Hidup semula Untuk menunjukkan pembunuhnya

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


AS-SYEIKH Sya'rawi berkata dalam tafsirnya: ''Apabila berlaku khilaf di kalangan Bani Israel yang hampir-hampir membawa fitnah yang besar, akhirnya mereka membuat keputusan kembali kepada Musa a.s. supaya meminta daripada Allah Taala untuk mendedahkan kepada mereka permainan jahat jenayah tersebut, dan menunjukkan pembunuh yang sebenarnya. Kemudian Allah mengarahkan mereka menyembelih lembu betina, sehingga akhirnya mereka melaksanakannya.''

Lihatlah kebesaran dalam kisah tersebut, satu juzuk (bahagian) daripada bangkai lembu, dipukulkan kepada si mati yang kemudiannya hidup.

Kalaulah begitu permasalahnnya, ia menunjukkan bahawa Allah boleh menyediakan gambaran yang tidak menjadikan mereka ragu-ragu selamanya.

Kalau Allah menghidupkannya tanpa dipukul dengan satu juzuk daripada lembu, nescaya mereka berkata: ''Dia tidak mati dan ia hidup dalam keadaan pengsan dan sedar tetapi Allah memerintahkan mereka menyembelih lembu sehingga lembu itu mati untuk memberi pengajaran mengenai keimanan kepada mereka betapa kuasanya Tuhan.''

Ini kerana mereka merupakan golongan maddi (benda dan logik akal) yang tidak beriman kecuali kepada

maddi. Mereka mengambil satu juzuk daripada lembu dan memukul si mati yang terbunuh dengannya, lantas dia hidup dan bercakap siapa pembunuhnya. Kemudian Allah mematikannya semula.

Ini menunjukkan kepada kaum Bani Israel yang masih hidup, supaya mereka melihat betapa Allah boleh menghidupkan yang mati dan mengetahui bahawa manusia tidak kekal hidup dengan hanya berdasarkan sebab-sebab hidup tetapi dengan kehendak penyebab yang menghidupkan, yakni Allah Taala sebagaimana firman-Nya: Kun Fayakun ( jadilah, maka jadilah).

DAN (INGATLAH), KETIKA KAMU MEMBUNUH SEORANG MANUSIA, KEMUDIAN KAMU SALING MENUDUH SESAMA SENDIRI TENTANG PEMBUNUHAN ITU, PADAHAL ALLAH TETAP MELAHIRKAN APA YANG KAMU SEMBUNYIKAN.

MAKA KAMI (ALLAH) BERFIRMAN: PUKULLAH SI MATI DENGAN SEBAHAGIAN ANGGOTA LEMBU YANG KAMU SEMBELIH ITU. (MEREKA PUN MEMUKULNYA DAN IA KEMBALI HIDUP). DEMIKIANLAH ALLAH MENGHIDUPKAN ORANG-ORANG YANG TELAH MATI, DAN MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU TANDA-TANDA KEKUASAAN-NYA, SUPAYA KAMU MEMAHAMINYA. (Surah Al-Baqarah ayat 72 dan 73).

Firman Allah: 'Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia'. Ingatlah wahai Bani Israel ketika kamu membunuh seseorang. Ulama berselisih pendapat mengenai siapakah pembunuh tersebut.

-Anak-anak saudaranya sebagaimana riwayat `Atiyyah daripada Ibn Abbas.

-Dua orang anak bapa saudaranya sebagaimana pendapat Abu Salih daripada Ibn Abbas.

Berdasarkan kepada dua pendapat di atas, ia menunjukkan bahawa pembunuhnya lebih daripada seorang.

-Anak saudaranya. Inilah kenyataan as-Suddi daripada guru-gurunya dan Ubaidah.

-Saudaranya. Inilah pendapat Abd. Rahman bin Zaid.

'Kemudian kamu saling menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu'. Sehingga setiap puak mempertahankan

tohmahan serta menuduh puak yang lain. 'Padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan'. Pasti Allah menzahirkan apa yang kamu sembunyikan.

Kemudian Allah berfirman: 'Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu." (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup)'.

Dengan sebab pukulan tersebut, si mati hidup kembali. Terdapat enam pendapat berkenaan alat yang digunakan untuk memukul:

-Dengan tulang yang hampir dengan telinga. Inilah riwayat `Ikrimah daripada Ibn Abbas.

-Dengan peha. Ini juga riwayat Ibn Abbas, `Ikrimah, Mujahid dan Qatadah. `Ikrimah dan Mujahid berkata: ''Ia daripada peha kanan.

-Pendapat ketiga ialah sebahagian daripada daging yang berada antara dua belikat. Inilah pendapat as-Suddi daripada guru-gurunya.

-Bahawa ia adalah ekor, sebagaimana riwayat Laith bin Abi Sulaim daripada Mujahid.

-Bahawa Ia adalah `Ajb az-Zanab, iaitu tulang yang berada pada sulbi, sebagaimana riwayat Sa`id bin Jubair.

-Ia adalah lidah. Ini pendapat ad-Dhahhaq.

'Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati', di hadapan pancaindera kamu di mana Allah menghidupkan si mati dari kuburnya.

Sayid Qutub berkata: ''Yakni beginilah caranya Allah menghidupkan orang yang mati. Kamu melihatnya berlaku tetapi kamu tidak mengetahui bagaimana ia berlaku. Allah menghidupkan yang mati dengan cara yang mudah seperti yang demikian tanpa sebarang kesulitan dan kesukaran.

Jarak antara tabiat mati dan tabiat hidup adalah satu jarak yang amat jauh dan memeningkan kepala manusia, tetapi di dalam perhitungan Ilahi jarak ini amat kecil.

Ini adalah rahsia yang tiada

siapapun mengetahuinya dan tidak mungkin siapapun mengetahuinya.

Memahami hakikat dan kaifiyat (menghidupkan yang mati) di sini, merupakan salah satu daripada rahsia-rahsia ketuhanan.

Tiada jalan untuk mengetahuinya di alam yang fana ini, walaupun akal manusia mampu memahami maksudnya dan mengambil pengajaran daripadanya.

'Dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya'.

Iaitu Allah menghendaki menunjukkan kepadamu sebahagian daripada tanda Kudrat Kekuasaan-Nya.

Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang benar-benar berakal lagi berfikir.

Allah telah mendedahkan kepada kaum Musa, hikmah daripada penyembelihan lembu itu. Mereka telah membunuh seorang daripada kaum mereka sendiri dan setiap puak menolak tuduhan itu dan meletakkannya ke atas puak yang lain, sedangkan di sana tidak ada seorang saksi pun.

Oleh itu Allah mahu melahirkan kebenaran di atas lidah mangsa yang terbunuh itu sendiri, dan penyembelihan lembu itu merupakan satu wasilah untuk menghidupkan mangsa yang terbunuh dengan memukulnya menggunakan sebahagian anggota lembu itu.

Inilah yang telah berlaku, lalu si mati itu hidup kembali dan menceritakan sendiri siapakah pembunuhnya yang sebenar supaya segala kesangsian dan keraguan di sekitar pembunuhannya itu terlerai, dan supaya kebenaran itu tertegak serta kebatilan tumbang dengan dalil-dalil yang amat kuat.

Tetapi mengapa dengan wasilah ini, sedangkan Allah berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati tanpa wasilah?

Kemudian apakah pula hubungan lembu yang disembelih itu dengan mangsa yang terbunuh dan hidup kembali?

Mengikut adat Bani Israel, lembu-lembu itu disembelih kerana

korban.

Di sini, sepotong anggota daripada lembu yang disembelih itu dapat mengembalikan nyawa kepada jasad yang terbunuh, sedangkan anggota itu tidak mempunyai hayat dan kudrat untuk menghidupkan yang mati.

Ia hanya merupakan satu wasilah zahir yang dapat menunjukkan Kudrat Allah kepada mereka, iaitu kudrat yang tidak diketahui manusia bagaimana ia bertindak.

Mereka hanya melihat kesan-kesan kudrat sahaja, tetapi tidak mengetahui hakikatnya dan cara ia bekerja.

No Comment

Post a Comment