Cahaya al-Quran - Kilat yang menyambar

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


HAMPIR-HAMPIR KILAT ITU MENYAMBAR PENGLIHATAN MEREKA. SETIAP KALI KILAT ITU MENYINARI MEREKA, MEREKA BERJALAN DI BAWAH SINAR ITU, DAN APABILA GELAP MENIMPA MEREKA, MEREKA BERHENTI. JIKALAU ALLAH MENGHENDAKI, NESCAYA DIA MELENYAPKAN PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH BERKUASA ATAS SEGALA SESUATU. ( Al-Baqarah ayat 20)

l `Hampir-hampir kilat menyambar penglihatan mereka'. Ayat ini diberi dua tafsiran seperti kata al-Mawardi di dalam tafsirnya:

i. Apabila mereka dicahayakan dengan kebenaran, mereka mengikutinya. Sebaliknya apabila digelapkan dengan hawa nafsu, mereka meninggalkannya.

ii. Apabila mereka mendapat harta ghanimah, mereka mengikuti Islam dan orang-orang Islam. Sebaliknya apabila mereka tidak mendapat sebarang laba atau keuntungan, mereka memboikot daripada jihad.

As-Syanqiti berkata: Hampir-hampirlah cahaya al-Quran itu kerana terangnya membuka mata hati mereka, sama seperti kilat yang menyambar dengan cahaya yang amat terang, hampir menyambar penglihatan mereka.

Ulama khilaf dalam masalah perumpamaan orang munafik dengan kilat kepada tiga pendapat:

i. Tidak jelas dan memberi kesan kepada mereka daripada pengajaran al- Quran dan hukumnya.

ii. Tidak mendapat cahaya Islam yang mereka zahirkannya.

iii. Mereka menzahirkan Islam semata-mata untuk memelihara diri daripada dibunuh.

Ketakutan

Ulama juga khilaf dalam masalah perumpamaan orang munafik dengan guruh, kepada tiga pendapat:

i. Menakutkan mereka dengan apa yang ada di dalam al-Quran seperti kata Ibn Abbas.

ii. Mereka amat takut dihukum jika Nabi s.a.w. dan orang-orang Islam mengetahui hakikat mereka.

iii. Mereka amat takut kepada panggilan jihad.

Perumpamaan ini dinyatakan oleh Ibn al- Jauzi dalam kitabnya Zad al- Masir.

Syed Qutub melalui tafsirnya Fi Zilal al- Quran berkata: ``Sesungguhnya tempat penyaksian yang amat besar penuh dengan gerakan yang disertai dengan kekalutan, padanya kesesatan dan hilang arah. Padanya ketakutan dan kegusaran, rasa takut dan tercengang, cahaya-cahaya dan pendengaran, hujan yang lebat dari langit (padanya kegelapan-kegelapan, guruh dan kilat).''

* `Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu'.

As-Syanqiti berkata: ``Maksudnya apabila Allah memberi kenikmatan ke atas mereka dengan limpahan harta dan kesihatan, mereka berkata: ``Ini agama yang benar, semenjak kita berpegang dengannya, kita tidak ditimpa sesuatu kecuali kebaikan.''

Sebaliknya `dan apabila gelap menimpa mereka, mereka berhenti'.

Mereka berhenti dalam keadaan tercengang tanpa mengetahui hala tuju. Pada masa yang sama mereka amat takut, lantas mereka meletakkan jari-jari mereka pada lubang-lubang telinga mereka untuk menahan daripada mendengar guruh dan berwaspada kerana takut mati.

Hujan lebat dan kegelapan disertakan dengan guruh dan kilat, menyebabkan mereka tercengang-cengang kerana ketakutan. Mereka berdiri diselubungi kegelapan.

Inilah perumpamaan keadaan orang-orang munafik apabila berada di dalam dua situasi.

Apabila bertemu dengan orang-orang Islam, mereka memakai watak yang lain. Sebaliknya apabila bersama dengan syaitan mereka mengikrarkan bahawa mereka bersama mereka.

* `Jikalau Allah menghendaki, nescaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka'.

As-Samarqandi berkata : ``Sebahagian ulama tafsir berpendapat bahawa yang dimaksudkan ialah dengan pandangan mereka yang zahir yang terdapat di fikiran dan penglihatan pada mata- mata mereka, sebagaimana hilangnya pandangan dan penglihatan pada hati-hati mereka supaya mereka mendapat balasan.''

Orang Munafik

Ada juga yang berpendapat, bahawa yang dimaksudkan ialah sekiranya Allah menghendaki mereka tuli, buta dan bisu secara hakikat.

Sebenarnya ia juga boleh dimaksudkan, sebagaimana mereka telah buta, tuli dan bisu pada hukumnya.

As-Syaukani berkata : ``Ketahuilah bahawa orang-orang munafik itu terbahagi kepada beberapa jenis:

i. Di antara mereka yang menzahirkan Islam dan menyembunyikan kekufuran.

ii. Di antara mereka seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w. di dalam hadis Bukhari dan Muslim:

``Sesiapa yang ada padanya tiga perkara ini, ia termasuk dalam kategori munafik yang sebenarnya. Sesiapa yang hanya mempunyai satu sifat tersebut, ia pun masih dianggap munafik sehingga ia meninggalkan semuanya. Iaitu: Apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia memungkiri janjinya itu, dan apabila ia diberikan amanah, ia mengkhianatinya.''

Di dalam ibarat yang lain, orang yang munafik boleh dibahagikan kepada dua macam:

i. Munafiq iktikadi yang menyebabkannya terkeluar daripada agama Islam.

ii. Munafiq amali yang menyebabkannya berdosa besar tetapi tidak terkeluar daripada agama Islam.

No Comment

Post a Comment