Nabi Ibrahim dan Ismail bina Kaabah

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Al-Quran menggambarkan pemandangan bagaimana Ibrahim dan Ismail melaksanakan perintah Allah supaya menyediakan Baitullah dan membersihkannya untuk (para pengunjung) bertawaf dan untuk penduduk-penduduk yang menetap di situ untuk orang-orang yang mendirikan ibadat solat.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.“ (Al-Baqarah: 127 & 128)

Firman Allah Taala: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, ingatlah Hai Muhammad berkenaan perkara yang begitu pelik di mana dua Rasul, Ibrahim dan anaknya Ismail telah membina asas Baitullah dan mengangkat binaannya, kemudian berdoa dengan penuh rendah diri dan membesarkan Tuhannya. Sewaktu kita menunggu-nunggu cerita selanjutnya tiba-tiba ia memperlihatkan Ibrahim dan Ismail kepada kita seolah-olah kita dapat melihat mereka dengan mata kita bukannya dengan mata khayal.

Kedua-duanya berada di hadapan kita dan telinga kita hampir-hampir mendengar suara mereka sedang berdoa kepada Allah. Al-Samarqandi menaqalkan pendapat Muqatil: ayat ini susunannya ke kadapan dan ke belakang, maknanya ialah dan ingatlah ketika Ibrahim dan Ismail mengangkat asas-asas binaan daripada Kaabah. Dan dikatakan bahawa Ibrahim yang membina Kaabah sedangkan Ismail yang menolongnya. Para malaikat memberi batu-batu kepada Ismail, mereka memindahkan batu dari lima bukit iaitu Thur Sina, Thur Zita', Judi, Lubnan dan Hira'.

Al-Alusi berkata, disebut oleh ahli sejarah berkenaan dengan Baitullah dan juga perkara yang lain seperti pintunya daripada apa, berapa kali Adam mengerjakan haji, apakah binaan yang dibina oleh Ibrahim, siapa yang membantunya dan dari mana datangnya hajar al-aswad? Hal-hal seperti ini tidaklah disebut dalam al-Quran begitu juga dalam hadis yang sahih dan sebahagiannya menafikan sebahagian yang lain, ini kerana menjadi adapun ahli sejarah dalam menaqalkan memasukkan beberapa perkara. Selepas beliau menyebut sedikit naqalan daripada ahli sejarah lantas berkata, khabar seumpama ini jika benar di sini ahlillah (wali Allah) merupakan isyarat dan perlambangan bagi siapa yang diberikan pendengaran sedangkan ia menyaksikannya.

Sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami). Apakah yang terkandung di celah-celah doa itu? Itulah adab sopan seorang nabi, keimanan seorang nabi dan perasaan seorang nabi, terhadap nilai akidah di alam wujud ini. Itulah adab sopan, keimanan dan perasaan yang mahu diajar oleh al-Quran kepada pewaris-pewaris para anbiya dan mahu ditanamkannya ke dalam hati dan perasaan mereka dengan saranan ini.

Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. Matlamat yang diharap-harapkan ialah keredaan dan limpah perkenan daripada Allah. Harapan mendapat perkenan Ilahi itu adalah bergantung kepada sifat Allah yang Maha mendengar doa (para hamba-Nya) dan Maha mengetahui dengan segala niat dan perasaan di sebalik doa itu. Di mana kedua-duanya membina dan berdoa dengan doa ini. Kemudian menambah doanya.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Itulah harapan mereka berdua untuk mendapat bantuan daripada Allah agar memberi hidayah kepada Islam dan itulah perasaan mereka yang menyedari bahawa hati mereka terletak di antara jari-jari, kudrat dan iradat Allah yang Maha Penyayang dan bahawa hidayah yang sebenar ialah Allah dan bahawa kedua mereka tidak mempunyai daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah. Mereka berdua bertawajjuh dan berdoa kepada Allah. Hanya kepada Allah yang wajar dipohon pertolongan.

Di samping itu, sifat umat muslim ialah bersatu padu yakni seluruh generasi mereka bersatu padu dalam satu akidah. Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu. Jadikanlah kami tunduk dan patuh dengan segala hukum-Mu. Itulah doa yang menggambarkan perhatian-perhatian berat hati orang yang beriman. Persoalan agama dan akidah inilah yang menjadi perhatiannya yang utama.

Keturunan

Dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan jadikanlah daripada zuriat kami yang berserah diri kepadamu dan tunduk dengan kebesaran-Mu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami. Ajarkanlah kami segala syariat ibadat kami serta ibadat haji kami. Inilah pendapat Qatadah dan Al-Suddi. Sedangkan Mujahid dan Atha' pula berpendapat sebagai tempat sembelihan kami. Al-Mawardi berkata: maksud perkataan al-manasik dua wajah:

1. Kerana ia menjadi adat dan sentiasa manusia mengunjunginya dalam ibadat haji dan umrah.

2. Bahawa nusuk ibadat kepada Allah justeru dinamakan orang yang zuhud sebagai orang yang bernusuk kerana ibadat kepada tuhannya.

Dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. Terimalah taubat kami dan rahmatlah kami kerana sesungguhnya Kamu Maha Besar keampunan dan luas kerahmatan. Di sini suka dinaqalkan pendapat Ibn Qayyim berkenaan dengan wajib segera bertaubat, beliau pernah berkata: bersegera bertaubat dari dosa adalah kefarduan yang mesti disegerakan. Tidak harus melambatkannya.

Jika ia dilambatkan maka ia dikira berdosa kerana menangguhkannya. Jika ia bertaubat dari dosa tersebut dia masih mempunyai satu taubat lagi iaitu taubat kerana melambatkan taubatnya. Jarang sekali perkara ini difikirkan oleh orang yang bertaubat. Sebaliknya jika seseorang itu bertaubat dari dosa dia menyangka dia sudah tidak perlu lagi bertaubat sedangkan dia masih berhutang satu lagi taubat iaitu bertaubat kerana melambatkan taubat. Dr. Yusof Al-Qaradhawi berkata: perkara yang paling merbahaya bagi orang yang melakukan maksiat ialah menangguh taubatnya dengan berkata “nanti aku akan kembali”, “nanti aku akan bertaubat”, akhirnya dia tidak juga bertaubat. Oleh sebab itu dikatakan ungkapan ‘nanti’ adalah salah satu tentera syaitan.

Apabila Ibrahim dan Ismail selesai melaksanakan perintah Allah membina Baitullah dan membersihkannya, kedua-duanya berdoa agar Allah jadikan mereka dan zuriat keturunan mereka umat Islam (yang menyerah diri kepada Allah), dan agar Allah bangkitkan dari kalangan keluarga mereka seorang rasul. Lalu Allah memperkenankan doa mereka dan mengutuskan dari kalangan keluarga mereka seorang rasul, Muhammad bin Abdullah s.a.w. dan bangga dengan jasa usahanya beliau telah merealisasikan kemunculan umat muslimin yang menjunjung perintah Allah dan mewarisi agama Allah.

Iktibar dan pengajaran ayat. Antaranya;

i. Perasaan Ibrahim dan Ismail terhadap nikmat keimanan yang dikurniakan Allah kepada mereka telah mendorong mereka mengharapkan pengurniaan yang sama kepada zuriat keturunan mereka dan berdoa supaya Allah tidak menafikan pengurniaan yang tiada tolok bandingnya itu kepada anak-anak cucu mereka.

ii. Allah Maha Pemurah. Justeru janji-Nya bahawa Ia akan memakbulkan doa, thabit dalam al-Quran dan hadis tetapi perlu mengikut dan mematuhi adab-adab doa sama ada adab zahir mahupun batin.

iii. Memohon supaya sentiasa dikekalkan dalam hidayah dan taufik serta istiqamah dengan Islam merupakan permintaan para Nabi yang terdahulu. Justeru sewajarnya kita memohon dan meminta kepada Allah supaya ditetapkan hati-hati kita dalam ketaatan dan agama-Nya yang sebenar sehingga ke hujung usia.

iv. Al-Samarqandi berkata: Ayat di atas menjadi dalil bahawa manusia apabila melakukan kebaikan sayugia berdoa terhadap Allah supaya diterima. Dan dikatakan, hendaklah manusia merasa takut atas penerimaan amal selepas selesainya lebih daripada amalan itu sendiri, ini kerana Allah mensyaratkan penerimaan doa semata-mata dari orang-orang yang bertakwa sahaja seperti dalam nas al-Quran.

No Comment

Post a Comment