Yahudi kufur terhadap nikmat Allah

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Syeikh Sya’rawi berkata: “Allah Taala menyebut kepada kita sebab hina dan sesatnya mereka kerana mereka membeli kehidupan dunia dengan akhirat. Mereka menjadikan akhirat sebagai barang tukaran untuk sedikit habuan dunia. Mereka hanya melihat kepada dunia sedangkan yang melihat kepada dunia serta akhirat sudah tentu menjadikan seseorang menghendaki pahala akhirat. Ini kerana dunia mewakili umur atau usiamu yang terhad, keluarnya daripada dunia dengan sebab kematian.”

Ayat-ayat al-Quran sentiasa menceritakan kisah kedurjanaan Bani Israel. Ayat-ayat itu memberi peringatan bagi mereka dengan kurniaan nikmat yang Allah bagi kepada mereka. Tetapi malangnya mereka membalas dengan kekufuran dan jenayah yang merupakan adat dan tradisi mereka, membalas ihsan dengan kejahatan dan nikmat dengan kekufuran dan derhaka.

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian daripada Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?

Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam).” (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman. (al-Baqarah: 87 dan 88)

Firman Allah, “Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, Kami kurniakan kepada Musa kitab Taurat di samping mengutuskan ramai di kalangan Rasul-rasul.’’

Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil berkata: “Kami utuskan ramai di kalangan Rasul. Antara mereka ialah Yusya’, Syamawail, Syam’un, Daud, Sulaiman, Sya’ya’, Armiya’, ‘Uzair, Hazqil, Ilyas, Ilyasa’, Yunus, Zakariya, Yahya dan selainnya.

Dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat yang menunjukkan dan membuktikan kenabiannya serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril).

Kami perteguhkan mereka dengan bantuan malaikat Jibril. Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir berkata, Tafsiran Ruh al-Qudus ada tiga pendapat:

“Bahawa ia ialah Jibril dan Quds dengan makna suci.’’ Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah, al-Dhahhaq dan al-Suddi bersama yang lain.

“Pendapat yang kedua menyatakan bahawa ia adalah nama bagi yang boleh menghidupkan orang yang mati.’’ Ini adalah riwayat al-Dhahhaq daripada Ibn Abbas.

“Bahawa ia adalah kitab Injil.’’ Inilah pendapat Ibn Zaid.

Adapun cara bantuan dan sokongan Jibril itu terdapat tiga pendapat sebagaimana yang disebut oleh al-Zajjaj:

lBahawa ia menyokongnya dengan menzahirkan hujah dan urusan agamanya.

lMenahan daripada Bani Israel dibunuh.

lMenolong pada semua keadaannya.

Maka patutkah tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu. Sentiasa kamu menentang dengan apa yang tidak seiring dengan hawa nafsumu sebagaimana kata al-Samarqandi dalam tafsirnya Bahr al-‘Ulum.

Sombong takbur

Kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), di mana kamu berasa besar dan angkuh daripada beriman kepada Allah. Al-Zajjaj berkata: “Maknanya kamu menafikan untuk menjadi pengikut kerana merasakan kamu mempunyai kedudukan. Justeru, tidak beriman dan bimbang hilang kedudukan daripada mereka.

Sehingga sebahagian daripada Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya? Kamu begitu angkuh dan takbur daripada mengikut mereka.

Sayyid Qutub berkata: “Percubaan menundukkan para pembawa hidayat dan syariat-syariat kepada kehendak-kehendak nafsu yang mendadak dan keinginan yang berubah-ubah. Ia merupakan suatu gejala yang muncul ketika rosaknya fitrah manusia dan terhapusnya keadilan logik insani itu sendiri, iaitu logik yang memastikan bahawa syariat itu harus dikembalikan kepada sumber (Ilahi) yang tetap – bukan kepada sumber manusia yang berubah-ubah – iaitu sumber yang tidak menurut liuk nafsu dan tidak dikongkong keinginan dan logik yang memastikan bahawa manusia harus kembali kepada neraca (Ilahi) yang tetap, yang tidak turun naik kerana suka, marah, sihat, sakit dan kehendak-kehendak keinginan nafsu dan bukannya menundukkan neraca itu sendiri di bawah kehendak-kehendak keinginan nafsu.

Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam).” (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup). Sehingga mereka tidak memahami apa yang Rasulullah s.a.w. katakan. Ini kerana matlamat sebenar mereka untuk tidak beriman.

Lantas Allah mendedahkan, bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, yakni Allah telah mengusir dan menjauhkan mereka daripada hidayat dengan sebab kekufuran mereka.

Mereka telah kafir sejak awal-awal lagi. Disebabkan itu, Allah membalas kekufuran mereka dengan pengusiran daripada rahmat-Nya dan menghalang daripada mengambil manfaat dan hidayat.

Oleh itu maka sedikit benar mereka beriman. Iaitu sedikit sekali mereka beriman kerana mereka diusir daripada memperoleh rahmat Allah sebagai balasan di atas kekufuran mereka yang lalu dan kesesatan mereka yang lama, atau beginilah keadaan mereka selama-lamanya.

Mereka berada dalam kekafiran dan sedikit sahaja di antara mereka yang beriman. Itulah keadaan mereka yang tetap dan al-Quran menyebut keadaan ini untuk menjelaskan hakikat mereka.

Kedua-dua pengertian ini sesuai dengan kejadian yang sedang berlaku dan sesuai dengan pembicaraan.

Dalam menafsirkan maksud ayat akhir ini, dikemukakan lima pendapat:

1. Sedikit sahaja yang beriman di kalangan mereka seperti mana kata Ibn Abbas dan Qatadah.

2. Mereka beriman dengan sedikit daripada apa yang terdapat pada tangan mereka tetapi lebih banyak kufur. Inilah pendapat Muammar.

3. Mereka tidak beriman sama ada sedikit mahupun banyak. Inilah yang disebut oleh Ibn al-Anbari.

4. Mereka beriman sedikit daripada masa. Ini juga merupakan pendapat Ibn al-Anbari.

5. Keimanan mereka amat sedikit. Inilah yang disebut oleh Ibn Jarir al-Tabari.

No Comment

Post a Comment