Golongan kafir pinda cerita Rasulullah dalam Taurat dan Injil

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMMAD AL-BAKRI

SYEIKH al-Maraghi berkata: Sesungguhnya roh agama adalah tauhid dan penguasa segala urusannya adalah ikhlas. Apabila hilang maksud ini dan hanya dijaga amalan zahir, nescaya ia tidak memberi apa-apa manfaat. Inilah yang terjadi kepada ahli kitab yang menghilangkan roh ini, tetapi semata-mata menjaga gambaran dan taklid zahir. Benarlah firman Allah s.w.t.,

Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Ya'qub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telah pun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)? Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan. (Al-Baqarah: 140 dan 141)

Firman Allah s.w.t., Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ibn al-Jauzi berkata, sebab turunnya ayat ini bahawa golongan Yahudi Madinah dan Kristian Najran berkata kepada orang beriman: Sesungguhnya Nabi-nabi Allah kebanyakannya daripada kami daripada Bani Israel. Lantas turunnya ayat ini seperti pendapat Muqatil.

Dan Nabi Ishak, dan Nabi Ya'qub berserta anak-anaknya, Al-Mawardi berkata: mereka itu 12 anak daripada anak Ya'kub. mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telah pun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)? Apakah kamu dakwa hai golongan ahli Kitab bahawa semua Rasul dan keturunan mereka daripada kalangan Yahudi dan Kristian sahaja? Mereka adalah lebih dahulu daripada Musa dan lebih dahulu daripada agama Yahudi dan agama Nasara dan Allah sendiri menerangkan hakikat agama mereka iaitu agama Islam sebagaimana telah diterangkan sebelum ini.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?” Al-Samarqandi berkata: Allah mengkhabarkan yang mereka atas agama Islam dan menerangkan dalam kitab-kitab mereka. Adakah hanya kamu yang mengetahui berkenaan dengan urusan agama mereka ataupun Allah? Sesungguhnya Allah telah menyaksikan bagi mereka dengan agama Islam dan melepasi bagi mereka daripada agama Yahudi dan Kristian. Itulah pertanyaan yang tidak memerlukan jawapan. Ia mengandungi kecaman yang membuat lidah tidak memberi jawapan.

Kamu sememangnya mengetahui bahawa mereka wujud sebelum wujudnya agama Yahudi dan Nasara, dan mereka berpegang dengan agama hanifiah (Tauhid) yang pertama yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun. Dan kamu juga menyimpan keterangan Allah dalam kitab-kitab kamu bahawa pada akhir zaman kelak akan dibangkit seorang nabi yang membawa agama hanifiah iaitu agama Ibrahim tetapi kamu telah menyembunyikan keterangan ini.

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) penyaksian yang mereka sembunyikan itu dua pendapat:

1. Bahawa Allah menyaksikan di sisi mereka dengan syahadah bagi Ibrahim dan yang disebut bersamanya sebagai golongan Islam tetapi mereka menyembunyikannya seperti kata al-Hasan dan Zaid bin Aslam. Inilah pendapat yang dinyatakan oleh Al-Nasafi.

2. Bahawa mereka menyembunyikan Islam dan hal Muhammad sedangkan mereka mengetahui hakikat sebenarnya bahawa Muhammad sebagai Nabi dan agamanya yang sebenar ialah Islam. Inilah pendapat Abu al-Aliyah dan Qatadah.

Yang telah diberikan Allah kepadanya? Tiada seorang yang lebih zalim daripada yang menyembunyikan apa yang jelas dalam Taurat dan Injil berkenaan khabar gembira dengan kedatangan Rasulullah iaitu Muhammad atau tiada seorang yang lebih zalim daripada siapa yang menyembunyikan apa yang Allah khabarkan bahawa semua nabi-nabi yang mulia adalah beragama Islam. Allah mengetahui bahawa kamu telah menyembunyikan keterangan yang telah diamanahkan kepada kamu itu, dan mengetahui bagaimana kamu mempertikaikan keterangan ini dengan tujuan untuk menyembunyikan dan mengelirukannya.

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan. Sentiasalah melihat amalanmu dan membalasnya. Ini merupakan ancaman yang tegas.

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; al-Tabari berkata: Iaitu Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya’kub dan asbat dan dimaksudkan dengan ummah disini ialah jemaah. Bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan. Al-Alusi berkata, diulang ayat ini menunjukkan betapa kuatnya ancaman dan amaran Allah bagi golongan yang bermegah-megah dan berbangga dengan nenek moyang mereka. Ayat ini mengandungi kata pemutus, pengakhir perdebatan dan kalimat terakhir terhadap dakwaan-dakwaan mereka yang panjang lebar itu.

Allah mengulanginya kerana mengandungi makna ancaman dan amaran iaitu jika sekiranya segala Nabi yang mempunyai kelebihan dan keutamaan dibalas perbuatan mereka maka kamu lebih layak untuk dibalas. Apabila penerangan ayat-ayat itu sampai kepada kemuncak hujah yang tidak dapat dijawab dan kepada titik penyelesaian masalah dan kepada tahap menjelaskan perbezaan yang menyeluruh dari segenap sudut di antara pegangan Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya'qub dan anak-anaknya dengan kaum Yahudi yang sezaman (dengan Rasulullah s.a.w.), maka al-Quran kembali mengulangi ayat pemutus yang dijadikan penamat kita sebelum ini iaitu ketika ia memperkatakan tentang Ibrahim dan zuriat-zuriatnya yang muslim.

Iktibar dan pengajaran ayat

Antaranya:

i. Mengkaji dan mempelajari kisah para nabi zaman dahulu amat penting seperti Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan lain-lain. Bagaimanapun, ia hendaklah mengambil rujukan daripada sumber-sumber yang thiqah seperti Qasas Al-Anbiya' oleh Ibn Kathir.

ii. Allah menyebut orang yang paling zalim ialah yang menyembunyikan keterangan saksi dan bukti yang telah diberikan Allah kepadanya. Ini kerana boleh mengakibatkan digelapkan maklumat dan hakikat yang sebenar.

iii. Pembalasan kepada manusia pada hari akhirat berdasarkan usaha amal justeru, sewajarnya kita beramal dengan amalan yang soleh dan diredai Allah di samping menjauhi segala bentuk penderhakaan dan maksiat kepada-Nya.

No Comment

Post a Comment