Berkata benar - Sifat Muhammad dalam al-Quran

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SELEPAS Allah memberi beberapa arahan kepada Bani Israel, di antaranya mengingati nikmat, menunaikan janji, takut kepada-Nya, ber-iman dengan kitab yang diturunkan, jangan menjadi orang yang pertama kafir, di samping jangan menjual ayat-ayat Allah dengan sedikit kebendaan di dunia. Allah meneruskan lagi arahan dan suruhan-Nya dengan ayat berikut.

DAN JANGANLAH KAMU CAMPUR ADUKKAN YANG BENAR ITU DENGAN YANG SALAH, DAN KAMU SEMBUNYIKAN YANG BENAR ITU PULA, PADAHAL KAMU SEMUA MENGETAHUINYA. (Surah al-Baqarah ayat 42)

Firman-Nya `Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah', iaitu jangan sekali-kali kamu mencampurkan antara kebenaran yang diturunkan daripada Allah dengan kebatilan yang kamu cipta sendiri dan jangan juga kamu mengubah apa yang terdapat di dalam Taurat dengan cara pembohongan dan penipuan yang kamu ada-adakannya.

As-Samarqandi dalam tafsirnya, Bahr al-Ulum berkata: ``Campur adukkan di sini mengikut bahasa adalah memakai pakaian, dengan maksud dan maknanya, jangan kamu campurkan kebenaran dan kebatilan, di mana kamu sembunyikan sifatnya, yang demikian itu kerana mereka mengkhabarkan sebahagian sahaja sifatnya dan menyembunyikan sebahagian yang lain supaya mereka mempercayai dan membenarkan.

Dengan demikian itu sehingga mengelirukan mereka.'' Qatadah pula berkata: ``Jangan kamu campur adukkan ajaran Yahudi dan Kristian dengan Islam, sedangkan kamu tahu hakikat agama Allah yang sebenarnya ialah Islam. ``Ada pendapat menyatakan maksud ayat ini ialah, jangan kamu beriman dengan sebahagian dan beriman dengan sebahagian yang lain.

Di samping itu `Dan kamu sembunyikan yang benar itu pula', iaitu jangan sekali-kali kamu sembu-

nyikan apa yang terdapat di dalam kitab kamu daripada segala sifat Muhammad s.a.w. Ibn Jauzi melalui kitabnya, Zad al-Masir berkata: ``Yang dikehendaki dengan kebenaran ada dua pendapat: Pertama, bahawa ia berhubung dengan urusan Nabi s.a.w., inilah pendapat Ibn Abas, Mujahid, Qatadah, Abu al-`Aliah, as-Suddi dan Muqatil. Kedua, bahawa ia berhubung dengan agama Islam, seperti pendapat al-Hasan.

Al-Imam al-Maghari berkata: ``Larangan yang pertama berkaitan de-

ngan pemindaan dan penukaran, sedangkan larangan yang kedua ialah menyembunyikan.'' Syeikh Abdul Rahman as-Sa'di di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim berkata: ``Ini kerana ahli kitab dan ilmu memberi maksud, membezakan kebenaran dan menzahirkannya supaya memberi petunjuk kepada orang yang mendapat hidayat dan mengembalikan orang-orang yang sesat daripada kesesatannya di samping menjadi hujah dan bukti ke atas orang-orang yang mengingkarinya.

Kesesatan

Begitu juga kerana Allah menerangkan melalui ayat-ayatnya dan menjelaskan segala kenyataannya untuk membezakan yang hak daripada yang batil dan membetulkan jalan orang yang silap. Justeru, siapa yang beriman dengannya dari kalangan ahli ilmu, sebenarnya ia layak menjadi pengganti rasul dan petunjuk ummah.'' Seterusnya ayat ini menerangkan cara mereka dalam kesesatan dan penyelewengan, sebagaimana yang terkandung di dalam kitab-kitab mereka:

i. Peringatan daripada nabi-nabi mereka berhubung dengan pendustaan dan kebangkitan.

ii. Allah s.w.t. membangkitkan pada mereka seorang nabi daripada anak Ismail, daripada perempuan yang bernama Hajar dan diterangkan segala tanda yang jelas tanpa sebarang kekeliruan, sebaliknya merekalah (paderi dan pendita) yang mengelirukan de-

ngan berbagai-bagai tohmahan kepada Rasulullah s.a.w.

`Padahal kamu semua mengetahuinya', iaitu sebenarnya atau keadaan kamu yang mengetahui de-

ngan kemudaratan menyembunyikannya.

Al-Fakhru ar-Razi berkata: ``Larangan mencampur adukkan dan menyembunyikannya, walaupun begitu bukan bermakna keharusan mencampur adukkan dan menyembunyikan golongan tanpa ilmu dan sebab keterikatan kepada golongan berilmu kerana tindakan mereka jauh lebih mudarat dan besar kesannya daripada yang dilakukan oleh orang jahil apabila mereka mempu-

nyai ilmu dalam tipu daya daripada segala kerosakan ini. Justeru tindakan mereka jauh lebih buruk dan keji. Oleh itu ayat ini menunjukkan bahawa orang alim yang mengetahui sebenarnya wajib menzahirkannya dan haram ke atasnya menyembunyikan.''

Ibn Qayim melalui kitabnya, `Ilam al-Muwaqi`in menegaskan seperti berikut: ``Jika seseorang hakim atau pemberi fatwa dihadapkan oleh sesuatu masalah, maka ada dua kemungkinan iaitu:

1. Ia mengetahui masalah itu de-

ngan keyakinan yang mantap atau ia mengetahui masalah itu dengan dugaan kuat bahawa ia mendapatinya setelah mengeluarkan daya upayanya dengan mencari atau mengetahui masalah itu.

2. Ia tidak mengetahui masalah itu dan tidak memiliki dugaan kuat terhadap masalah itu, jika ia tidak mengetahui masalah itu dengan mantap dan juga tidak memiliki dugaan yang kuat dengan mengeluarkan daya upayanya untuk mengetahui masalah tersebut, maka ia tidak boleh mengeluarkan fatwa dan menetapkan hukum pada masalah itu, dan jika ia melakukan hal itu, maka ia akan mendapat ancaman seksaan Allah serta termasuk dalam firman Allah yang berbunyi:

Katakanlah, Rabku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak mahupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak turunkan hujah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa saja yang kamu tidak ketahui. (al-`Araf: 33). Ayat ini menerangkan bahawa pendapat tentang (ketetapan) Allah tanpa didasari ilmu, maka hal itu adalah perbuatan yang termasuk dalam empat perbuatan yang amat dilarang Allah, yang tidak dibolehkan pada setiap keadaan.

Fatwa

Untuk itu larangan keempat perbuatan ini diungkapkan dengan pembatasan menggunakan kata `hanya' juga termasuk dalam firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan kepada Allah apa yang tidak kamu ketahui. (Al-Baqarah: 168-169)

Termasuk pula sabda Nabi s.a.w. yang bersabda: Barangsiapa yang memberi fatwa tanpa didasari ilmu, maka dosanya hanya bagi orang yang memberi fatwa. Juga termasuk pada seorang hakim daripada tiga hakim yang dua di antaranya mereka berada di dalam neraka, iaitu hakim yang memutuskan perkara tanpa didasari ilmu pengetahuan. Dan juga ia mengetahui masalah itu dengan mantap atau memiliki dugaan yang kuat, maka ia tidak boleh memberi fatwa atau mengeluarkan ketetapan hukum yang sebaliknya.

Jika seseorang mengeluarkan fatwa atau menetapkan hukum tanpa didasari ilmu pengetahuan akan mendapat dosa besar, maka bagaimana halnya dengan orang yang mengeluarkan fatwa atau menetapkan sesuatu hukum de-

ngan ketetapan yang telah ia ketahui bahawa ketetapan itu bertentangan dengan ketetapan yang sebenarnya? Tidak diragukan lagi, bahawa ia telah sengaja berbuat dusta kepada Allah dan Allah telah berfirman yang bermaksud: Dan pada Hari Kiamat kamu akan melihat orang-orang yang berbuat dusta terhadap Allah, mukanya menjadi hitam. (Az-Zumar : 60).

Tidak ada yang lebih besar kezalimannya daripada orang yang mendustai Allah dan agama-Nya, dan seseorang yang memberi fatwa dengan tidak didasari pengetahuan, bererti ia telah mendustai Allah dengan kebodohan, orang-orang seperti itu lebih buruk keadaannya daripada orang yang menuduh seseorang telah berzina kerana ke-

mungkaran dilihat oleh dirinya seorang, bagi Allah ia telah melakukan dusta walaupun ia mengkhabarkan kenyataan, kerana Allah tidak mengizinkan orang itu bersaksi pada suatu perbuatan zina itu, jika Allah menganggap dusta kepada seseorang yang telah bersaksi pada suatu perbuatan zina padahal berita itu benar, maka bagaimana dengan orang yang mengkhabarkan suatu hukum ketetapan Allah sementara ia sendiri tidak tahu ketetapan Allah itu? Dan juga Allah tidak memberinya izin untuk menetapkan hukum itu atau memberi fatwa? Allah berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta ``ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.

Kebohongan

Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung. (Itu benar) kesenangan yang sedikit, dan bagi mereka azab yang pedih. (An-Nahl: 116-117). Dan firman Allah yang bermaksud: Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah dan mendustakan kebenaran ketika datang kepadanya. (Az-Zumar: 32). Berdusta kepada Allah bererti mendustai kebenaran. Allah berfirman: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah.

Mereka itu akan dihadapkan kepada Rabb mereka, dan para saksi akan berkata: Orang-orang inilah yang telah berdusta terhadap Rabb mereka. Ingatlah kutukan Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim. (Hud: 18). Walaupun ayat-ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang musyrik dan orang-orang kafir, akan tetapi termasuk pula di dalamnya untuk orang-orang yang mendustai Allah dalam tauhid, agama, nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan Allah, dan tidak termasuk dalam ayat-ayat ini bagi orang yang salah dalam ketetapan fatwanya jika ia telah mengeluarkan segala kemampuan dan daya upaya untuk mencapai kebenaran hukum Allah yang telah Allah syariatkan, kerana hal inilah (berusaha dengan segala daya upaya) yang telah Allah wajibkan kepada hamba-Nya, orang yang taat kepada Allah tidak akan mendapat ancaman seksaan Allah walaupun ia salah kerana kelalaiannya.

Pendustaan

Ibn Jarir at-Tabari merumuskan ta'wilan ayat ini di dalam kitabnya, Jami`al-Bayan seperti berikut: ``Jangan kamu campur adukkan kepada manusia hai pendita-pendita dari kalangan ahli kitab pada urusan Muhammad s.a.w. dan apa-apa yang didatangkan dengannya di sisi Tuhannya. Sedangkan kamu sangka bahawa ia dibangkitkan hanya kepada sebahagian bangsa bukan semua, atau kamu bersifat munafik pada urusannya, tetapi yang sebenarnya kamu amat maklum bahawa ia diutuskan kepada kamu semua dan semua umat yang lain. Ma-

langnya kamu campur adukkan kebenaran dengan pendustaan di samping kamu menyembunyikan dengannya apa yang kamu dapatinya pada kitab kamu daripada segala sifatnya. Bahawa ia merupakan rasul-Ku kepada seluruh manusia, sedangkan kamu mengetahui hakikatnya yang ia sebagai rasul-Ku. Begitu jua apa yang dibawa kepadamu daripada-Ku. Dan kamu mengetahui bahawa daripada perjanjian-Ku yang Aku ambilnya daripadamu sebagaimana termaktub di dalam kitabmu, ialah hendaklah ber-

iman dengannya dan dengan apa yang dibawa di samping mempercayainya.''

No Comment

Post a Comment