Menyuruh berbuat baik - Sambil melakukan kejahatan

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


AS-SABUNI berkata di dalam tafsirnya, Safwah al-Tafasir : ``Munasabah ayat ini ialah sentiasa menceritakan tentang Bani Israel, celaan dan hinaan terhadap mereka kerana tingkah laku dan perangai mereka. Ini kerana mereka kerap menyuruh orang lain melakukan kebaikan, sedangkan mereka enggan melakukannya. Mereka juga menyeru ke arah petunjuk dan hidayat, sebaliknya mereka ingkar.''

Al-Imam as-Sawi berkata: ``Ayat ini diturunkan kepada sebahagian ulama Yahudi yang berkata kepada kaum kerabat mereka yang Islam: ``Tetaplah kamu atas agama Muhammad kerana sesungguhnya ia benar. Mereka menyeru manusia supaya beriman sedangkan mereka tidak melakukannya, lantas diturunkan ayat ini.''

PATUTKAH KAMU MENYURUH MANUSIA SUPAYA BERBUAT KEBAIKAN SEDANG KAMU LUPA AKAN DIRI KAMU SENDIRI; PADAHAL KAMU SEMUA MEMBACA KITAB ALLAH, TIDAKKAH KAMU BERAKAL?. (Surah al-Baqarah ayat 44)

Firman Allah: `Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan', iaitu Allah s.w.t. menujukan firman-Nya kepada pendita-pendita Yahudi dengan maksud menempelak mereka. Adakah patut kamu menyeru manusia ke arah kebaikan dan beriman dengan Muhammad.

Ibn Jarir at-Tabari berkata: ``Ulama tafsir telah khilaf berhubung makna kebaikan yang disebut dalam ayat ini selepas mereka berijmak, bahawa setiap ketaatan kepada Allah merupakan kebaikan.'' Ibn Jauzi menyebut di dalam Zad al-Masir mengenai tiga pendapat berhubung maksud kebaikan:

i. Berpegang dengan kitab mereka, iaitu mereka menyuruh untuk mengikutnya dan melaksanakannya seperti riwayat Ibn Abbas.

ii. Mengikuti Muhammad s.a.w. seperti riwayat Ibn Abbas.

iii. Bersedekah, iaitu mereka menyuruh bersedekah sedangkan mereka bakhil seperti yang disebut oleh az-Zajjaj.

Abu Hayyan di dalam tafsirnya, al-Bahru al-Muhit berkata: ``Dihina pada akal dan dikeji apabila seseorang menyuruh manusia berbuat baik, sedangkan dia sendiri tidak melakukannya.

Sebaliknya mereka melarang mengerjakan kejahatan, sedangkan mereka sendiri yang melakukannya. Hingga katanya: Perbuatan di dalam ayat ini disebut dengan lafaz Mudhari' (sedang berlaku dan akan berlaku), sedangkan ia sudah berlaku di kalangan mereka. Justeru difahami daripada penggunaan ayat ini pada banyak tempat yang bermaksud `berterusan dan banyaknya kekeliruan' mengikut ahli bahasa.''

As-Samarqandi di dalam tafsirnya, Bahr al-Ulum menaqalkan pendapat Qatadah yang berkata: ``Ayat ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyuruh melakukan kebaikan, hendaklah dia sendiri suka mendahuluinya dan mengerjakannya.

Sebaliknya, sesiapa yang melarang melakukan kejahatan, hendaklah dia yang paling awal menjauhkannya.'' Kemudian beliau menyebut satu hadis yang diriwayatkan daripada Anas katanya: ``Apabila Rasulullah dimikrajkan, Baginda melalui satu kaum yang bibir mereka digunting dengan gunting dari neraka. Lantas Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Jibril: ``Siapakah mereka ini?'' Jawab Jibril: ``Mereka ini umatmu yang menyuruh manusia berbuat baik, sedangkan mereka lupa diri mereka sendiri.''

Allah s.w.t. meneruskan lagi persoalannya seraya bertanya: `Sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri', iaitu kamu meninggalkan tanpa beriman dan tanpa melakukan kebajikan. Ibn Kathir berkata: ``Firman Allah s.w.t. itu bermaksud, bagaimana layak dan mungkin bagimu wahai golongan ahli kitab, menyeru manusia ke arah kebaikan yang merupakan intipati, sedangkan kamu sendiri lupa kepada diri kamu.''

Al-Fakh ar-Razi menyebut di dalam tafsirnya mengenai maksud lupa, iaitu sebagai satu ibarat lupa terhadap sesuatu selepas beramal. Orang yang lupa atau pelupa tidak ditaklifkan, iaitu tidak diminta bertanggungjawab.

Dan orang yang tidak ditaklif, tidak seharusnya dikenakan celaan Allah disebabkan lupanya tadi. Justeru, maksud sebenar kamu lupa akan diri kamu sendiri ialah kamu lalai daripada menunaikan hak diri kamu dan berpaling daripadanya untuk mendapat manfaat.

Abu Hayyan pula berkata: ``Diibaratkan meninggalkan perbuatan mereka disebabkan lupa sebagai mubalaghah (melampau). Ia seolah-olah mereka meninggalkannya kerana tidak terlintas langsung pada fikiran mereka. Dan disandarkan lupa dengan jiwa atau diri sebagai penguat betapa lalainya mereka.''

Dalam melakukan amar makruf dan nahi mungkar, seharusnya seseorang mempunyai lima syarat supaya dakwahnya kepada manusia akan berkesan. Abu al-Laith as-Samarqandi melalui kitabnya, Tanbih al-Ghafilin menyebut lima syarat tersebut:

i. Berilmu, ini kerana orang yang jahil tidak memahami konsep makruf dan mungkar.

ii. Ikhlas kerana Allah semata-mata dan menegakkan agama-Nya.

iii. Kasih sayang kepada orang yang dinasihati dengan bahasa yang lembut dan ramah tamah, di samping menjauhi sifat keras sebagaimana pesanan Allah kepada Nabi Musa dan Harun untuk berdepan dengan Firaun.

iv. Bersifat sabar dan tenang.

v. Harus mengerjakan segala yang dianjurkan agar tidak dicemuh orang kerana perbuatannya sendiri sehingga ia tidak termasuk dalam ayat ini.

Ali bin Abi Talib berkata: ``Dua jenis manusia yang menyusahkanku, iaitu orang alim yang melanggar peraturan Allah dan orang jahil yang suka beribadat. Padahal kamu semua membaca Kitab Allah'', iaitu keadaan kamu yang membaca kitab Taurat, yang terdapat padanya sifat Muhammad s.a.w.

Berhubung maksud al-Kitab ini, terdapat dua pandangan ulama:

i. Kitab Taurat, ini pendapat Jumhur.

ii. Al-Quran, justeru tidak layak diucapkan kenyataan ini kepada Yahudi.

`Tidakkah kamu berakal?', iaitu adakah kamu tidak cerdik dan faham bahawa yang demikian itu amat buruk dan kembalilah daripadanya. Syeikh Abdul Rahman as-Sa'di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim berkata: ``Dinamakan akal itu akal, kerana ia mengikatnya dengan mengambil manfaat daripada kebaikan serta berwaspada daripada kemudaratan.''

Muhammad bin Wasi' menyebut: ``Telah sampai kepadaku perkhabaran bahawa kepada ahli syurga diperlihatkan ahli neraka, lantas mereka berkata: ``Sesungguhnya kamu dahulu di dunia telah menyuruh kami taat dan kami melakukannya hingga layak kami masuk syurga.'' Kemudian jawab ahli neraka: ``Benar dulu kami menyuruh kamu mengerjakannya tetapi kami sendiri tidak melakukannya.''

Al-Imam al-Maghari berkata: ``Bani Israel mempunyai acara keagamaan yang mengingatkan mereka dengan segala nikmat Allah. Ia menjadikan semangat mereka hidup dan bangkit dalam menegakkan agama dan beramal dengannya, tetapi selepas tempoh yang panjang, hati mereka menjadi keras dan keluar daripada segala ajaran agama, tidak mengikut kebaikan, tidak berjalan di atas jalan petunjuk, dan berpegang semata-mata dengan pendita-pendita mereka pada zahirnya, dan bertaklid secara umum. Akhirnya dalam urusan agamanya, mereka hanya mengetahui urusan ibadat dan beberapa acara keagamaan. Sedangkan yang lainnya dianggap tidak berfaedah. Mereka bertuhankan hawa nafsu dan hanya berpandu kepada takwilan sehingga kepentingan nafsu mereka tidak bertentangan dengan kitab.''

Sayid Qutub berkata di dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Quran: ``Bersama dengan nas al-Quran ini yang menentang keadaan yang berlaku kepada Bani Israel, sesungguhnya isyarat ini juga kepada seluruh manusia termasuk ulama dan cendekiawan agama dengan sifat yang khusus, tanpa mengkhususkannya kepada sesuatu kaum atau generasi. Sesungguhnya kebinasaan golongan agama ialah kerana agama dijadikan sebagai pekerjaan dan amalan, bukan lagi bersifat akidah. Mereka hanya berkata dengan mulut tetapi tidak ada di dalam hati mereka. Mereka menyeru kepada kebaikan sedangkan mereka tidak melakukannya. Begitu juga mereka menyeru ke arah kebaikan sedangkan mereka mengabaikannya. Di samping itu juga mereka meminda kenyataan daripada asalnya. Mereka mentakwilkan nas-nas yang qatie (putus lagi thabit) mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata. Mereka mengkaji dan mencari segala fatwa dan takwilan yang bersamaan pada zahirnya bersama zahir nas. Akan tetapi sebenarnya berlaku khilaf dan kelainan pada hakikatnya daripada hakikat agama. Ini semata-mata untuk menghalalkan segala kehendak dan nafsu serakah mereka bagi mengumpul seberapa banyak harta dunia atau pangkat sebagaimana yang dilakukan oleh pendita-pendita Yahudi.

No Comment

Post a Comment