Allah perintah menghadap Kaabah

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


SYEIKH Sya'rawi di dalam tafsirnya berkata: Ayat ini untuk menyucikan dan membersihkan masalah penghadapan Muhammad s.a.w. dan umat Islam ke Kaabah, ganti dari Bait al-Maqdis.

Ini perkara yang dinasakhkan di dalam al-Quran. Allah menghendaki di sini untuk memberi inayah yang selayaknya kerana ia sudah pasti menjadi punca keraguan dan perdebatan yang hangat dari setiap yang menentang dan ingkar kepada Islam.

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangan) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah wahai Muhammad: Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka kemana sahaja kita diperintahkan Allah mengadapnya wajiblah kita mematuhi-Nya); Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus. (al-Baqarah: 142)

Firman Allah s.w.t: Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangan) akan berkata iaitu golongan yang lemah akalnya. Asal perkataan bodoh atau safah pada bahasa Arab memberi maksud ringan dan nipis. Dikatakan baju yang yang safih apabila jahitan atau tenunannya nipis atau cepat rosak. Angin yang safah bermaksud bertiup dan condong. Yang dimaksudkan lemah disini ialah lemah daripada mendapati kebenaran sekalipun cerdik dari segi keduniaan.

Bagi menjelaskan lagi maksud bodoh dinyatakan di sini beberapa pendapat ulama. Seperti yang disebut dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, bodoh membawa maksud sukar mengerti atau mempelajari sesuatu, bebal, dungu, atau tolol. Seterusnya dinaqalkan pendapat Nabi Muhammad, sahabat, ulama dan cerdik pandai:

Pertama: Sabda Rasulullah yang bermaksud: Dan orang yang lemah (bodoh) siapa yang mengikut hawa nafsunya, dan bercita-cita ke atas Allah dengan berangan-angan.

Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Hakim, al-Quda’ie dan al-‘Askari.

Kedua: Abu Hazim, Salamah bin Dinar pernah ditanya oleh Khalifah Sulaiman bin ‘Abd. al-Malik beberapa persoalan, antaranya: Siapakah yang paling bodoh di kalangan manusia? Jawabnya: Lelaki yang mengikut hawa nafsu sahabatnya sedangkan sahabatnya zalim, maka beliau menjual akhiratnya dengan dunia yang lainnya.

Ketiga: Pujangga berkata, orang yang bodoh adalah orang yang memerlukan orang untuk mencelanya, orang yang fakir adalah orang yang menganggap sedikit terhadap sesuatu yang banyak, dan orang yang buta adalah orang yang tidak boleh melihat cela dirinya.

Keempat: Masruq berkata: Cukup seseorang menjadi bodoh, sombong dengan amalnya.

Kelima: Pujangga berkata: Tanda kebodohan itu adalah membuang waktu, menangguh-nangguhkan taubat, bergantung kepada orang lain, derhaka kepada ibu bapa, dan menyebarkan rahsia orang lain.

Keenam: Pujangga berkata: Terlalu banyak bergaul adalah kebodohan, percaya kepada siapa sahaja adalah kebodohan dan meminta tolong kepada mereka adalah kesialan.

Ketujuh: Ahli Hikmah berkata: Enam perkara menunjukkan kebodohan:

a. Marah tidak pada tempatnya. Seperti marah pada seseorang, binatang atau lain-lainnya.

b. Bicara yang tidak berguna, kerana itu seharusnya seorang yang berakal tidak berkata kecuali jika penting dan berguna.

c. Pemberian yang tidak pada tempatnya seperti boros harta atau memberi kepada orang yang tidak akan berguna baginya.

d. Membuka rahsia kepada orang lain.

e. Percaya kepada semua orang.

f. Tidak membezakan antara kawan dengan lawan, kerana itu harus mengetahui siapa musuh dan siapa kawan. Kawan untuk ditaati dan musuh untuk diawasi, dan musuh yang utama ialah syaitan, yang benar-benar harus dijauhinya.

Ibn al-Jauzi berkata terdapat tiga pendapat berkenaan dengan golongan yang dianggap bodoh:

i. Mereka adalah golongan Yahudi. Inilah pendapat al-Bara bin `Azib, Mujahid dan Sa'id bin Jubair.

ii. Mereka adalah ahli Mekah seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn `Abbas.

iii. Mereka adalah golongan munafikin, telah menyebutnya oleh al-Suddi dari Ibn Mas’ud dan Ibn ‘Abbas.

Imam al-Nasafi berkata: Golongan Yahudi dianggap bodoh kerana mereka benci mengadap Kaabah dan tidak melihat masalah nasakh, golongan munafikin dianggap bodoh kerana loba mereka untuk menghina dan mencerca Islam atau golongan Musyrikin dianggap bodoh kerana ucapan mereka yang benci kiblat nenek moyang mereka.

Al-Sobuni menaqalkan pendapat al-Zamakhsyari berkenaan dengan faedah mengkhabarkan sebelum berlakunya: Faedah mengkhabarkan hal ucapan mereka yang belum berlaku sebagai meletakkan jiwa kerana kedatangan secara mengejut perkara yang dibenci adalah lebih teruk dan menyediakan jawapan adalah perlu untuk memutuskan hujah lawan seperti kata pepatah, sebelum memanah disediakan anak panah.

Apa sebabnya yang menjadikan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini? Sayid Qutb berkata, adalah keterangan ini merupakan permulaan bagi perisytiharan perubahan kiblat yang akan disebut di dalam ayat selepas ini, di samping ia merupakan sebagai keterangan untuk menghapuskan desas-desus dan pertanyaan-pertanyaan yang diketahui Allah akan digembar-gemburkan oleh orang-orang yang bodoh, atau sebagai jawapan terhadap desas-desus yang telah dihamburkan mereka sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis yang telah lepas.

Al-Quran menggunakan pengungkapan ‘akan berkata’ untuk menyarankan bahawa apa yang telah diketahui rancangannya dan memang telah disediakan jawapannya. Ia merupakan salah satu cara yang memberi kesan yang amat mendalam.

Imam al-Baghawi berkata, diturunkan kepada golongan Yahudi dan Musyrikin Mekah yang melemparkan tuduhan berhubung dengan pertukaran kiblat daripada Bait al-Maqdis ke Mekah mereka berkata kepada golongan musyrikin Mekah sesungguhnya Muhammad telah terkeliru berkenaan dengan agamanya, justeru ia amat suka kepada tempat kelahirannya dan kembali mengadap negeri mu dan dia akan kembali kepada agamamu, lantas Allah menurunkan ayat ini.

Katakanlah wahai Muhammad: Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka kemana sahaja kita diperintahkan Allah mengadapnya wajiblah kita mematuhi-Nya) Allah menerima penghadapan kita kepadanya sama ada timur atau barat. Lima pendapat berkenaan masa solat Nabi ke Bait al-Maqdis selepas hijrah.

i. Enam belas bulan. Inilah pendapat al-Bara Bin ‘Azib.

ii. Tujuh belas bulan. Inilah pendapat Ibn ‘Abbas

iii. Tiga belas bulan. Inilah pendapat Mu’az bin Jabal.

iv. Sembilan bulan. Inilah pendapat Anas Bin Malik.

v. Lapan belas bulan. Inilah pendapat Qatadah. Beliau juga berpendapat dengan enam belas bulan.

Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus. Iaitu kepada hamba-Nya yang beriman ke jalan yang benar yang membawa kebaikan kepada dua negeri. Al-Samarqandi menaqalkan riwayat daripada Abu al-Rayyahi yang berkata: Aku lihat masjid Nabi Allah Soleh sedangkan kiblatnya mengadap Kaabah, begitu juga katanya adalah Musa a.s. solat daripada batu Sakhrah mengadap ke Kaabah, sebenarnya Ka’ah merupakan kiblat para Nabi semuanya.

Antara pengajaran ayat ialah:

i. Sifat orang yang bodoh adalah sama, iaitu mengulang kebodohannya walaupun sudah diberitahu.

ii. Golongan kafir terutamanya Yahudi sentiasa mencari jalan memusuhi Islam.

iii. Hidayah yang sebenarnya datangnya daripada Allah, justeru hendaklah kita memohon kepada-Nya untuk mendapat hidayah.

No Comment

Post a Comment