Yahudi enggan terima kerasulan Nabi Muhammad

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SAYYID Qutub berkata: “Kekufuran mereka amatlah buruk kerana mereka mengingkari Nabi yang ditunggu-tunggu mereka. Nabi yang mereka pernah memohon kepada Allah agar dengan kebangkitannya mereka dapat mengalahkan orang-orang kafir (musyrikin Arab) yakni mereka mengharap dapat menguasai kaum-kaum yang lain daripada mereka dengan kedatangan Rasul itu. Sedangkan Rasul itu telah datang membawa kepada mereka kitab al-Quran yang mengesahkan kitab suci yang ada pada mereka.”

“Dan ketika datang kepada mereka sebuah kitab daripada Allah (al-Quran), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (kitab Taurat), sedangkan mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan al-Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.

Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan daripada limpah kurnia-Nya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.’’ (al-Baqarah: 89 dan 90)

Firman Allah: “Dan ketika datang kepada mereka sebuah kitab daripada Allah (al-Quran), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), iaitu al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. (Khatamu al-Nabiyyin) sebagai membenarkan apa yang ada dalam kitab Taurat.’’

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di dalam Taisir al-Karim al-Rahman berkata: “Tatkala datang kepada mereka daripada sisi Allah semulia-mulia makhluk dan penutup segala Nabi, kitab yang mengandungi kebenaran supaya membenarkan apa yang ada di sisi mereka daripada Taurat dan mereka mengetahui dengannya serta yakin bahawa apa yang berlaku di antara mereka dan orang musyrikin pada zaman jahiliah pelbagai peperangan, nescaya mereka meminta tolong dengan Nabi ini dan memberi ancaman kepada orang musyrikin bahawa akan munculnya Nabi akhir zaman di mana mereka berperang bersama Nabi tersebut menentang segala orang musyrikin.

“Malangnya apabila datang kepada mereka kitab dan Nabi yang mereka ketahui, mereka kufur kepadanya dengan penuh perasaan hasad dengki dan Allah berhak menurunkan rahmat dan kelebihan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Justeru, layaklah mereka mendapat laknat Allah. Kemurkaan ditimpa ke atas mereka kerana banyaknya kufur serta berlarutan syak dan syirik mereka.”

Sedangkan mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa kitab itu). Sehingga mereka mengancam musuh mereka seraya berkata dalam doanya: “Ya Allah, tolonglah kami dengan Nabi yang diutuskan akhir zaman yang kami dapati sifatnya dalam Taurat.”

Mereka berkata kepada musuh mereka di kalangan musyrikin: “Telah sampai zaman Nabi akan muncul dengan sebenarnya apa yang kami kata. Lantas kami membunuh kamu bersamanya sebagaimana pembunuhan kaum ‘Ad dan ‘Iram.” Inilah pendapat Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil.

Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan al-Quran), mereka mengingkarinya; di mana mereka mengkufurkan risalah Nabi selepas mengetahuinya. Maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu. Allah melaknat orang Yahudi yang mengkufuri Nabi akhir zaman.

Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri kerana sedikit laba keuntungan yang orang Yahudi membelinya. Dengan mengingkari al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, mengkufurkan al-Quran kerana dengki penuh dengan dendam kesumat dan hasad bahawa Allah menurunkan daripada limpah kurnia-Nya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Ini kerana Allah menurunkan wahyu dan memilih Nabi Muhammad s.a.w..

Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, iaitu kemurkaan yang melampau terhadap mereka.

Terdapat lima pendapat dalam mentafsirkan maksud ayat ini:

“Kemurkaan yang pertama kerana menjadikan anak lembu sebagai anak tuhan sedangkan kemurkaan yang kedua ialah kerana mereka kufur dengan Nabi Muhammad s.a.w..” Hal ini sebagaimana hikayat al-Suddi daripada Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas r.a..

“Kemurkaan yang pertama kerana mereka mendustakan Rasulullah s.a.w. sedangkan kemurkaan yang kedua kerana permusuhan mereka dengan Jibril a.s..” Inilah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Syahar bin Hausyab al-Asy’ari daripada Ibn Abbas.

“Kemurkaan yang pertama kerana kenyataan mereka bahawa ‘tangan Allah terikat atau dibelenggu’ sedangkan kemurkaan yang kedua ketika mereka mendustakan Nabi Allah.” Inilah riwayat Abu Salih daripada Ibn Abbas dan telah dipilih oleh al-Farra’.

“Kemurkaan yang pertama kerana pendustaan mereka kepada Nabi Isa a.s. dan Injil sedangkan kemurkaan yang kedua kerana pendustaan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan al-Quran.” Inilah pendapat al-Hasan, al-Sya’bi, ‘Ikrimah, Abu al-‘Aliyah, Qatadah dan Muqatil.

“Kemurkaan yang pertama kerana mereka meminda kitab Taurat sedangkan kemurkaan yang kedua kerana pendustaan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w..” Inilah pendapat Mujahid.

Dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan. Perbuatan menjual diri yang paling merugikan ialah perbuatan mereka mengkufurkan wahyu yang diturunkan Allah. Seolah-olah kekufuran itu merupakan harga jualan diri mereka. Manusia boleh dinilai dengan sesuatu yang berharga sama ada banyak atau sedikit. Tetapi jika dinilai dengan kekufuran, maka itulah seburuk-buruk dan serugi-rugi dagangan.

Namun itulah yang menjadi kenyataan walaupun pada zahirnya keterangan ini hanya merupakan perbandingan dan gambaran. Mereka sebenarnya telah merugikan diri mereka sendiri apabila mereka tidak bergabung dengan angkatan orang-orang yang beriman. Mereka telah merugikan diri mereka di akhirat kerana mereka akan ditunggu oleh azab seksaan yang amat menghina. Apakah sesuatu yang akan didapati mereka pada akhir hidup mereka? Mereka hanya berhasil mendapat kekufuran. Itulah satu-satunya perolehan yang dapat dicapai dan diambil oleh mereka.

No Comment

Post a Comment