Allah perintah berkiblatkan Kaabah
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SYEIKH al-Maraghi berkata: Selepas Allah mendirikan segala hujah terhadap ahli kitab dinyatakan bahawa mereka amat mengetahui bahawa Muhammad s.a.w. merupakan Nabi yang sebenar dan mereka mengenalinya sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka.
Begitu juga ingkar mereka berkenaan dengan penukaran kiblat semata-mata kerana takbur dan penentangan. Ini kerana bila thabit kenabiannya adalah setiap apa yang dilakukannya, sesungguhnya ia adalah wahyu daripada Tuhannya. Disebut di sini bahawa setiap umat baginya kiblat yang dihadap. Dan wajib menyerahkan hal ini kepada arahan wahyu. Firman Allah s.w.t.:
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan. Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar). (al-Baqarah: 148-150)
Firman Allah, Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya. Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan tafsiran (huwa) iaitu Dia:
(i) Kembali kepada Allah. Yakni Allah yang memerintahkan mereka mengadap kepadanya iaitu kiblat.
(ii) Kembali kepada yang memerintahkannya dengan sendirinya.
(iii) Kembali kepada rumah Allah. Inilah pendapat Mujahid.
Seterusnya firman Allah, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, iaitu dengan bersegera. Qatadah berkata: Jangan kamu kalahkan atas kiblat kamu. Al-Qurtubi berkata: Iaitu berlumba-lumbalah apa yang Allah perintahkan kamu daripada mengadap Baitullah al-Haram sekalipun gesaan bersegera kepada seluruh amalan, ketaatan dengan umum tetapi dikehendaki dengan mengadap kiblat berdasarkan ayat-ayat seterusnya.
Makna bersegera dengan solat ialah pada awal waktunya, wallahu`alam. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w., sebagaimana riwayat Daraqutni daripada Ibn Umar: Sebaik-baik amalan ialah solat pada awal waktunya. Dan dalam hadis riwayat Ibn Mas’ud menyebut awal waktunya.
Begitu juga riwayat daripada Ibrahim bin Abd al-Malik, daripada Abi Mahzurah, daripada ayahnya, daripada datuknya, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Awal waktu merupakan keredhaan Allah, pertengahan waktu merupakan rahmat Allah dan akhir waktu merupakan keampunan Allah.
Ibn al-Arabi menambah; maka berkata Abu Bakar: Keredhaan Allah lebih suka kepada kami dari keampunannya kerana keredaan-Nya untuk orang yang baik dan muhsinin sedangkan keampunannya untuk orang yang cuai. Inilah yang dipilih oleh Imam Syafie.
Firman Allah, Kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan). Ibn Abbas menafsirkan dengan maksud hari ini pada hari kiamat.
Firman Allah, Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, iaitu Allah Maha Berkuasa dan tiada sesuatupun yang dapat menghalang.
Sayid Qutub berkata: Kemudian dikemukakan pula penjelasan bagi kali yang ketiga kerana sesuatu tujuan baru yang lain, iaitu untuk mematahkan hujah kaum Ahli Kitab dan hujah golongan yang lain dari mereka yang melihat kaum Muslimin mengadap ke arah kiblat kaum Yahudi lalu menyebabkan mereka percaya kepada kebenaran apa yang digembar-gemburkan oleh kaum Yahudi.
Ia adalah tentang kelebihan agama mereka yang mengatasi agama yang dibawa oleh Muhammad, dan tentang keunggulan kiblat mereka yang mengertikan keunggulan agama mereka atau (untuk mematahkan hujah) kaum musyrikin Arab yang menggunakan isu mengadap kiblat Bait al-Maqdis itu sebagai senjata untuk menghalang orang-orang Arab yang memandang suci kepada Bait al-Haram itu dan meliarkan mereka dari memeluk Islam yang menghendaki penganut-penganutnya mengadap kepada kiblat Bani Israel.
Benarlah firman Allah: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah). Ini merupakan ta’kid dan penguat bagi perintah mengadap Kaabah serta prihatin dengannya, kerana tempat berpaling merupakan kesukaran bagi jiwa dan diri mereka. Justeru dikuatkan perintah dengan melihat manusia prihatin dengannya untuk tenang.
Dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, yakni wajib mengadap kiblat walaupun dalam musafir. Sekalipun kita berada di mana sahaja di muka bumi ini.
Benarlah hadis riwayat Daraqutni, daripada Anas bin Malik katanya: Adalah Nabi s.a.w. apabila dalam musafir dan hendak melaksanakan solat ketika di atas tunggangan nescaya ia menghadap kiblat dan bertakbir kemudian solat di mana sekalipun dihadapkan selepas itu. Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Daud juga dan dengannya merupakan pendapat Imam Syafie, Ahmad dan Abu Thaur. Sedangkan dalam mazhab Imam Malik tidaklah melazimi dan wajib mengadap kiblat berdasarkan hadis Ibn Umar katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. solat sedangkan ia mengadap dari Mekah ke Madinah atas tunggangannya.
Supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Mujahid berkata: Mereka adalah golongan musyrikin arab dan hujah mereka adalah kenyataan mereka; kamu telah kembali ke arah kiblat kami
Dan sesungguhnya dijawab daripada ini dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Katakanlah bagi Allah lah yang mempunyai timur dan barat. Al-Syaukani berkata: Mereka adalah golongan Yahudi dan dikehendaki dengan orang yang zalim ialah yang ingkar di kalangan ahli kitab dan pendapat ini dipersetujui oleh al-Qurtubi.
Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada-Ku (semata-mata). Perasaan takut asalnya ialah ketenangan pada hati yang membangkitkan untuk menjauhkan segala larangan Allah sehingga boleh membawa kepada ringannya anggota badan untuk melaksanakan ketaatan. Al-Qurtubi berkata: Makna ayat ini ialah merasa hina bagi setiap makhluk selain Allah s.w.t. dan arahan untuk meraikan segala arahan Allah.
Dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar). Al-Zajjaj berkata: Supaya aku sempurnakan nikmat atas kamu dengan cara aku memperkenalkan kepadamu kiblatku dan penyempurnaan nikmat ialah hidayah dan petunjuk ke arah kiblat, dikatakan juga masuknya syurga. Sa`id bin Jubair berkata: Tidak sempurna mendapati nikmat Allah atas seseorang hamba sehingga dimasukkan ke dalam syurga.
Iktibar ayat:
Antara iktibar dan pengajaran yang di ambil ialah:
1. Kiblat merupakan perkara yang diserah kepada wahyu yang tidak boleh dibangkang berdasarkan logik akal.
2. Sifat muslim sejati ialah berlumba-lumba dalam melaksanakan pelbagai jenis ketaatan.
3. Takut yang sebaik-baiknya ialah kepada Allah yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Natijah daripada takut kepada-Nya akan ditambah dan disempurnakan nikmat dan hidayah.
No Comment
Post a Comment