Azab Allah kekal bagi mereka yang derhaka arahan-Nya
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Sayyid Qutub berkata: “Ayat-ayat yang berikut terus menceritakan kepada orang-orang Islam tentang keadaan-keadaan dan pendirian-pendirian kaum Yahudi yang memperlihatkan kederhakaan, putar belit, penyelewengan dan memungkiri janji. Di sini al-Quran bersemuka dengan orang-orang Yahudi di hadapan mata kaum Muslimin.”
“Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak daripada kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedangkan perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu daripada antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.’’ (al-Baqarah: 85 dan 86)
Firman Allah Taala, kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Kamu juga yang membatalkan dan melanggar perjanjian hai Yahudi selepas kamu mengakuinya. Kemudian kamu membunuh saudara seagamamu dan melakukan jenayah tersebut di mana ia dilarang daripadanya.
Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir menaqalkan riwayat al-Suddi daripada guru-gurunya. Katanya: “Adalah Bani Quraizah merupakan sekutu bagi al-Aus. Dan Bani Nadhir pula sekutu bagi al-Khazraj. Mereka saling memerangi dalam peperangan Samir, lantas Bani Quraizah berperang bersama sekutunya al-Nadhir dan sekutu-sekutunya. Mereka membunuh dan memusnahkan negeri serta menghalau kaum lain darinya. Maka apabila salah seorang daripada dua kumpulan ditawan, mereka sanggup menebusnya sehingga orang Arab mencela perbuatan mereka seraya berkata: ‘Bagaimana kamu boleh memerangi mereka kemudian kamu menebus mereka pula?’ Mereka berkata: ‘Kami diperintah untuk menebus mereka dan haram ke atas kami membunuh mereka.’ Lantas orang Arab berkata: ‘Kalau begitu, kenapa kamu memerangi mereka?’ Mereka menjawab: ‘Kami malu untuk berasa hina bersama sekutu-sekutu kami.’ Justeru, Allah s.w.t. menghina mereka.
“Dan kamu usir satu puak daripada kaum kamu keluar dari kampungnya; tanpa kamu melihat kepada perjanjian yang kamu ambil dan pegang. Kamu pula bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; kamu tolong-menolong dalam melakukan maksiat dan kezaliman padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; kamu sanggup menebus dengan harta bagi membebaskan mereka.
“Sedangkan perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Maka bagaimana mungkin kamu menghalalkan pembunuhan dan pengusiran daripada negeri sedangkan kamu tidak menghalalkan untuk meninggalkan tawanan di tangan musuh-musuh mereka?
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Dikehendaki dengan celaan di sini kerana mereka menghimpunkan antara kekufuran dan keimanan. Kufur dengan sebahagian ayat-ayat Allah dikira kufur dengan seluruh kitab. Justeru, Allah mengiringi ayat dengan kenyataan-Nya.”
Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil menaqalkan daripada al-Suddi: “Allah mengambil ke atas mereka empat perjanjian; meninggalkan pembunuhan, meninggalkan buang negeri, meninggalkan penentangan dan menebus tawanan. Lantas mereka berpaling daripada setiap arahan dengannya kecuali menebus sahaja.”
Sayyid Qutub berkata: “Inilah perbuatan membatalkan perjanjian yang diancam Allah dengan balasan kehinaan dalam kehidupan dunia dan balasan azab yang lebih dahsyat di akhirat. Di samping ancaman secara halus bahawa Allah tidak lalai dan cuai terhadap tindak-tanduk mereka.”
Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu daripada antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia. Sebagai balasan siapa yang beriman dengan sebahagian dan kufur dengan sebahagian kecuali menempah kehinaan dan kemurkaan sejak di dunia lagi.
Yang dimaksudkan dengan kehinaan di sini ialah:
- Dikenakan bayaran jizyah. Inilah pendapat Ibn ‘Abbas r.a.
- Dibunuh Bani Quraizah dan dibuang negeri Bani Nadhir. Inilah pendapat Muqatil.
Dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat.
Ini kerana azab Allah bersifat kekal, tidak putus dan berakhir. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. Ini merupakan ancaman yang keras kepada sesiapa yang menderhaka arahan Allah. Kemudian ayat yang berikut berpaling kepada kaum Muslimin dan manusia keseluruhannya untuk mengumumkan hakikat kaum Yahudi dan hakikat perbuatan mereka.
Seterusnya Allah mengkhabarkan punca dan sebab terjadinya maksiat dan melampau. Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; mereka disifatkan dengan sifat-sifat hodoh dan buruk demikian kerana mereka menukar kehidupan dunia dan akhirat.
Ibn Abbas r.a. berkata: “Mereka ialah golongan Yahudi sedangkan Muqatil pula berpendapat mereka yang menjual akhirat dengan tujuan untuk mendapatkan sedikit habuan daripada mata benda dunia.”
Maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat). Tidak ada suatu masa pun hukuman terpisah daripadanya dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.
Sayyid Qutub berkata: “Dengan pengumuman itu jelaslah betapa dustanya dakwaan mereka bahawa mereka tidak akan disentuh api neraka kecuali beberapa hari sahaja. Sebenarnya kedudukan mereka di akhirat kelak ialah azab Allah tidak akan diringankan daripada mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan.”
Kisah mereka memberi kepentingan hidup dunia daripada akhirat. Antaranya ialah motif mereka melakukan perbuatan yang bertentangan dengan perjanjian Allah iaitu mengekalkan perjanjian mereka dengan kaum-kaum musyrikin Arab yang telah mengadakan satu perikatan setia yang bertentangan dengan agama dan kitab suci mereka. Tindakan mereka berpecah kepada dua puak dan bergabung dalam dua perikatan setia itu merupakan perancangan turun-temurun Bani Israel untuk membolehkan mereka memainkan peranan ‘memegang di tangan tongkat’ (peranan menjaga imbangan).
Perancangan mereka bergabung dengan puak-puak yang bertentangan merupakan langkah-langkah hemat mereka untuk mendapat keuntungan-keuntungan dalam segala keadaan, dan menjamin kepentingan-kepentingan kaum Yahudi sama ada yang menang puak ini atau puak itu.
Inilah perancangan yang diatur oleh orang-orang yang tidak yakin pada Allah dan tidak berpegang teguh dengan perjanjian. Mereka hanya berpegang dengan tindak-tanduk dan langkah-langkah yang pintar dan licin sahaja. Mereka berpegang dengan perjanjian-perjanjian bumi sahaja. Mereka cuma mengharapkan pertolongan manusia bukan pertolongan Tuhan manusia.
Orang yang beriman diharamkan daripada mengadakan sebarang perikatan yang bertentangan dengan perjanjian mereka dengan Allah dan bertentangan dengan tugas-tugas agama mereka walaupun perikatan itu dibuat atas nama kepentingan atau keselamatan.
Ini kerana kepentingan yang sebenar ialah mematuhi ajaran agama mereka, dan keselamatan yang sebenar ialah dengan memelihara perjanjian mereka dengan Allah.
No Comment
Post a Comment