Ganjaran dunia, akhirat bagi orang yang berpuasa

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

MENURUT Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi: “Hikmah ialah gabungan antara ilmu dan amalan.” Ibn Qutaibah menyatakan bahawa “Tidaklah seseorang dinamakan hakim (bijaksana) sehingga disekalikan antara ilmu dan amalan.” Hikmah juga bermaksud rahsia atau maksud yang tersirat yang kadang-kadang di luar jangkauan batasan akal manusia.

Justeru, ulama berkata: Kita disuruh mengkaji sebab tetapi tidak disuruh mengkaji hikmah. Walaupun begitu kadang-kadang hikmah dapat difahami dan diketahui walaupun tidak secara keseluruhannya. Dalam ruangan ini penulis cuba menyingkap hikmah dan falsafah puasa dengan menukilkan pandangan daripada para ulama, antaranya pengarang Kitab Fiqh al-Manhaji.

Sebagaimana diketahui, puasa pada bulan Ramadan adalah ibadat yang difardukan oleh Allah. Kita melaksanakan tanggungjawab keimanan kepada-Nya tanpa memandang kepada sebarang kemungkinan yang berlaku sebagai natijah daripada ibadat tersebut.

Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi sesiapa yang berpuasa melihat apa-apa hikmah dan rahsia Ilahi yang tersembunyi dalam ibadat itu dan ibadat-ibadat yang lain. Adalah tidak diragui bahawa semua hukum Allah mempunyai hikmah, rahsia dan faedah untuk hamba-hambanya namun mereka tidak disyaratkan mengetahui kesemuanya.

Begitu juga ibadat puasa yang mempunyai beberapa hikmah dan faedah yang mungkin diketahui oleh sesetengah orang tetapi banyak yang masih tersembunyi daripada pengetahuan mereka.

Antara hikmah dan faedah puasa yang mungkin dapat dirumuskan ialah puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah. Ini kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga sebaik sahaja dia melalui sebahagian daripada waktu siangnya. Nafsunya ingin makan dan minum namun perasaan yang menyedari dirinya berpuasa menghalang keinginan tersebut kerana dia melaksanakan perintah Allah. Dalam menghadapi pertentangan ini, hatinya sedar akan pemerhatian Allah terhadapnya, lantas mengingati ketuhanan Allah dan keagungan kekuasaan-Nya di samping sentiasa menyedari bahawa dirinya hamba yang tunduk patuh kepada hukum Allah dan menurut segala kehendak-Nya.

Bulan Ramadan ialah bulan suci antara semua bulan dalam setahun. Allah mengkehendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amal ketaatan dan menghampirkan diri kepada-Nya. Selain itu, mereka menyatakan erti kehambaan mereka setinggi-tinggi kepada Yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Namun mereka jauh daripada dapat menyatakan demikian di hadapan hidangan makanan, dalam majlis-majlis minuman, selepas kekenyangan dan isi perut meruap ke kepala. Pensyariatan puasa pada bulan Ramasan ialah cara yang termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab kehambaan kepada-Nya.

Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan. Kedua-duanya adalah bertentangan dengan sifat orang Islam. Lantaran itu, pensyariatan puasa dapat mendidik jiwanya dan mengurangkan sifat-sifat tersebut.

*Waktu terbaik

Antara asas penting yang membangunkan masyarakat Islam ialah sifat kasih sayang di kalangan mereka. Namun orang kaya jauh daripada dapat menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai sendiri keperitan dan kesempitan hidup mereka dan kepahitan hidup akibat diburu kelaparan. Bulan puasa adalah waktu terbaik bagi golongan kaya agar mereka dapat mengalami perasaan orang yang miskin dan hidup bersama-sama keperitan dan kesulitan mereka. Puasa juga adalah dorongan yang terbaik bagi golongan kaya untuk menimbulkan perasaan kasih sayang dan simpati dalam jiwa mereka.

Mengikut sebuah hadis, syaitan berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah. Justeru hendaklah kamu sempitkan perjalanannya dengan cara lapar. Dalam erti kata lain berpuasa boleh melawan kehendak syaitan dan seterusnya mengikut kehendak Allah. Ini bermakna orang yang berpuasa tidak terpengaruh dengan pujuk rayu syaitan tetapi mempunyai tahap keimanan yang kukuh lagi ampuh untuk menghadapi segala cabaran kehidupan.

Allah menyebut kefarduan puasa dan diakhiri dengan perkataan mudah-mudahan kamu bertakwa. Dengan ini jelas kepada kita objektif puasa boleh menatijahkan seseorang bertakwa yang sudah tentu mendapat banyak ganjaran daripada Allah sama ada di dunia ataupun akhirat.

Mengikut sebuah hadis, Rasulullah pernah bersabda: Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat. Dalam Islam, kesihatan terbahagi kepada dua iaitu rohani atau jasmani. Apa yang uniknya, puasa dapat menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani dan menggantikan kesihatan untuk kedua-duanya. Ini terbukti dengan pengesahan oleh pakar-pakar perubatan moden bahawa amalan berpuasa boleh menaiktarafkan kesihatan seseorang. Kesihatan rohani sudah dinyatakan oleh Allah dalam konteks natijah puasa iaitu takwa.

Hikmah puasa sunat disyariatkan pula adalah untuk meningkatkan pengabdian dan pendampingan diri kepada Allah. Sebarang ibadat yang dilakukan oleh seseorang tetap akan menyebabkan dirinya lebih hampir kepada Allah seperti maksud hadis: Hamba-Ku sentiasa mendampingi diri-Ku dengan melakukan ibadat-ibadat sunat sehingga aku menjadi kasih kepadanya.

Tidak diragui lagi bahawa kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan hamba pula menghampirkan diri kepada-Nya akan menjauhkan mereka daripada maksiat, mendekatkan diri kepada mentaati-Nya, dan segera membuat amal kebajikan. Oleh itu, mereka sentiasa dalam keadaan yang betul dan kehidupan yang sempurna.

Semoga puasa yang kita lakukan diterima sama ada puasa perut daripada makanan, faraj daripada mengikut syahwat, mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram, tangan daripada mengambil yang haram, kaki daripada pergi ke tempat yang dimurkai Allah, lidah daripada segala kata nista dan cela dan seterusnya hati daripada nifaq dan segala sifat mazmumah. Insya-Allah takwa daripada ibadat puasa akan bersama dengan kita. Amin.

No Comment

Post a Comment