Yahudi mengingkari Rasulullah kerana dengki
Oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Syeikh Sya'rawi berkata: “Ayat yang mulia ini mengandungi peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas Peperangan Uhud. Dalam Peperangan Uhud, Rasulullah s.a.w. telah meminta kumpulan pemanah yang ditempatkan di sebuah bukit kecil supaya jangan turun sama ada orang Islam menang atau kalah.”
Tetapi tatkala kemenangan hampir menjelma pada peringkat awal, sebahagian golongan pemanah terlupa arahan Rasulullah s.a.w. itu dan ingin menyertai rakan taulannya memungut harta ghanimah. Ini mengakibatkan mereka mengalami kekalahan. Walaupun begitu, golongan kuffar tidak mampu mentahqiqkan kemenangan yang mutlak iaitu menjajah kota Madinah dan kekal di sana. Sebaliknya mereka pulang ke Mekah.
Apabila orang Islam ingin mencabar untuk kali kedua, mereka mendapati tiada orang. Dalam situasi seperti ini, orang Yahudi Madinah ingin mengambil kesempatan dengan cuba memujuk sahabat Nabi seperti Huzaifah bin al-Yaman, Tariq bin Yasir dan lain-lain. Tetapi mereka tidak berjaya. Dengan tegas mereka menjawab dan menolak pujukan tersebut.
Antara lain kata `Ammar dalam jawapannya, “Sesungguhnya aku beriman dengan Allah sebagai Tuhan, aku beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, aku beriman dengan Kitab sebagai penghulu, aku beriman dengan Kaabah sebagai kiblat, aku beriman bahawa seluruh orang beriman sebagai saudara dan sentiasalah aku dalam keadaan ini selama mana nyawa dikandung badan.” Rasulullah s.a.w. amat gembira dengan sikap mereka yang beriman.
Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w.). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah: 109)
Firman Allah, banyak di antara, betapa seninya ta'bir al-Quran apabila mengungkapkan min yang memberi makna sebahagian. Seolah-olah menyatakan sebahagian sahaja di kalangan mereka yang ingin memurtadkan orang beriman dari agama mereka.
Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) iaitu terlalu banyak cita-cita dan angan-
angan di kalangan Yahudi dan Kristian. Sebab turunnya ayat ini seperti mana kata Ibn al-Jauzi dalam kitabnya Zad al-Masir, “Bahawa Huyai bin Akhtab dan Abu Yasir, kedua-duanya bersungguh menghalang manusia daripada memeluk Islam. Lantas turunnya ayat ini.” Inilah pendapat Ibn Abbas.
Al-Samarqandi dalam tafsirnya yang dikenali dengan Bahr al-`Ulum menyebut, ayat ini diturunkan tatkala orang Islam diuji dalam Peperangan Uhud, golongan Yahudi mengambil kesempatan memujuk Ammar bin Yasir dan Huzaifah bin al-Yaman seraya berkata: “Kamu telah terkena bala dan musibah. Justeru, eloklah kamu kembali kepada kami yang jauh lebih baik bagimu.” Lantas turunnya ayat ini. Inilah juga pendapat Muqatil.
Bahawa Ka`ab bin al-Asyraf telah memaki Nabi s.a.w di samping mengajak dan menyeru kepada golongan kafir Quraisy dalam bentuk syairnya menentang Rasulullah s.a.w.. Golongan musyrikin dan Yahudi Madinah menyakiti Rasulullah ketika mula datangnya hijrah tetapi Nabi s.a.w. menyuruh supaya mengabaikan mereka. Kemudian turunnya ayat ini. Inilah pendapat Abdullah bin Ka`ab bin Malik.
Adapun makna wadda ialah suka dan bercita-cita sedangkan maksud Ahli Kitab ialah golongan Yahudi. Suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman. Kalaulah mereka dapat menukarkanmu menjadi kufur selepas kamu beriman kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri Ini kerana sifat hasad mereka terhadapmu membawa mereka bernafsu jahat. Hal ini kerana hasad manusia tidak berlaku kecuali dirinya sendiri. Dan maknanya kasih sayang mereka atau sukanya mereka supaya kamu kufur. Ini daripada diri mereka. Bukan kebenaran. Dan makna hasad ialah suka supaya hilangnya nikmat daripada orang yang dihasad sekalipun penghasad tidak mendapatnya. Betapa bahayanya sifat ini disebut di dalam banyak kitab. Antaranya kitab Tanbih al-Ghafilin oleh al-Samarqandi, meriwayatkan daripada al-Hasan, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat sebagai mana api memakan kayu.”
Daripada Abd al-Rahman bin Mu`awiyah berkata, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Tiga jenis sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorangpun prasangka buruk, hasad dan takut sial kerana sesuatu.” Lalu ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana untuk selamat daripada semua itu? Jawab Nabi s.a.w.: “Jika kamu hasad maka jangan kamu lanjutkan. Dan jika menyangka maka jangan kamu buktikan (jangan kamu cari-cari kenyataannya). Dan jika merasa takut dari sesuatu, maka teruskanlah (jangan mundur). Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kamu lahirkan dalam amal perbuatanmu, sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah memaafkan selama mana belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika suu' zan maka jangan kamu buktikan, jangan berusaha menyelidiki untuk mencari kenyataannya. Demikian pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang menimbulkan was-was dalam hati, maka teruskan hajatmu dan jangan mundur.”
Benci-membenci
Daripada Abu Hurairah berkata, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Jangan benci-membenci dan jangan hasad-
menghasad, dan jangan menawar barang untuk menjerumuskan orang lain, dan jadilah kamu hamba Allah sebagai saudara.”
Seterusnya nasihat-nasihat sahabat dan ulama:
Mu`awiyah bin Abi Sufyan berkata kepada puteranya, “wahai anak, hati-hatilah (awaslah) daripada hasad dengki kerana itu akan nyata pada dirimu sebelum bahayanya tampak nyata pada musuhmu.”
Abu al-Laith al-Samarqandi berkata: “tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasad, sebab penghasad itu akan terkena lima bencana sebelum terkena apa-apa yang dihasad.”
1. Risau hati yang tidak putus-putus. 2. Bala yang tidak berpahala.
3. Tercela yang tidak baik.
4. Dimurkai Tuhan.
5. Tertutup padanya pintu taufik.”
Malik bin Dinar berkata, “saya dapat menerima persaksian orang qurra' terhadap siapapun, tetapi tidak dapat menerima persaksian terhadap sesama qurra', sebab di antara mereka ada rasa iri hati dan hasad-menghasad.”
Al-Ahnaf bin Qays berkata, “orang hasad tidak dapat senang, orang bakhil tidak berbudi, tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu, tidak ada kemanusiaan bagi pendusta, tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang rosak moral (tidak berakhlak).”
Seorang hakim (cendekiawan) berkata, “belum pernah saya melihat seseorang pun zalim menyerupai orang yang dianiayai daripada penghasad.”
Muhammad bin Sirin bertanya, “saya tidak dapat menghasad orang atas sesuatu daripada dunia, jika dia ahli syurga, maka bagaimana saya akan iri hati padahal dia ahli syurga, dan jika dia ahli neraka maka untuk apa hasad terhadap orang yang bakal masuk ke neraka.”
Al-Hasan al-Basri berkata, “hai anak Adam, mengapakah kamu iri hati terhadap saudaramu, maka jika Allah memberi sesuatu kepada orang yang kamu hasad itu kerana kemuliaannya di sisi Allah, maka untuk apakah kamu hasad kepada orang yang dimuliakan, jika tidak demikian maka untuk apakah kamu hasad kepada orang-orang yang akan masuk neraka.”
Abu al-Laith al-Samarqandi berkata, “tiga jenis orang yang tidak akan diterima doanya.
1. Orang yang makan sesuatu yang haram.
2. Orang yang suka ghibah (menceritakan keburukan orang).
3. Siapa yang dalam hatinya ada hasad dengki atau iri hati terhadap kaum Muslimin.”
Sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w.). Selepas daripada zahir segala bukti yang kukuh bahawa agamamu adalah yang sebenarnya. Itulah pengaruh hasad dengki di jiwa mereka. Ia menimbulkan keinginan merampas kebaikan orang lain. Mengapa? Mereka berbuat demikian bukan kerana jiwa mereka yang jahat itu tidak mengetahui tetapi mereka berbuat begitu kerana mereka benar-benar mengetahui. Hasad dengki ialah perasaan hitam yang hina yang melimpah dalam jiwa kaum Yahudi terhadap Islam dan kaum muslimin dan perasaan ini masih terus melimpah. Perasaan inilah yang melahirkan semua komplot dan perancangan-perancangan jahat kaum Yahudi yang berterusan.
Al-Quran mendedahkan motif hasad ini kepada kaum Muslimin supaya mereka tahu dan menyedari bahawa hasad dengki itulah punca yang wujud di belakang setiap usaha kaum Yahudi yang mahu menggugat akidah dalam jiwa mereka dan mengembalikan mereka selepas itu kepada kekufuran seperti mereka, sedangkan kaum Muslimin telah diselamatkan Allah daripada kekufuran dengan keimanan. Oleh kerana itu Allah menganugerahkan kepada mereka sebesar-besar kurnia dan semulia-mulia nikmat yang dicemburui oleh kaum Yahudi. Di sini, di saat terdedahnya hakikat ini dan ketaranya niat jahat dan hasad dengki yang hina ini - al-Quran menyeru orang yang beriman supaya jangan membalas hasad dengki mereka dengan hasad dengki juga, kejahatan mereka dengan kejahatan yang setimpal, ia menyeru mereka supaya memberi kemaafan kepada mereka sehingga diputuskan Allah pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya.
No Comment
Post a Comment