Empat tanda - Taubat diterima
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SEBAGAIMANA hikmatullah menjadikan bumi sebagai kediaman manusia, untuk melangsungkan kehidupan dengan penuh pancaroba, lantas Allah s.w.t. mengurniakan beberapa panduan dalam melayari kehidupan sebagai khalifah Allah yang dibimbing dengan petunjuk dan hidayah. Firman Allah bermaksud :
KEMUDIAN ADAM MENERIMA BEBERAPA KALIMAH (KATA-KATA PENGAKUAN TAUBAT YANG DIAMALKANNYA) DARIPADA TUHANNYA, LALU ALLAH MENERIMA TAUBATNYA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENERIMA TAUBAT, LAGI MAHA PENYAYANG. (Surah al-Baqarah ayat 37 )
Allah menyebut : ``Kemudian Adam menerima beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya) daripada Tuhannya', iaitu menerima beberapa doa daripada Tuhannya secara diilhamkan-Nya, lantas Baginda berdoa, dan doa ini ditafsirkan dalam surah al-`Araf.
Ibn Jarir at-Thabari berkata, tafsiran `menerima' bermaksud `mengambil'. Ibn Jauzi di dalam kitabnya, Zad al -Masir, menyebut maksud kalimat itu dengan beberapa pendapat ulama :
Pertama, ayat 23 daripada Surah al-`Araf - pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, Said bin Jubir, Mujahid, A'tak al-Kharasani, Ubaid bin Umair, Ubai bin Ka`ab dan Ibn Zaid.
Kedua, kata Adam, ``Hai Tuhanku, tidakkah Engkau menciptaku de-
ngan Tangan-Mu?'' Allah berfirman: ``Ya.'' Adam bertanya : ``Tidakkah Engkau tiupkan padaku daripada Roh-Mu?'' Firman Allah : ``Ya.'' Adam bertanya lagi: ``Tidakkah Rahmat-Mu kepadaku mendahului Kemurkaan-Mu?'' Firman Allah : ``Ya.'' Lantas Adam berkata : ``Hai Tuhanku, jika aku bertaubat dan melakukan keelokan, adakah Engkau kembalikan aku ke syurga?'' Firman Allah : ``Ya.'' Inilah yang dihikayatkan oleh as-Suddi oleh Ibn Abbas.
Ketiga, bahawa ia berdoa dengan zikir yang tertentu seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Kathir daripada Mujahid.
Mengasihani
Ketiga-tiga pendapat ini dinyatakan dalam kitab tafsirnya, an-Nukat Wa al-`Uyun.
Keempat, Imam as-Syaukani di dalam tafsirnya, al-Fath al-Qadir, menyebut riwayat daripada Ibn Abbas tentang `kalimat', jawabnya ilmu berhubung dengan haji.
`Lalu Allah menerima taubatnya'. Ini kerana Allah bersifat dengan sifat `Dialah yang Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani', iaitu sesungguhnya Allah amat banyak menerima taubat dan luas rahmat-Nya pada sekalian hamba. Al-Imam an-Nasafi berkata, iaitu Allah banyak menerima taubat hamba-Nya di samping mengasihani terhadap sekalian hamba-Nya
Al-Imam al-Fakhru ar-Razi berkata, disifatkan Allah dengan Tawwab (amat menerima taubat ) kerana dua wajah :
Pertama, setiap raja di dunia boleh memaafkan kesalahan rakyatnya pada kali pertama tetapi tidak pada kali kedua. Sebaliknya, Allah tetap mengampunkan hamba-Nya walaupun kerap kali berlaku kesalahan.
Kedua, ramai di kalangan mereka yang bertaubat kepada Allah. Justeru digunakan sifat secara muba-
laghah (berlebihan).
Taubat menurut penafsiran Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya' Ulumiddin adalah makna yang terangkum di dalamnya tiga unsur :
Pertama, ilmu. Kedua, keadaan. Ketiga, amal. Urutan ilmu, keadaan dan amal ialah kerana yang pertama merupakan kemestian kepada yang kedua, perkara kedua adalah kemestian bagi perkara ketiga. Kemestian ini berdasarkan ketentuan sunah Allah di dalam alam.
Beliau berkata, ilmu adalah pengetahuan tentang besarnya bahaya dosa yang menjadi penghadang antara manusia dengan semua yang dikasihinya. Apabila manusia mengetahuinya dengan pengetahuan yang benar serta keyakinan yang terpahat di hatinya, maka pengetahuan ini akan menyebabkan hatinya menjadi sakit lantaran ketiadaan orang yang dikasihinya.
Penderitaan
Apabila hatinya merasakan kehilangan orang yang dikasihinya, dia akan menderita. Jika kehilangan tersebut adalah lantaran perbuatannya, dia akan bersedih terhadap perbuatannya yang telah berlalu itu. Penderitaannya lantaran perbuatannya terhadap yang dikasihinya yang telah berlalu itu dinamakan `penyesalan.'
Apabila penderitaan ini menguasai dan menyelubungi hati, ia akan melahirkan keadaan lain di dalam hati yang dinamakan sebagai kehendak dan kemahuan melakukan perbuatan yang mengaitkannya dengan masa sekarang, masa lalu dan masa akan datang.
Perbuatan yang berkaitan dengan masa sekarang ialah meninggalkan dosa yang sedang dilakukannya. Perbuatan yang berkaitan dengan masa akan datang, ialah berazam untuk meninggalkan dosa yang menyebabkan kehilangan orang yang dicintainya seumur hidup.
Sementara perbuatan yang berkaitan dengan masa lalu, ialah memburu apa yang telah hilang secara terpaksa serta menghapuskannya jika ia mungkin.
Ilmu merupakan unsur pertama. Ia adalah permulaan bagi segala kebaikan ini. Saya maksudkan dengan ilmu di sini ialah keimanan dan keyakinan. Iman adalah pengakuan bahawa dosa sebagai racun yang merosakkan.
Sementara keyakinan adalah pe-
ngukuh kepada pengakuan ini, menghilangkan keraguan daripadanya dan menguasai hati, lalu cahaya keimanan ini menghasilkan cahaya penyesalan di dalam hati.
``Hati pun menjadi menderita kerana ia akan teringatkan yang dicintainya tatkala ia melihat cahaya keimanan itu, seumpama seseorang yang mendapati cahaya matahari setelah diselubungi kegelapan.
Cahaya yang menyinarinya de-
ngan hilangnya awan mendung atau tersingkapnya tabir, lantas ia terpandang yang dicintainya sudah hampir musnah. Api kecintaan pun bersemarak di dalam hatinya. Lantas api tersebut mendorongnya untuk mengetahui lebih lanjut.
Ilmu, penyesalan dan kehendak untuk meninggalkan dosa pada saat itu dan akan datang serta mengejar masa yang lalu, merupakan tiga makna yang berentetan di dalam memperolehnya.
Himpunan ketiga-tiga itu dinamakan sebagai `taubat.' Selalunya taubat hanya diertikan sebagai `penyesalan' sahaja dengan menjadikan ilmu sebagai sesuatu perkara yang mendahului pada permulaan. Sementara peninggalan sebagai hasil yang mengikutinya kemudian.
Berdasarkan perkara ini, Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksudnya : Penyesalan itu adalah taubat.
Pensyaratan
Al-Hafiz Al-`Iraqi ketika mentakhrijkan hadis di dalam kitab Ihya' Ulumiddin menyatakan, bahawa hadis ini dikeluarkan oleh Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim yang menghukum sanadnya sebagai sah daripada Ibn Mas`ud. Ibn Hayyan dan al-Hakim meriwayatkan daripada Anas katanya, sahih menurut pensyaratan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
Penyesalan tidak akan terpisah daripada ilmu yang memastikan dan menghasilkannya, serta daripada keazaman yang menyusuli dan mengikutnya. Justeru itu, penyesalan dikelilingi oleh dua isinya, iaitu hasilnya dan perkara yang menghasilkannya.
Penulis menaqalkan daripada kitab Tanbihul Ghafilin, karangan Abu al-Laith as-Samarqandi, bahawa seorang ahli hikmah berkata, taubat seseorang akan terlahir dalam empat macam :
Pertama, jika telah dapat mengendalikan lidahnya daripada dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya.
Kedua, jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
Ketiga, jika telah menjauhi rakan taulan yang jahat.
Keempat, selalu bersiap sedia menghadapi maut, rajin dalam taat, dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya.
Seorang ahli hikmah ditanya : ``Apakah ada tanda bahawa taubat itu telah diterima?'' Jawabnya :''Ya. Ada empat tanda diterima taubatnya :
``Pertama, putus hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik, dan bersahabat dengan orang-orang solihin.
``Kedua, menghentikan semua mak-
siat dan rajin melakukan ibadat.
``Ketiga, hilang rasa kesenangan kepada dunia dalam hatinya, dan selalu mengingat kesusahan akhirat.
``Keempat, percaya pada jaminan
Allah dalam soal rezeki, lalu sibuk mengerjakan perintah Allah. Maka apabila terdapat semua sifat itu, ia termasuk dalam ayat al-Quran, yang bermaksud : ``Sesungguhnya Allah kasih pada orang bertaubat dan kasih pada orang yang suka bersuci.''
``Kemudian dia berhak mendapat empat perkara daripada manusia : Pertama, mereka mencintainya kerana Allah cinta kepadanya. Kedua, mereka akan memeliharanya dengan selalu mendoakannya. Ketiga, mereka lupa terhadap dosa-dosa yang lalu. Keempat, mereka selalu membantu dan mendekatkan diri kepadanya.''
Di antara faedah-faedah bertaubat seperti yang dinyatakan oleh Dr. Yusuf al - Qardhawi di dalam kitabnya, at-Taubatullah (Taubat Untuk Allah ) ialah : Pertama, menghapuskan segala kejahatan dan memasukkannya ke dalam syurga. Kedua, memperbaharui keimanan. Ketiga, menukarkan kejahatan de-
ngan kebaikan. Keempat, mengalahkan musuh tradisi. Kelima, mengalahkan nafsu yang sentiasa menyuruh ke arah kejahatan. Keenam, remuk hati kerana Allah. Ketujuh, memperoleh cinta Allah. Kelapan, kegembiraan Allah terhadap orang yang bertaubat.
No Comment
Post a Comment