Allah sangkal syurga untuk Israel
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SYEIKH al-Maraghi berkata: “Ini merupakan dalil betapa kerasnya hati-hati mereka dan rosaknya pemikiran mereka. Justeru, jangan diharap daripada mereka sebarang hidayat serta tidak perlu tamak untuk berfikir dan mengkaji hal mereka selepas berlakunya kecacatan akal dan lemahnya hati. Ayat-ayat ini menerangkan berkenaan dengan peristiwa di kota Mesir sebelum berlakunya penurunan kitab Taurat. Begitu juga apa yang disebut berkenaan dengan segala nikmat di sana dari negeri yang dijanjikan.”
Sayyid Qutub berkata: “Mereka telah membuat pelbagai dakwaan yang panjang lebar, iaitu mereka adalah umat pilihan Allah s.w.t.. Merekalah satu-satunya umat yang mendapat hidayat dan umat yang akan mendapat kejayaan di negeri akhirat, sedangkan umat-umat yang lain daripada mereka tidak akan mendapat apa-apa habuan di sisi Allah di akhirat. Dakwaan ini juga bererti bahawa orang-orang yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. tidak akan mendapat apa-apa habuan di akhirat. Matlamat pertama mereka ialah untuk menggoncangkan kepercayaan kaum Muslimin terhadap agama mereka dan terhadap janji-janji Rasulullah s.a.w. dan al-Quran kepada mereka. Oleh itu, Allah s.w.t. memerintahkan Rasulullah s.a.w. supaya mengajak kaum Yahudi bermubahalah, iaitu kedua-dua pihak sama berdiri dan berdoa agar Allah membinasakan mana-mana pihak yang berdusta.”
Keadaan ini dijelaskan menerusi al-Quran yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar.
Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu. (Al-Baqarah: 94 dan 95)
Al-Syaukani berkata dalam tafsirnya Fath al-Qadir: “Ia merupakan bangkangan terhadap mereka kerana dakwaan bahawa mereka sahaja yang masuk syurga sedangkan yang lain tidak. Justeru, diilhamkan kepada mereka dengan apa yang nyata bahawa sebenarnya mereka berbohong pada dakwaan tersebut dan keluar daripada mereka tanpa sebarang hujah dan bukti.”
Telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu). Iaitu katakanlah wahai Muhammad, jika sekiranya syurga untukmu sahaja yang tidak disekutukan dengan yang lain sebagaimana yang kamu sangka. Adalah orang Yahudi menyangka bahawa Allah tidak menciptakan syurga kecuali untuk Israel dan zuriat keturunannya. Lantas turun ayat ini. Dan daripada dalil bahawa mereka mengetahui yang Nabi s.a.w. adalah benar di mana mereka amat takut untuk bercita-cita mati. Dan ini sebesar-besar dalil atas kebenaran Nabi s.a.w. bahawa dia telah mengkhabarkan bahawa Yahudi tidak sanggup bercita-cita untuk mati. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn al-Jauzi dalam tafsirnya, Zad al-Masir.
Syurga
Sedangkan al-Samarqandi dalam tafsirnya Bahr al-‘Ulum berkata: Iaitu syurga, yang demikian itu kerana orang-orang Yahudi berkata: “Sesungguhnya syurga hanya bagi kami khusus bukan sekalian manusia. Lantaran itu, Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi-Nya Muhammad s.a.w. supaya berkata kepada Yahudi: Jika sekiranya perkara ini seperti dakwaan mereka bahawa syurga hanya untuk kamu sahaja maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar.” Iaitu mereka cintakan kematian yang boleh menyampaikan mereka ke syurga. Ini kerana nikmat kehidupan ini tiada nilai langsung jika dibandingkan dengan nikmat akhirat. Dan siapa yang menyangka bahawa dia adalah daripada ahli syurga, maka hendaklah dia cintakan kepadanya. Firman Allah seterusnya membangkang ke atas mereka berkenaan dakwaan yang dusta itu.
Sayyid Qutub berkata: “Cabaran ini diiringi pula dengan suatu kenyataan yang menerangkan bahawa mereka tidak akan menerima mubahalah itu dan tidak akan menuntut kematian. Ini kerana mereka tahu bahawa mereka adalah pembohong.
“Mereka takut Allah s.w.t. membinasakan mereka kerana mereka tahu bahawa segala perbuatan yang mereka lakukan itu tidak akan membolehkan mereka menerima apa-apa bahagian di akhirat. Ini bererti mereka akan mengalami kerugian dunia dengan kematian yang didoakan mereka dan akan mengalami kerugian akhirat dengan amalan-amalan jahat yang dilakukan mereka.
“Oleh sebab itulah mereka tidak akan menerima cabaran itu kerana mereka adalah golongan manusia yang paling sayang kepada kehidupan dunia. Dalam hubungan ini mereka sama sahaja dengan golongan musyrikin.”
Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Iaitu sekali-kali mereka tidak bercita-cita mati selama mana mereka hidup dengan sebab dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Al-Zajjaj berkata: Ayat ini merupakan sebesar-besar hujah dan dalil atas kesahihan risalah Nabi s.a.w. kerana ia berkata kepada golongan Yahudi, maka hendaklah kamu bercita-cita mati, mengajar serta memberitahu bahawa mereka sekali-kali tidak mahu bercita-citanya untuk mati walaupun seorang di kalangan mereka.
Mengetahui
Dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu. Iaitu Allah Maha Mengetahui dengan kezaliman dan jenayah, di mana mereka pasti dibalas. Dan sesungguhnya faedah kenyataan ini adalah bahawa Allah Maha Mengetahui untuk memberi pembalasan ke atas mereka.
Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya berkata: Sesungguhnya Allah telah memutuskan hukuman terakhir dalam perkara pilihan bagi musuh yang memerangi Islam. Dan katanya, sesungguhnya musuh ini ialah golongan Yahudi yang tidak bercita-cita mati dan mungkin mereka yang memahami cabaran ini berkata: “Kami bercita-cita mati dan memohon daripada Allah, akan tetapi sehingga kini tidak terlintas dalam benak fikiran mereka kerana jika Allah menghukum dalam perkara ikhtiari (pilihan) sudah pasti Dia mencabut daripada musuh agama segala fikiran – fikiran atau lintasan yang boleh mereka gunakan untuk menghancurkan agama.”
Rasulullah s.a.w. juga menasihatkan kita supaya jangan bercita-cita mati dengan sebab ujian daripada Allah yang menimpa kita. Sebaliknya hendaklah bersabar atas takdir Ilahi. Inilah orang Islam, sifatnya minta tolong dengan Allah dan bersabar dalam menghadapi segala situasi. Semoga Allah mengurniakan kepada kita sifat kesabaran. Amin.
No Comment
Post a Comment