Tuli, bisu dan buta - Tinggalkan kebenaran selepas hidayah

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


MEREKA TULI, BISU DAN BUTA, MAKA TIDAKLAH MEREKA AKAN KEMBALI ( KE JALAN YANG BENAR). (Al-Baqarah ayat 18)

Syeikh Abdul Rahman as-Sa'di mentafsirkan perkataan `mereka tuli' ialah tuli daripada mendengar kebaikan. `Bisu' daripada bercakap mengenai kebaikan. `Buta' daripada melihat kebenaran.

- `Tidaklah mereka akan kembali'. Ini kerana mereka meninggalkan kebenaran selepas mengetahuinya.

Berlainan dengan mereka yang meninggalkan kebenaran dengan sebab jahil dan sesat.

Iaitu kerana mereka tidak memahami dan mereka lebih mudah kembali kepada kebenaran daripada golongan munafik.

Al-Mawardi melalui tafsirnya menyebut empat pendapat yang dimaksudkan dengan perkataan bisu:

i. Rosak lidah sehingga tidak dapat mengeluarkan huruf dengan sebenarnya.

ii.Dilahirkan dalam keadaan bisu.

iii.Dicabut mata hati sehingga tidak memahami sesuatupun.

iv. Dihimpunkan antara bisu dan hilang akal fikiran.

Ibn al-Jauzi di dalam Zad al-Masir berkata: ``Terdapat tiga pendapat pada tafsiran `Tidaklah mereka akan kembali' :

i. Tidak kembali daripada kesesatan mereka, seperti pendapat Qatadah dan Muqatil.

ii. Tidak kembali kepada Islam, seperti pendapat as-Suddi.

iii. Tidak kembali daripada tuli, bisu dan buta kerana mereka memilih jalan mereka sendiri.''

An-Nasafi berkata: ``Mereka tidak kembali kepada petunjuk hidayah selepas mereka berada di dalam kesesatan. Dan mereka berada di dalam kehairanan yang kekal tanpa sebarang faedah kerana mereka tidak tahu akan ke depan atau berundur ke belakang.''

Syed Qutub berkata: ``Sebenarnya telinga-telinga, lidah-lidah, mata-mata untuk menerima gema bunyi dan cahaya serta mengambil manfaat dengan hidayah. Tetapi mereka mensia-siakan telinga mereka. Justeru itu mereka tuli.

``Mereka mensia-siakan lidah mereka, kerana itu mereka kelu dan bisu. Juga mereka mensia-siakan mata mereka, sehingga mereka buta.

``Sudah tentu amat sukar bagi mereka kembali mendapat kebenaran dan kembali kepada hidayah. Sebenarnya tiada cahaya hidayah bagi mereka.''

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya berkata: Al-Quran al-Karim menggunakan cara uslub orang Arab dalam mengumpamakan dengan mithalan-mithalan (contoh) yang menerangkan segala makna dengan sempurna.

Ia dapat meninggalkan kesan amat mendalam pada jiwa dan tidak mampu ditolak.

Ini kerana segala apa yang cuba dizahirkan daripada permasalahan akal yang tersembunyi kepada perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera, menzahirkan sesuatu yang tidak diketahui.

Dengan cara ini Allah mengumpamakan orang-orang munafik. Digambarkan keadaan mereka ketika memeluk Islam. Pertama, masuk cahaya iman pada hati-hati mereka kemudian dikuasai oleh syak yang mengakibatkan mereka kufur.

Ini kerana mereka tidak dapat memahami segala kelebihan dan keelokan Islam itu. Jadilah mereka tidak dapat melihat sebarang jalan hidayah, juga tidak dapat memahami sebarang wasilah yang membawa keselamatan.

Diterangkan cahaya tersebut pada hati-hati di kalangan orang-orang yang benar-benar beriman secara berjemaah (kumpulan).

Mereka nyalakan api untuk mendatangkan manfaat dan menjauhkan daripada bala mudarat. Tatkala api menerangi kawasan mereka, secara tiba- tiba datang perkara yang tidak disangka-sangka seperti hujan atau angin yang memadamkan api.

Jadilah keadaan mereka berada di dalam kegelapan sehingga tidak mampu melihat langsung.

Kemudian dijadikan mereka dalam keadaan buta, tuli dan bisu. Dengan perkataan lain, hilang segala pancaindera mereka sehingga menyebabkan mereka tidak dapat mengambil manfaat terhadap segala yang ada di dalam alam ini. Seolah-olah mereka telah kehilangan semuanya.

Apakah manfaatnya lidah tanpa dapat berbicara untuk mendapatkan hidayah, untuk meminta dalil dan bukti yang akan menjelaskan segala kemusykilan?

Apakah keistimewaan penglihatan sekiranya tidak dapat melihat dan mengambil iktibar untuk menambahkan hidayah?

Maka sesiapa yang tidak menggunakan semuanya itu, ia seolah-olah telah kehilangan semuanya dan cacatlah pancainderanya.

* ATAU SEPERTI (ORANG-ORANG YANG DITIMPA) HUJAN LEBAT DARI LANGIT DISERTAI GELAP GELITA, GURUH DAN KILAT, MEREKA MENYUMBAT TELINGANYA DENGAN ANAK JARINYA KERANA ( MENDENGAR SUARA) PETIR, SEBAB TAKUT AKAN MATI. dAN aLLAH MELIPUTI ORANG-ORANG YANG KAFIR. (Al-Baqarah ayat 19)

Imam an-Nasafi melalui tafsirnya berkata: ``Allah menyebut bandingan kedua-dua perumpamaan orang munafik untuk menjelaskan dengan lebih terang lagi.

``Di sini dibandingkan agama Islam dengan hujan kerana hati itu hidup sama seperti tanah yang hidup subur dengan hujan.

Ibn al-Jauzi di dalam Zad al-Masir berkata: `atau' pada ayat ini ditafsirkan dengan enam pendapat:

i. Dengan maksud pilihan, seperti orang Arab berkata, duduklah dalam majlis ahli fikah atau ahli nahu. (Awak diberi dua pilihan untuk duduk dalam kedua-dua majlis).

ii. Termasuk dalam ibham (kesamaran) yang Allah sahaja tahu maksudnya. Orang Arab menggunakan ibham pada sesuatu yang tidak ada faedah untuk dijelaskannya.

iii. Dengan maksud, bahkan atau ya seperti syair al- Farra'.

iv. Datang dengan tafsil iaitu ada orang munafik yang diumpamakan dengan mencari api dan ada yang diumpamakan dengan hujan.

v. Dengan makna 'wau' iaitu `dan'.

vi. Dengan makna syak pada hak orang yang diucapkan.

- `Atau seperti orang-orang yang ditimpa hujan lebat dari langit disertai gelap gelita, guruh dan kilat.'

Al-Mawardi mentafsirkan (sayyib-hujan lebat) dengan dua tafsiran :

i. Hujan lebat-Inilah pendapat Ibn Abbas dan Ibn Masu'd.

ii. Awan seperti pendapat `Alqamah bin `Abdah.

As-Samarqandi membuat perbandingan di dalam tafsirnya-hujan dengan al-Quran. Ini kerana pada hujan makhluk boleh hidup dan menyuburkan tanah. Begitu juga al-Quran dapat menghidupkan hati yang mendapat hidayah dan keterangan daripada kesesatan. Dengan makna ini dibandingkan al-Quran seperti hujan.

`Guruh' mengikut tafsiran ulama dibahagikan kepada tiga:

i. Suara malaikat yang memerintah hujan. Ia sebagaimana pendapat Ibn Abbas dan Mujahid.

ii. Angin yang berada antara langit dan bumi yang disempitkan laluannya. Ini pendapat Abi Jald (Jailan bin Abi Farwah al-Basri) yang diriwayatkan oleh Qatadah.

iii. Suara terjadi akibat berlaku pergeseran jirim-jirim.

As-Syanqiti di dalam Adwa al- Bayan berkata: ``Guruh diumpamakan dengan apa yang ada di dalam al-Quran mengenai ancaman yang mengetuk telinga dan menggoncangkan hati.''

`Kilat' ditafsirkan dengan tiga jenis:

i. Pukulan malaikat kepada awan daripada pemukul besi. Ini pendapat Ali bin Abi Talib. Ahli tahqiq menganggap pendapat ini paling rajih (kuat) bersandarkan hadis sahih daripada riwayat Imam Ahmad.

ii. Pukulan daripada tongkat cahaya seperti tafsiran Ibn abbas.

iii. Terjadi akibat geseran awan sesama sendiri, sebagaimana pendapat guru kepada Ibn al-Jauzi.

As-Syanqiti berkata: ``Kilat diumpamakan dengan apa yang ada di dalam al-Quran mengenai cahaya, iaitu dalil-dalil yang qatie' (putus) dan bukti- bukti yang terang. Allah menyatakan bahawa al-Quran dapat menerangkan segala kegelapan jahil, syak dan syirik.''

Melihat kepada banyak tafsiran yang asing dan ajaib ini, penulis amat berminat dengan pandangan yang dikemukakan oleh Al-Allamah Rashid Redha dalam tafsirnya Al- Manar. Katanya: ``Tanpa ragu-ragu di sisiku yang segala pendapat -pendapat ini dihebahkan oleh Kaab al-Ahbar, Wahb bin Munabbih kepada orang Islam di kalangan sahabat dan tabiin.

``Kalau sahih hadis marfu' dengan pendengaran yang sahih, yang tidak dipetik daripada bahan israiliyat, sudah tentu tidak ada khilaf di kalangan ulama. Sudah tentu memungkinkan diterima keadaan zahir alam yang berlaku dengan perbuatan malaikat yang menjaga awan. Tetapi tidak sahihnya pada masalah ini kerana malaikat dari alam ghaib yang tidak dilihat oleh manusia kecuali malaikat dirupakan dengan rupa manusia atau wali dengan jalan mukjizat atau irhas seperti rupa roh bagi Siti Maryam dan sahabat melihat malaikat Jibril berupa manusia bertanya Nabi tentang Islam, iman dan ihsan.

- `Dan Allah meliputi orang-orang yang kafir'.

Yang dimaksudkan dengan `meliputi' ialah kuasa, sesiapa yang tidak dimatikan dengan sebab panahan petir, akan dimatikan dengan sebab lain. Sebab-sebabnya berlainan tetapi hakikat mati itu tetap satu.

Orang kafir pada ayat ini dizahirkan tanpa digunakan ganti nama. Ini kerana untuk memberitahu mereka, sekalipun mereka kafir tetapi Allah berkuasa ke atas mereka.

No Comment

Post a Comment