang membawa mereka ke neraka - pendapat Ikrimah dan al-Rabi’a.
Alangkah beraninya mereka terhadap neraka - pendapat al-Hassan dan Mujahid.
Alangkah tahannya mereka kekal dalam neraka - pendapat al-Zujji.
Apakah yang menyebabkan mereka sabar atas neraka? - pendapat al-Anbari
Sedangkan perkataan ma mempunyai dua pendapat:
Untuk pertanyaan seperti katanya, apa menyebabkan mereka sabar? Inilah pendapat ‘Ata’a, al-Suddi, Ibn Zaid dan Abu Bakar bin Iyas.
Untuk kehairanan, justeru makna ayat; Dan Allah merasa takjub (kehairanan) terhadap makhluk-Nya tetapi berbeza antara sifat Allah s.w.t dan sifat makhluknya.
Itulah balasan yang setimpal terhadap keburukan jenayah mereka, iaitu jenayah menyembunyikan ayat-ayat kitab suci yang telah diturunkan Allah supaya diumumkan kepada manusia dan supaya ditegakkan dalam kehidupan mereka di dunia ini dan supaya menjadi undang-undang, peraturan dan cara hidup mereka. Oleh kerana itu sesiapa yang menyembunyikan ayat-ayat kitab Allah bererti ia telah memberhentikan operasinya sedangkan perintah-perintah yang benar diturun untuk menjalankan operasi-operasinya.
Yang demikian itu adalah kerana Allah menurunkan al-kitab dengan membawa kebenaran.
Berkenaan dengan al-kitab terdapat dua pendapat:
Iaitu al-Quran.
Iaitu al-Taurat.
Sedangkan al-Haq pula :
Iaitu keadilan, inilah pendapat Ibn Abbas.
Iaitu berlawanan dengan batil, inilah pendapat Mujahid.
Sesiapa yang kembali kepada kitab Allah bererti dia berada di jalan hidayat Allah, berada dalam hubungan yang harmoni dengan ajaran yang benar. Mereka juga berada dalam hubungan yang mesra dengan golongan manusia yang mendapat hidayat Allah. Seterusnya berada dalam hubungan yang mesra dengan fitrah alam buana dan undang-undangnya yang teguh.
Firman Allah s.w.t: Dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu, benar-benar dalam penyimpangan yang jauh. Iaitu Taurat. Perkataan mereka khilaf atau berselisih mempunyai empat pendapat iaitu Yahudi dan Nasara:
Dimana Nasara mendakwa berkenaan dengan sifat Isa sedangkan Yahudi mengingkarinya.
Bahawa mereka menyanggahi apa yang termaktub dalam Taurat berkenaan dengan sifat Muhammad s.a.w.
Bahawa mereka menyanggahi golongan mereka yang terdahulu yang berpegang dengannya.
Bahawa ia adalah al-Quran.
Iktibar dan pengajaran ayat
1. Haram menyembunyikan kebenaran apatah lagi yang membabitkan permasalahan akidah.
Adanya azab pada hari akhirat yang dinamakan neraka.
2. Manusia terbahagi kepada dua golongan yang mendapat petunjuk hidayah Allah s.w.t dan manusia yang menyimpang daripada hidayah Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t kurniakan kepada kita hidayahnya. Amin.
No Comment
Post a Comment