Yahudi membezakan malaikat

By mfrstudio

Oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

SYEIKH Sya'rawi berkata, begitulah Allah s.w.t. mengurniakan hukum ketetapan seperti mana firman-Nya, sesungguhnya permusuhan bagi segala Rasul sama seperti permusuhan bagi malaikat. Begitu juga sama seperti permusuhan bagi Jibril dan Mikail. Itulah persamaan permusuhan bagi Allah s.w.t..

Antara perangai orang Yahudi seperti mana kata Sayyid Qutub, mereka seperti adat kebiasaan mereka yang suka membeza-bezakan agama dan rasul-rasul - telah membezakan malaikat-malaikat Allah yang mereka dengar nama-nama dan tugas-tugas mereka. Mereka mendakwa mempunyai hubungan persahabatan dengan Mikail dan tidak mempunyai hubungan persahabatan dengan Jibril. Oleh sebab itulah ayat yang berikut mengumpamakan Jibril, Mikail, para malaikat Allah dan para Rasul-Nya (dalam satu barisan) untuk menerangkan kesatuan dan persamaan mereka, dan untuk mengumumkan bahawa sesiapa yang memusuhi mana-mana satu di antara mereka bererti memusuhi Allah. Dan sesiapa yang dimusuhi Allah maka dia tergolong di dalam golongan orang-orang kafir.

“Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya) dan memusuhi malaikat-malaikat-Nya dan rasul-rasul-Nya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.

“Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.” (Al-Baqarah: 98 & 99).

Firman Allah s.w.t.: Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya) Syeikh al-Maraghi berkata, iaitu bermusuh dengan Allah bermaksud melanggar segala arahan-Nya, tidak melaksanakan ketaatan-Nya dan kufur dengan apa yang diturunkan-Nya untuk memberi hidayat kepada manusia atas lisan Rasul-rasul-Nya.

Memusuhi malaikat-malaikat-Nya iaitu dengan cara benci amalan yang diamanahkan Allah kepada mereka daripada menyampaikan segala perintah dan larangan Allah kepada manusia dan rasul-rasul-Nya, iaitu dengan cara mendustakan mereka berkenaan dakwaan kerasulan serta melaksanakan segala bukti atas kebenarannya atau dengan membunuh sebahagian mereka sebagaimana yang dilakukan terhadap Nabi Zakaria dan Yahya.

Ini khasnya kepada malaikat Jibril dan Mikail iaitu dengan mendakwa bahawa yang pertama mendatangkan ayat dan amaran dan siapa yang menentangnya seolah-olah menentang Mikail kerana ia membawa kepada mahabbah mereka dan permusuhan mereka adalah satu.

Perkataan Mikail dibaca dengan lima bacaan:

1. Mikal iaitu bacaan Ahli Hijaz. Begitu juga Abu `Amru dan Hafs daripada `Asim.

2. Mikaiil dengan mensabitkan ya' yang mati selepas hamzah iaitu bacaan Tamim, Qais dan kebanyakan Ahli Najd. Begitu juga bacaan Ibn `Amir, Ibn Kathir, Hamzah, al-Kisaie dan Abu Bakr daripada `Asim.

3. Mikail. Inilah bacaan Nafi', Ibn Syunbuz dan Ibn al-Sobah. Semuanya daripada Qunbul.

4. Mika`il. Inilah bacaan Ibn Muhaisin.

5. Mikain. Inilah yang disebut oleh Ibn al-Anbari.

Ibn Abbas r.a berkata: Jibril dan Mikail sama seperti katamu Abdullah dan Abd al-Rahman. Beliau berpendapat bahawa (il) merupakan nama Allah dan nama raja pula ialah (jibr dan mika). Ikrimah pula berkata: Makna Jibril ialah Abdullah dan makna Mikail ialah `Ubaidullah. Inilah yang disebut oleh Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir.

Ayat ini mengisbatkan kesatuan yang benar antara Allah, malaikat, Rasul-rasul, Jibril dan Mikail. Barang siapa yang memusuhi salah satu daripada mereka sebenarnya dia memusuhi kesemuanya dan tergolong dari kalangan musuh Allah. Begitulah orang Yahudi yang menjadi musuh Allah kerana kufur dengan-Nya dan musuh Rasul-rasul kerana mendustakan mereka dan membunuh sebahagian di kalangan mereka.

Musuh

Benarlah kata Syeikh Sya'rawi: Begitulah Allah yang bersifat Haq hendak memalingkan kita kepada kesatuan kebenaran dalam agama dan sumbernya daripada Allah sendiri. (Maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir. Ini kerana Allah amat murka kepada siapa yang memusuhi segala wali-Nya. Dan siapa yang memusuhi mereka, nescaya Allah memusuhinya. Di sini merupakan ancaman yang amat keras.

Syeikh al-Maghari berkata, ini merupakan ancaman yang keras dan tegas dengan cara yang jelas tanpa sembunyi bahawa mereka merupakan musuh-musuh kebenaran dan musuh setiap yang menyeru kepadanya. Menjadi musuh kepada al-Quran samalah seperti menjadi musuh kepada semua kitab samawi kerana maksud semuanya adalah satu iaitu memberi hidayat dan menunjukkan manusia ke arah jalan-jalan kebaikan. Begitu juga permusuhan kepada Muhammad s.a.w merupakan permusuhan kepada semua Nabi. Ini kerana risalah dan maksud mereka adalah satu dan bersamaan.

Tatkala Allah s.w.t. menceritakan tabiat Yahudi yang mempunyai perangai yang buruk, memungkiri perjanjian dan berdusta bagi segala Rasul serta menentang wali-wali-Nya sehingga ke tahap permusuhan dengan duta antara Allah dan makhluk-Nya iaitu Jibril a.s, lantas Allah menerangkan selepas itu daripada adat kebiasaan orang Yahudi yang tidak menepati janji, mendustakan segala Rasul dan mengikut segala jalan kesesatan. Yang demikian itu untuk mengubati Rasulullah s.a.w. tentang keadaan mereka yang memilih jalan ini kerana tidak mengambil apa yang terkandung dalam kitab Allah daripada berita gembira dengan kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w, memastikan mereka beriman dengan Rasulullah s.a.w. dan mengikutnya. Tetapi malangnya mereka mencampakkan kitab di belakang mereka.

Al-Samarqandi dalam tafsirnya Bahr al-`Ulum berkata, yakni golongan Yahudi. Dikatakan bahawa Abdullah bin Suria yang berkata kepada Umar: Sesungguhnya Jibril musuh kami kerana dia yang menurunkan bala dan ketakutan, sedangkan Mikail menurunkan kesenangan dan kemewahan. Lantas turunnya ayat ini.

Sifat

Sayyid Qutub menambah, dalam kisah cabaran ini kita dapat mengetahui satu lagi sifat kaum Yahudi yang sungguh aneh. Mereka terlalu marah kerana Allah telah menurunkan limpah kurnia-Nya (wahyu-Nya) kepada mana-mana hamba yang dikehendaki-Nya, hingga melampaui segala batas. Kemarahan itu telah membawa mereka kepada satu sikap yang bertentangan yang tidak diterima akal. Mereka telah mendengar bahawa Jibril menurunkan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Oleh kerana perseteruan mereka terhadap beliau telah sampai ke tahap dendam kesumat, maka mereka telah merekakan satu cerita yang lemah dan alasan yang kosong. Mereka mendakwa kononnya Jibril a.s. itu musuh mereka kerana dialah yang menurunkan kebinasaan, kehancuran dan azab seksaan. Inilah sebab yang menghalang mereka daripada beriman kepada Muhammad, yakni mereka tidak beriman kepada beliau kerana Jibril (menurunkan wahyu) itu, andainya malaikat yang menurunkan wahyu itu Mikail tentulah mereka beriman kerana Mikail menurunkan kemakmuran, hujan dan kesuburan.

Itulah suatu ketololan yang lucu, tetapi kemarahan dan dendam kesumat sememangnya membawa manusia kepada segala macam ketololan. Jika tidak, mengapakah mereka memusuhi Jibril? Sedangkan Jibril bukannya manusia yang bekerja bersama mereka atau menentang mereka. Ia tidak berbuat sesuatu mengikut perancangan dirinya sendiri, malah dia hanya seorang hamba Allah yang bekerja mengikut apa yang diperintahkan Allah dan tidak melanggar segala suruhan-Nya.

Firman Allah: Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (al-Quran), iaitu demi Allah, Kami turunkan kepadamu hai Muhammad ayat-ayat yang penuh penjelasan yang menunjukkan atas kenabianmu. Dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik. Iaitu sekali-kali mereka tidak mengingkari ayat dan mendustakannya kecuali jadilah mereka keluar daripada ketaatan dan melampaui atas kekufuran.

No Comment

Post a Comment