Golongan munafik - Lain di mulut lain di hati

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SELEPAS Allah perihalkan sifat-sifat orang beriman pada mukadimah surah, kemudian disusuli dengan sifat- sifat orang kafir, dinyatakan di sini golongan munafikin iaitu golongan ketiga yang menzahirkan iman dan menyembunyikan kekufuran. Untuk penjelasan golongan ini Allah kemukakan 13 ayat bagi menggambarkan besarnya ancaman mereka dan kemudaratan. Disulami dengan dua misalan atau perbandingan bagi menjelaskan lagi kenyataannya yang berbuku dalam jiwa mereka daripada kegelapan, kesesatan dan nifak yang berkesudahan hal mereka daripada kebinasaan.

Sebelum ditafsirkan ayat- ayat ini yang bermula daripada ayat kelapan, suka dinyatakan sebab nuzul atau turunnya ayat tersebut. Ibn Abbas berkata : Diturunkan ayat-ayat ini kepada ahli munafik di kalangan Ahli Kitab seperti Abdullah bin Ubai bin Salul, Mu'tab bin Qusyair dan as-Sad bin Qais. Mereka ini apabila berjumpa dengan orang-orang mukmin menzahirkan keimanan dan tasdiq dan mereka berkata : ``Sesungguhnya kami dapati dalam kitab kami sifatnya.''

Ibn Kathir berkata : Sifat-sifat munafik diturunkan pada surah-surah Madaniah tidak Makkiah kerana di Mekah tidak perlu menyembunyikan kekufuran, berlainan suasana di Madinah.

Terpedaya

Seterusnya perkataan nifak atau munafik dikenali juga dalam Bahasa Melayu dan juga sudah dimaklumi. Mengikut ulama bahasa, nifak ini diambil daripada kisah arnab atau tikus yang apabila dikejar, nescaya ia lari dan masuk ke dalam lubangnya tetapi dia mempunyai lubang yang lain. Selama mana pun ditunggu pasti dia tidak muncul dari lubang yang sama. Justeru yang menunggunya akan terpedaya dan binatang tersebut akan selamat daripada buruan. Bahasa ini dipindah kepada manusia yang memberi maksud manusia yang tahu dan faham tentang realiti tetapi berucap dengan maksud yang lain dinamakan munafik. Ini kerana fakta sebenarnya tidak sama dengan apa yang diwar-warkan.

Mengikut ulama, seseorang yang hendak berbicara dan cuba berfikir dahulu dikenali sebagai nisbah zihniah, kemudian baru ia lafazkan dalam pernyataan zahir yang dikenali dengan nisbah kalamiah. Apabila dilaksanakan dalam bentuk amal dinamakan nisbah kharijiah.

Contohnya: Seseorang yang minum air :

1 : Ingatan atau kehendak untuk minum air dalam fikiran di kenali sebagai nisbah zihniah.

2 : Kenyataan yang keluar daripadanya secara lafaz dikenali sebagai nisbah kalamiah.

3 : Perbuatan minum air itu dinamakan nisbah kharijiah.

Syeikh Rasyid Ridha di dalam tafsirnya, al- Manar berkata: Sesungguhnya ayat-ayat tentang orang munafik ini dikehendaki umum pada zaman turunnya wahyu hingga kepada berlakunya kiamat.

¥ DI ANTARA MANUSIA ADA YANG MENGATAKAN: KAMI BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI KEMUDIAN, PADAHAL MEREKA ITU SESUNGGUHNYA BUKAN ORANG - ORANG YANG BERIMAN. (Ayat 8)

Ibn al-Jauzi berkata di dalam kitabnya, Zad al-Masi, ulama berselisih pendapat mengenai sebab turunnya ayat ini:

1 : Ayat ini ditujukan kepada orang-orang munafikin. Inilah pendapat yang disebut oleh as-Suddi daripada Ibn Mas'ud dan Ibn Abbas. Pendapat ini sama dengan pendapat Abu al- A'liah, Qatadah dan Ibn Zaid.

2 : Ayat ini ditujukan kepada munafik dikalangan ahli kitab. Inilah yang diriwayatkan oleh Abu Salih daripada Ibn Abbas. Ibn Sirin berkata: Orang munafik amat takut kepada ayat ini. Qatadah menambah, ayat ini menyifatkan sifat orang munafik. Ia dikenali dengan lidahnya, diingkar dengan hatinya, dibenarkan dengan lidahnya dan disalahi dengan amalannya. Jadilah ia pada waktu pagi dalam keadaan lain dan petang dalam keadaan lain seperti tiupan angin.

Ibn A'ttiah berkata : `Nas'(manusia) ini mengikut ahli nahu ( bahasa Arab ) daripada perkataan lupa hati. Inilah sifat manusia. Sebahagian mereka berkata : Asal nas (manusia) daripada nama begitu bukan daripada mana-mana pecahan.

Kebaikan

Yang dinyatakan kami beriman daripada seorang iaitu (yang satu) kepada ramai (kami beriman). Bahasa seperti ini menambahkan lagi kebaikan kerana seorang sebelum ramai dari segi kedudukan, sebaliknya tidak harus penggunaan lafaz banyak atau ramai kepada seorang.

Allah namakan (Hari Akhirat) kerana tiada malam selepasnya. Tidak dikatakan hari kecuali didahului malam. Inilah pendapat Ibn A'ttiah. Al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: Hari Akhirat daripada waktu dibangkitkan di Mahsyar hingga kepada tiada kesudahan seperti masuk syurga bagi ahli syurga. Begitulah juga ahli neraka.

¥ Persoalannya kenapa digabungkan iman dengan Allah dan iman dengan Hari Akhirat?

Al-Maraghi menjawab: Dikhususkan beriman dengan kedua-duanya sebagai isyarat ia merangkumi iman dengan Allah dan akhiratnya (termasuk rukun-rukun iman). Ini kerana kebanyakan orang musyrikin mengingkar Hari Balasan. `Mereka bukan orang-orang yang beriman', tidak termasuk daripada jemaah orang beriman yang sebenarnya.

Syed Qutub berkata : Mereka mendakwa beriman sedangkan pada hakikat sebenarnya mereka tidak beriman tetapi munafik. Mereka tiada kekuatan mengingkari kebenaran justeru mereka berpura-pura sebagai jawapan.

Allah nafikan iman daripada orang munafik. Ini sebagai rad (bangkangan) pandangan golongan karamiah yang berpendapat iman hanya dengan ucapan. Sekalipun tidak beriktikad dengan hati.

¥ MEREKA HENDAK MENIPU ALLAH DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, PADA HAL MEREKA HANYA MENIPU DIRINYA SENDIRI SEDANGKAN MEREKA TIDAK SEDAR. (Ayat 9).

`Mereka hendak menipu Allah' dengan cara melakukan pengkhianatan dengan menyamar seperti orang beriman, sedangkan hakikatnya mereka berterusan kufur.

Ibn al-Jauzi menyebut tafsiran penipuan mereka kepada lima pendapat:

1 : Mereka menipu orang yang beriman seolah-olah mereka menipu Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas dan dipilih oleh Ibn Qutaibah.

2 : Mereka menipu Nabi Allah, seperti Allah mendirikan nabi pada tempatnya. Ini berdasarkan pada ayat yang ke 10 daripada Surah al-Fath. Inilah pendapat az-Zajjaj.

3 : Penipuan pada bahasa Arab bermaksud orang yang merosakkan, seperti pendapat Muhammadbin Qasim daripada Tha'lab daripada Ibn al-A'rabi.

4 : Mereka melakukan pada agama Allah, kalau mereka melakukan antara mereka dianggap penipuan.

5 : Mereka menyembunyikan kekufuran dan menzahirkan keimanan `Mereka hanya menipu dirinya sendiri'. Bagaimana terjadi ke atas mereka ?

Dalam hal ini terdapat dua pandangan ulama:

Pertama: Di dunia dengan dua cara :

l. Secara istidraj bagi menambahkan lagi azab.

ll. Dengan pengetahuan nabi dan orang yang beriman dengan keadaan mereka yang disembunyikan.

Kedua: Di akhirat dengan dua pendapat:

l. Dihijabkan antara mereka dengan orang yang beriman.

ll. Dihalang mereka daripada menjadi ahli syurga.

Ibn Kathir berkata : Nifak ( munafik) ini ialah menzahirkan kebaikan dan menyembunyikan kejahatan. Ia ter- bahagi kepada banyak jenis .

l. Nifak iktikadi. Ia akan kekal di dalam neraka.

ll. Nifak amali ( perbuatan ) termasuk dalam dosa- dosa besar.

Ibn A'ttiah menyebut : Mereka melakukan nifak semata-mata untuk memelihara darah dan harta mereka, sedangkan mereka berjaya. Sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri dengan balasan azab kelak. Syed Qutub di dalam Zilalnya berkata : Pada nas ini dan seumpamanya sewajarnya kita berhenti sejenak di hadapan hakikat yang cukup besar dan di hadapan kurniaan daripada Allah. Inilah kebiasaan yang diulas di dalam al-Quran, iaitu hakikat hubungan antara Allah dan orang-orang beriman. Sifat- sifat mereka ialah sifat- sifat Allah, sebaliknya musuh mereka juga musuh-musuh Allah, dengan menyatakan sebesar- besar hakikat dan semulia-mulianya ialah hakikat iman.

Hidayah

`Mereka tidak mengetahui' bermakna mereka tidak tahu, tidak faham dan tidak mendapat hidayah. Ia merupakan lafaz daripada (syiar) apabila dirosakkan. Seperti penyair dinamakan syair kerana dia sedar dan faham gaya bahasa Arab yang tinggi.

Glosari:

¥ Tasdiq : Membenarkan.

¥ Surah Madaniah : Surah yang diturunkan selepas hijrah atau di Madinah.

¥ Surah Makkiah : Surah yang diturunkan sebelum hijrah atau di Mekah.

¥ Nisbah zihniah : Nisbah yang dibangsakan kepada zihin atau akal.

¥ Nisbah kalamiah : Nisbah yang dibangsakan kepada kalam atau perkataan.

¥ Nisbah kharijiah : Nisbah yang dibangsakan kepada perbuatan atau luaran.

¥ Nifak iktikadi : Munafik pada iktikad atau pegangan.

¥ Nifaq amali : Munafik pada perbuatan zahir seperti dusta dan lain-lain.

No Comment

Post a Comment