`Wahai manusia' - Peringatan kepada hamba-Nya

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SETELAH menerangkan tiga golongan manusia yang beriman, kafir dan munafik, Allah juga menyebut perbezaan antara kebahagiaan dan kecelakaan atau iman dan nifak.

Kemudian Dia mengumpamakan dan menerangkan jalan-jalan kesesatan. Seterusnya mengikut ayat ini, Allah menyebut segala dalil dan bukti tentang keesaan Tuhan Rabbul Alamin.

Dia memperkenalkan kepada manusia segala nikmat-Nya agar mereka bersyukur ke atas-Nya, kemudian mendahulukan mereka dengan ucapan `wahai manusia' yang merupakan ucapan yang ditujukan kepada semua lapisan manusia.

Dikurniakan ke atas mereka dengan penciptaan dan rezeki, di samping menzahirkan mukjizat al-Quran dengan sefasih-fasih dan sejelas-jelasnya untuk mencabut daripada hati-hati mereka akar umbi syak wasangka dan keraguan. Benarlah firman Allah :

WAHAI MANUSIA, SEMBAHLAH TUHANMU YANG TELAH MENCIPTAKANMU DAN ORANG-ORANG YANG SEBELUMMU, AGAR KAMU BERTAKWA. (Al-Baqarah ayat 21)

Allah s.w.t. memulakan ayat ini dengan cara memberi peringatan kepada hamba-hamba-Nya dengan segala dalil kekuasaan kudrat-Nya dan keesaan wahdaniyah-Nya.

As-Samarqandi berkata di dalam tafsirnya, Bahru al-Ulum, ketahuilah bahawa seruan di dalam al-Quran mempunyai enam martabat iaitu :

i. Seruan pujian, iaitu seperti firman Allah, wahai nabi, wahai rasul dan wahai orang-orang beriman.

ii. Seruan celaan, iaitu seperti firman Allah, wahai orang-orang kafir.

iii. Seruan peringatan, iaitu seperti firman Allah, wahai manusia.

iv. Seruan sandaran, iaitu seperti firman Allah, wahai hamba-hamba-Ku.

v. Seruan nisbah, iaitu seperti firman Allah, wahai Bani Adam dan wahai Bani Israel.

vi. Seruan nama, iaitu seperti firman Allah, wahai Daud, wahai Ibrahim dan wahai Yahya.

Sedangkan di sini, dinyatakan seruan peringatan yang bermaksud menghendaki suruhan itu mesti dilaksanakan atau larangan itu mesti ditinggal-kan.

Al-Imam al-Baidhawi berkata, ``Apabila Allah menghitung semua golongan mukalaf, Allah menghadapkan kepada mereka ucapan yang akan menggerunkan mereka dan yang menyegarkan mereka, di samping prihatin terhadap urusan ibadat serta membesarkan hal tersebut.''

Seruan

Oleh kerana itu, terlalu banyak di dalam al-Quran panggilan dengan `wahai manusia' untuk menunjukkan kebebasan yang termasuk di dalam cara ta'kid (penguat), dan semua panggilan Allah s.w.t. kepada hamba-Nya yang menggunakan uslub ini adalah dalam perkara dan urusan besar yang meliputi hak Allah.

Mereka perlu mengambil perhatian dengan sesungguhnya, memahami dan menerima dengan sepenuh hati tetapi malangnya ramai di kalangan manusia yang lalai.

Sedangkan pada hakikatnya, mereka dipanggil dan diseru dengan bahasa dan uslub yang paling kuat.

Justeru itu Allah menyebut, `wahai manusia, sembahlah Tuhanmu', iaitu wahai semua anak Adam, ingatlah nikmat-nikmat Allah yang melimpah-ruah ke atas kamu dan sembahlah Allah, Tuhan kamu sebenar yang mencipta kamu dan membesarkan kamu, yang sebelumnya kamu tiada. Sembahlah Dia dengan mentauhid, mensyukuri dan mentaati-Nya.

Ibn Jarir at-Tabari menaqalkan pendapat Ibn Abbas, sembahlah Tuhanmu dengan maksud mengesakan Tuhanmu, iaitu dengan hanya beribadat, taat hanya kepada-Nya, bukan pada yang lain.

Al-Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya berkata, `` Nabi s.a.w. memulakan dakwahnya dengan seruan ibadat kepada Allah yang Esa, dan inilah amalan semua nabi sebagaimana yang telah ditegaskan Allah di dalam al-Quran.''

Ucapan ini merupakan seruan dakwah pertama Rasulullah s.a.w. kepada orang-orang Arab dan orang-orang Yahudi di Madinah serta mereka yang berada di sekelilingnya, yang beribadat kepada selain-Nya, sama ada berbentuk doa yang disekutukan dengan Allah atau selain daripada Allah.

Ibn Jauzi menyebut beberapa pendapat ulama tentang seruan yang ditujukan di dalam ayat ini :

i. Ia adalah umum kepada seluruh manusia. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Ia ditujukan kepada Yahudi sahaja bukan yang lain. Inilah pendapat al-Hasan dan Mujahid.

iii. Ia ditujukan kepada orang-orang kafir musyrikin Arab dan lainnya. Inilah pendapat as-Suddi.

iv. Ia ditujukan kepada golongan munafiqin dan Yahudi. Inilah pendapat Muqatil.

`Manusia' merupakan nama bagi anak Adam. Sebahagian ulama berpendapat, ia dinamakan demikian kerana pergerakan mereka dalam mencapai kehendak mereka.

Manakala sebahagian yang lainnya pula berpendapat, dinamakan nas (manusia) kerana sifat fitrahnya, iaitu pelupa.

Seterusnya Allah berfirman, `yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu' bermaksud Allah yang menciptakan kamu dengan kudrat-Nya daripada tiada dan menciptakan kaum sebelum kamu iaitu umat-umat terdahulu.

`Agar kamu bertakwa' bermaksud supaya manusia termasuk dalam golongan orang-orang yang bertakwa, berjaya dengan hidayah serta berada di dalam kemenangan.

Ini kerana ibadat merupakan jalan-jalan yang boleh menyediakan manusia ke arah ketakwaan serta diharap mendapat kedudukan yang sempurna.

Begitupun, terdapat juga beberapa tafsiran lain berhubung dengan ayat `agar kamu bertakwa'. Di antaranya ialah :

i. Agar manusia beribadat kepada Allah dengan harapan mendapat takwa dan dapat menyelamatkan diri daripada azab Tuhan. Ini pendapat Sibawaih.

ii. Agar manusia terpelihara dan selamat daripada syirik. Ini pendapat Ibn Abbas.

iii. Agar manusia selamat daripada api neraka. Ini pendapat ad-Dhahhak.

iv. Agar manusia sentiasa taat. Ini pendapat Mujahid.

v. Agar manusia beribadat kepada Allah sahaja supaya selamat daripada kemurkaan dan azab-Nya kerana mengerjakan hal-hal yang boleh menghalang azab tersebut. Ini pendapat Syeikh Abdul Rahman as-Sa'di di dalam kitab tafsirnya.

vi. Agar manusia sesuai dengan gambaran yang dipilih, iaitu hamba Allah yang bertakwa, menunaikan hak rububiyah Tuhan sebagai pencipta dan hanya beribadat kepada-Nya. Ini pendapat Syed Qutub di dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran.

No Comment

Post a Comment